Program PEKB 2026 KPKT atau secara lebih terperincinya, Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) 2026 terus membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkasa wanita bandar melalui latihan kemahiran dan keusahawanan yang berimpak tinggi. Dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), edisi kedua program ini memfokuskan kepada kursus urutan selepas bersalin sebagai medium menjana pendapatan khususnya bagi wanita golongan B40. Program intensif selama tujuh hari ini berlangsung di Hotel Crown Garden dan melibatkan 40 peserta terpilih daripada hampir 1,000 pencalonan yang diterima. Saringan Ketat: 40 Peserta Terpilih Daripada Hampir 1,000 Permohonan Menurut Pengarah Program, Dr. Suffia Hany Mohd. Amin, pemilihan peserta dilakukan secara teliti melalui proses saringan dan bancian bagi memastikan peluang diberikan kepada wanita yang benar-benar layak dan memerlukan. Peserta terdiri daripada ibu tunggal, suri rumah, wanita yang pernah berniaga serta mereka yang tidak mempunyai pengalaman langsung dalam bidang urutan atau perniagaan. Pendekatan ini memastikan PEKB 2026 bukan sekadar program latihan, tetapi inisiatif sosial yang menyasarkan perubahan ekonomi sebenar. Modul Menyeluruh: Kemahiran, Anatomi dan Keusahawanan PEKB 2026 KPKT dengan kerjasama Perdim tidak hanya memberi latihan praktikal urutan berpantang. Modul yang dibangunkan merangkumi: Teknik urutan ibu selepas bersalin Pemakaian bengkung Bertangas dan mandian herba Penjagaan luka selepas bersalin Pendedahan asas anatomi (urat, otot dan rahim) Pengurusan perniagaan dan akaun Pendaftaran syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Barisan Pengamal Perubatan Sebagai Tenaga Pengajar Kredibiliti PEKB 2026 turut diperkukuhkan dengan penglibatan barisan pengamal perubatan daripada Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim). Antara tenaga pengajar utama ialah Presiden Perdim, Dr. Boi Saidi, bersama ahli jawatankuasa lain seperti Dr. Muzvin Othman, Dr. Nasaruddin Che Fa dan Dr. Shah Reza Khelikuzaman, serta pakar perbidanan Fauziah Haron. Penglibatan tenaga profesional ini memastikan setiap teknik yang diajar berasaskan pemahaman anatomi sebenar, termasuk kedudukan otot, urat dan rahim, sekaligus meningkatkan tahap keselamatan dan profesionalisme perkhidmatan yang bakal ditawarkan oleh peserta. Pendekatan ini membezakan PEKB 2026 daripada kursus urutan biasa kerana ia disokong kepakaran klinikal dan disiplin latihan berstruktur. Latihan berasaskan anatomi ini memastikan teknik urutan dilakukan secara profesional dan selamat, bukan secara semberono. Transformasi Minda: Keluar Daripada Kepompong Kemiskinan Menurut Dr Suffia, antara objektif utama program ini adalah mengubah mindset peserta daripada takut dan kurang yakin kepada berani dan berdikari. Peserta digalakkan untuk keluar daripada kepompong kemiskinan dengan membina keyakinan diri serta asas perniagaan yang kukuh. Pendekatan ini menjadikan PEKB 2026 sebagai model latihan bersepadu yang menggabungkan kemahiran teknikal dan transformasi dalaman. Sijil Diiktiraf dan Peralatan Lengkap Selepas menamatkan kursus selama seminggu, setiap peserta menerima sijil yang diiktiraf serta peralatan lengkap bagi membolehkan mereka terus memulakan perniagaan sendiri. Inisiatif ini memberi peluang kepada peserta untuk menjana pendapatan secara profesional tanpa memerlukan modal permulaan yang besar. Kisah Inspirasi Peserta Nurul Hidayah Mohamad, 39, ibu kepada tujuh anak, menyatakan keyakinan bahawa program ini mampu membantu keluarganya keluar daripada kemiskinan. Seorang lagi peserta, Yusliza Mat Yusoff, 58, menyifatkan latihan yang diterima sebagai menyeluruh dan meningkatkan profesionalisme sebagai confinement lady. Kedua-dua peserta menzahirkan penghargaan kepada KPKT dan Perdim atas peluang yang diberikan. PEKB 2026: Model Pembangunan Ekonomi Wanita Bandar PEKB 2026 KPKT dengan kerjasama Perdim membuktikan bahawa latihan berstruktur, disokong kepakaran perubatan dan elemen keusahawanan, mampu melahirkan usahawan wanita yang berdaya saing. Program ini bukan sekadar kursus urutan berpantang, tetapi satu langkah strategik dalam membina ekosistem ekonomi wanita bandar yang lebih mampan dan profesional. ✅ FAQ Apakah PEKB 2026? PEKB 2026 ialah Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar anjuran KPKT yang bertujuan meningkatkan kemahiran dan pendapatan komuniti bandar. Siapakah yang terlibat dalam pelaksanaan program ini? Program ini dilaksanakan oleh KPKT dengan kerjasama Perdim sebagai rakan pelaksana latihan. Apa yang dipelajari dalam kursus urutan berpantang PEKB? Peserta mempelajari teknik urutan profesional, anatomi asas, pengurusan perniagaan dan transformasi mindset keusahawanan. ============================================================== Program ini juga telah mendapat laporan Berita di Kosmo bahagian K-Wanita di Segmen Citranita yang ditulis oleh : SAIRUL ZAMRI MISRANI, pada 13 Februari 2026, 8:15 am Salam ikhlas dari, Dr Suffia Hany❤️ Leadership, EQ Strategist & Certified HRDC trainer Empowering Women through Leadership, Wisdom & Emotional Intelligence. 👉 For more info : Lihat Profil Dr. Suffia lebih lanjut di sini
Dr. Suffia Hany dari klinik ke lapangan komuniti
Meskipun rutin hariannya sibuk sebagai doktor perubatan, ia tidak menghalang Dr. Suffia Hany Mohd. Amin untuk melibatkan diri dalam program sosial dan komuniti. Wanita berusia 50 tahun ini, gemar untuk melibatkan diri dalam program sedemikian kerana ia dapat membuka hatinya, membangkitkan empati dan menghidupkan semula jiwa kemanusiaan yang sepatutnya wujud dalam setiap individu, “Dalam kehidupan kita sebagai manusia sering memikirkan tentang diri sendiri dan mungkin kurang peduli dengan golongan yang memerlukan bantuan atau pertolongan. Dalam kehidupan kita sebagai manusia sering memikirkan tentang diri sendiri dan mungkin kurang peduli dengan golongan yang, memerlukan bantuan atau pertolongan.” “Melalui program sosial dan komuniti yang saya anjurkan atau sertai, saya berpeluang untuk menyelami kesusahan mereka dan saya cuba untuk membantu mereka,” katanya kepada K-Wanita ketika ditemui di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Menurutnya, disebabkan itu, dia sering menganjurkan program-program yang mampu memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan. PERSENS Antara yang menyerlah, melalui Pertubuhan Pembangunan Dan Perkembangan Ekonomi Negeri Selangor (Persens) yang diasaskan olehnya, Dr. Suffia Hany melaksanakan Program Pemerkasaan Ekonomi Bandar (PEKB). Program itu, dilaksanakan sejak pandemik Covid-19. Dr. Suffia Hany berkata, ketika pandemik: Covid-19 ramai yang terkesan dan kehilangan pekerjaan, “Terdetik di hati saya pada waktu itu untuk membantu mereka yang terkesan terutama golongan B40. Jadi, saya mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi PEKB dengan menyediakan latihan dalam bidang kesihatan dan kecantikan (wellness),” jelasnya yang pernah merangkul – anugerah Nona Superwomen Award 2018. PEKB bukan sekadar latihan biasa dan peserta diberikan kemahiran praktikal dalam bidang kesihatan dan kecantikan, termasuk penjagaan dan perawatan wajah, postnatal care dan asas pengurusan perniagaan. Mereka bukan sahaja belajar teknik, tetapi juga diajar pengurusan akaun, pemasaran dan strategi untuk memulakan perniagaan sendiri. Peralatan diberikan untuk membolehkan mereka memulakan perniagaan di rumah atau secara bergerak, menjadikan konsep mobile spa sebagai model utama.. Aktif menggerakkan program sosial dan komuniti DR. SUFFIA HANY menjelaskan, untuk latihan dalam bidang tersebut peserta menjalani kursus yang padat selama tujuh hari, “Selepas itu, kami pantau selama enam bulan untuk pastikan mereka capai KPI sekurang-kurangnya RM750 sebulan.” “Hasilnya, bukan sahaja peserta berjaya berdikari, malah ada yang mampu menjana pendapatan sehingga RM5,000 sebulan,” jelasnya yang juga jurulatih bertauliah Human Resources Development Corporation di bawah Kementerian Sumber Manusia. Tambahnya, transformasi ini membuka peluang ekonomi baharu dan memberi keyakinan untuk mereka keluar daripada kepompong kemiskinan. Inisiatif yang digerakkan oleh Dr. Sufia Hany berkembang dan memberi impak berterusan kepada komuniti. Program yang dilaksanakan sejak tahun 2021 itu bukan sahaja membina kemahiran, tetapi juga membentuk mindset usahawan dan menanam semangat kemandirian dalam kalangan peserta. la adalah bukti dengan bantuan yang tepat. Disertai dengan ilmu dan sokongan, mampu mengubah kehidupan orang ramai secara signifikan. Namun, untuk menggerakkan program tersebut bukanlah sesuatu yang mudah dan Dr. Suffia Hany berhadapan dengan cabaran tersendiri. Menurut Dr. Sufia Hany, dia mencari mereka yang layak untuk menyertai program itu melalui senarai eKasih yang KPKT beri, “Staf saya perlu menelefon untuk memilih mereka yang sesuai untuk menyertai program ini. Malah, ada yang mengatakan kami scammer” ujarnya. Namun, baginya, cabaran bukan penghalang. Ia hanyalah sebahagian perjalanan untuk mengubah mind set peserta menjadi seorang usahawan. Selain itu, Dr. Suffia Hany yang turut bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menganjurkan Program Pementoran Kepimpinan Dalam Sosioekonomi dan Keusahawanan Wanita Di Peringkat Komuniti (Pementoran Kepimpinan). Program melibatkan seramai 30 oraing wanita daripada pelbagai latar belakang itu telah diadakan baru-baru ini. Program selama 6 bulan itu bertujuan meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai kepimpinan, sosioekonomi dan keusahawanan serta jaringan perniagaan dalam kalangan wanita di peringkat komuniti. Dr. Suffia Hany yang menjadi mentor untuk program tersebut berkata, program itu bermatlamat membimbing dan mengasah bakat para peserta menjadi pemimpin wanita yang mampan. “Pementoran kepimpinan merupakan program yang menitikberatkan kemahiran soft skills bagi melahirkan golongan wanita yang mampu bersaing dalam keadaan penuh mencabar ketika ini.” “Para peserta yang menyertai program Ini terdiri daripada pelbagai latar belakang, ada yang bekerjaya, pemimpin komuniti, usahawan dan suri rumah sepenuh masa. Saya selalu berpesan kepada wanita, tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia. Wanita harus bangkit dengan kekuatan dalaman, jangan jatuh pada segala ujian hidup,” katanya. Dr. Suffia Hany turut terlibat menggerakkan program sosial dan komuniti bersama Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim). Melalui Perdim, mereka menganjurkan program penjagaan kesihatan selepas bersalin di Kelantan. “Melalui program ini kami mengajar mereka yang menyediakan perkhidmatan – penjagaan selepas bersalin ataupun confinement lady meningkatkan kemahiran mereka. Doktor-doktor daripada Perdim memberi tunjuk ajar dan 35 orang dipilih untuk dilatih menjadi confinement lady bertauliah” jelasnya. Tambahnya, mereka ini menjana pendapatan lumayan dan ada yang meraih pendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan. Selain itu, pelbagai lagi program digerakkan oleh Dr. Suffia Hany untuk menyantuni komuniti termasuk CSR bersama gelandangan dan juga Orang Asli. Latar Belakang Dr Suffia Hany Menyentuh sisi latar belakang dirinya, Dr. Suffia Hany merupakan graduan dalam bidang perubatan dari Universiti Malaya, Setelah tamat pengajian, dia berkhidmat sebagai doktor perubatan di Hospital Selayang dan kemudian bertugas di Klinik Kesihatan Batu 9, Cheras di Selangor. “Ketika di klinik kesihatan saya banyak terlibat dengan komuniti, memberi ceramah kesihatan, turun kampung ke kampung termasuk kampung Orang Asli, Pengalaman ini membuka mata saya tentang keperluan mendekati masyarakat secara lebih mendalam. Inilah yang membuatkan saya sering ingin terlibat dalam program-program sosial dan komuniti,” ujarnya. Pada 2008, Dr. Suffia Hany mengambil keputusan untuk menjadi seorang usahawan dan membuka sebuah klinik sendiri. Pada masa sama, ketika itu juga dia sering menulis artikel kesihatan, memberi ceramah kesihatan dan berkongsi ilmu kepada masyarakat. Pada 2010, dia mengambil keputusan untuk mendalami dengan lebih mendalam bidang antipenuaan. Dia mendalami bidang antipenuaan selama setahun di bawah Society of Anti-Aging, Aesthetics and Regenerative Medicine Malaysia (SAARMM). “Di sinilah saya belajar bagaimana mengurangkan proses penuaan yang terlalu cepat serta menjaga sel-sel tubuh daripada kesan persekitaran yang tidak sihat seperti radiasi dan cahaya matahari. “Kini, saya fokus terhadap klinik saya yang lebih kepada antipenuaan dan gaya hidup sihat,” katanya. Berita ini diterbitkan di Kosmo Online RENCANA UTAMA KOSMO, K-WANITA BY – Farid Ahmad Tarmiji disediakan oleh: Dr Suffia Hany Leadership & EQ Strategist Empowering Women through Leadership, Wisdom & Emotional Intelligence. ———————————————————————————————————————————- Dr. Suffia
Inisiatif Usahawan Perbidanan | Membantu 35 wanita Kota Bharu jadi yang Terbaik
Bantu 35 wanita Kota Bharu jadi usahawan perbidanan Usahawan Perbinanan adalah satu Inisiatif baik, dari usahasama PERDIM, SEIRING kepesatan ekonomi negara ketika ini, golongan wanita terutamanya suri rumah dan ibu tunggal juga seharusnya menyambut baik program yang amat membantu ini. Golongan berkenaan sebenarnya boleh terlibat dalam penjanaan pendapatan bagi memperbaiki taraf hidup apatah lagi jika mereka tinggal di kawasan bandar. Kerjasama PERDIM bersama PEKB Menyedari hakikat itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) telah menganjurkan program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) 2025. Program berlangsung selama tujuh hari di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu, Kelantan itu melibatkan seramai 35 orang wanita berusia antara 18 hingga 58 tahun yang kebanyakannya adalah suri rumah dan ibu tunggal. Menerusi program tersebut, para peserta berpeluang mendalami ilmu berkaitan penjagaan kesihatan ibu berpantang selepas bersalin dan bayi menerusi Kursus Eksklusif Pantang dan Penjagaan Kesihatan Ibu, sekali gus membolehkan mereka bergelar usahawan. Menurut timbalan penganjur kursus tersebut, Dr. Suffia Hany Mohd. Amin, program PEKB dianjurkan bertujuan membantu wanita dalam kumpulan B40 yang menetap di sekitar bandar Kota Bharu menjana pendapatan. Katanya, bagi program di Kota Bharu, pihaknya memilih untuk menerapkan kursus berkaitan penjagaan ibu berpantang selepas bersalin dan penjagaan bayi kerana permintaan terhadap perkhidmatan tersebut semakin meningkat. Kursus Ibu berpantang selepas bersalin “Ini merupakan kali pertama pihak Perdim menganjurkan kursus berkenaan di Kota Bharu. Menerusi program ini, kami ingin membantu golongan wanita terutamanya suri rumah dan ibu tunggal menjana pendapatan menerusi kursus yang diberikan. “Kursus ini diberi secara percuma kepada mereka yang terpilih. Peserta juga diberi penginapan sepanjang tujuh hari kursus berlangsung, selain duit poket dan perjalanan berjumlah RM500 seorang,” ujarnya ketika ditemu bual K-Wanita baru-baru ini. Antara modul yang diketengahkan sepanjang kursus tersebut adalah pembangunan minda insan bagi membina keyakinan diri dan menetapkan matlamat kepada para peserta. Dalam kursus tersebut juga, para peserta didedahkan dengan kemahiran urutan selepas bersalin, asas rawatan penjagaan badan, anatomi perbidanan, bertungku, param pilis, bengkung, penjagaan bayi dan banyak lagi. Menurut Dr. Suffia Hany yang juga Ahli Jawatankuasa Perdim, kursus tersebut melibatkan teori dan amali bagi memudahkan para peserta memahami setiap ilmu yang diberikan. “Kemahiran yang kami berikan ini tidak terhad kepada amalan tradisional saja. Sebaliknya, kami juga menerapkan ilmu-ilmu moden dalam penjagaan ibu berpantang dan bayi. “Salah satu kehebatan kursus kemahiran ini, ia disampaikan oleh doktor-doktor perubatan dari Perdim yang memiliki pengalaman luas,” ujarnya. Selepas tamat kursus, para peserta bukan sahaja diberi sijil, malah mereka mendapat peralatan untuk penjagaan ibu berpantang selepas bersalin dan bayi yang dianggarkan bernilai RM4,000 secara percuma. Antara peralatan yang diberikan termasuklah set tangas, bengkung, set tuam bayi, set batu tungku, produk param pilis dan tapel, set minyak urutan serta katil mudah alih. “Selepas tamat kursus ini, kami akan memantau para peserta selama enam bulan. Ia bagi memastikan mereka dapat menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM750 bagi tiga bulan sepanjang tempoh pemantauan kami,” ujarnya. Majlis penutup kursus tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Bahagian Cawangan Peningkatan Sosioekonomi Bahagian Kesejahteraan Komuniti, KPKT, Shahrunaim Radzali. Turut hadir pada majlis ialah penganjur kursus berkenaan yang juga Presiden Perdim, Dr. Boi Saidi Abdul Razak. SALAH seorang tenaga pengajar menunjukkan cara urutan selepas bersalin kepada peserta program. Sementara itu, salah seorang peserta, Ayu Nur Syafieqa Ismail, 25, berkata, kursus berkenaan memberi banyak manfaat kepada golongan wanita yang masih tercari-cari peluang untuk menambah pendapatan keluarga. Ujarnya, menerusi kursus tersebut, para peserta dapat mendalami pelbagai ilmu berkaitan penjagaan ibu berpantang selepas bersalin dan bayi sehingga membolehkan mereka bergelar seorang usahawan. “Selepas habis belajar, saya masih belum mempunyai pekerjaan tetap kerana terpaksa menjaga bapa yang sedang sakit di rumah. “Jadi menerusi kursus ini, saya ingin memulakan perkhidmatan secara sambilan mengurut ibu berpantang selepas bersalin, sekali gus membolehkan saya menjana pendapatan,” ujar wanita berasal dari Kota Bharu itu. Tambahnya, sepanjang kursus, dia cukup teruja dapat mempelajari pelbagai kemahiran baharu seperti pengurusan kewangan, urutan badan, anatomi perbidanan dan bertungku daripada tenaga pengajar bertauliah. “Sebenarnya, saya memang sudah ada asas dalam mengurut badan. Namun sebelum ini, saya hanya belajar daripada orang-orang di sekeliling. Ini kali pertama saya dapat belajar mengurut secara formal daripada mereka yang pakar. “Dengan kemahiran dan barangan yang diperolehi daripada kursus ini, ia meningkatkan lagi keyakinan saya untuk mula memberi perkhidmatan mengurut kepada ibu berpantang selepas bersalin. Ketika ini, saya giat menyediakan poster promosi untuk disebarkan di dalam media sosial,” katanya. Oleh MOHD SHAZWAN YUSOP 7 Mac 2025, 8:35 am Artikel ditulis di News Media KOSMO ………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….. PERSENS, NGO yang diasaskan oleh Dr. Suffia Hany Mohd Amin, juga sering berkerjasama bersama PERDIM, Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia. Bersama, mereka dapat melaksanakan program pembangunan sosial dan ekonomi di Negeri Selangor. Organisasi ini memperkasakan masyarakat, khususnya wanita, belia, dan komuniti B40 melalui latihan, program keusahawanan, dan sokongan pembangunan komuniti.
Bakti Perdim buat Orang Asli, wanita dibimbing berdandan
Artikel ditulis oleh pemberita Kosmo : MOHD SHAZWAN YUSOP Dalam usaha menggalakkan masyarakat luar bandar lebih prihatin terhadap isu kesihatan, Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (Perdim) terpanggil untuk menganjurkan program Sihat dan Ceria Bersama Perdim (Sihat dan Ceria). Program yang berlangsung di Kampung Orang Asli Alur Beruang, Rompin, Pahang itu telah mendapat sambutan yang baik apabila ramai penduduk setempat hadir memeriahkan setiap aktiviti dianjurkan. Menurut Presiden Perdim, Dr. Boi Saidi, Sihat dan Ceria merupakan program tanggungjawab sosial (CSR) yang bermatlamat untuk mendekatkan ahli pertubuhan tersebut dengan komuniti terutama di luar bandar. Ujarnya, program tersebut membuktikan bahawa ahli-ahli Perdim sentiasa komited untuk memartabatkan profesion doktor klinik swasta melalui aktiviti kebajikan dan kerja amal yang dijalankan. “Walaupun doktor swasta kini berdepan dengan pelbagai cabaran, namun ahli Perdim tetap membuktikan bahawa kami mampu menabur bakti kepada masyarakat yang memerlukan.” “Langkah ini membuktikan komitmen Perdim dalam memperkukuh peranan pertubuhan ini sebagai sebuah NGO (pertubuhan bukan kerajaan) kesihatan yang relevan dan berdaya saing,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini. Program amal yang julung kali dianjurkan oleh Perdim di perkampungan Orang Asli itu berlangsung dalam suasana cukup harmoni. Dianggarkan hampir 75 peratus daripada 500 orang penduduk kampung hadir memeriahkan program seharian itu. Antara aktiviti yang dianjurkan ialah pemeriksaan kesihatan, cara penampilan dan dandanan bersama Dr. Suffia Hany Amin, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, selain perkhidmatan gunting rambut serta perurutan refleksologi percuma. Pada sebelah malamnya pula, program Sihat dan Ceria dimeriahkan dengan pertandingan karaoke yang melibatkan seramai 18 orang peserta dalam kalangan penduduk kampung. “Program ini bukan sahaja berjaya mengeratkan silaturahim antara warga perubatan dan masyarakat Orang Asli, malah membuktikan bahawa khidmat bakti yang dilakukan dengan ikhlas mampu menyemai kasih dan meningkatkan kesejahteraan komuniti.” “Saya mewakili Perdim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tok Batin serta seluruh penduduk Kampung Alur Beruang atas sambutan yang luar biasa ini,” katanya. Untuk makluman, program tersebut telah dirasmikan oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff. Salah seorang sukarelawan yang juga Ahli Jawatankuasa Perdim, Dr. Suffia memaklumkan, program Sihat dan Ceria memberi peluang kepadanya untuk menyantuni dan menabur bakti kepada masyarakat di luar bandar. Dalam program tersebut, Dr. Suffia telah diberi tanggungjawab untuk mengendalikan aktiviti cara penampilan dan dandanan yang melibatkan seramai 45 peserta wanita. “Menerusi aktiviti ini saya berpeluang berkongsi ilmu asas solekan dan penjagaan diri kepada golongan wanita. Aktiviti ini bukan sahaja memberi pendedahan tentang kecantikan, malah menanam keyakinan diri dalam kalangan peserta,” ujarnya. Sementara itu, Tok Batin kampung tersebut, Jazli Kurus merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdim kerana berjaya menganjurkan satu program yang amat bermakna untuk masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut. Dia sangat berharap supaya Perdim dapat terus menabur bakti kepada masyarakat setempat, khususnya di kawasan DUN Pulau Manis dan menjadikan Sihat dan Ceria sebagai program tahunan. disediakan oleh: Dr Suffia Hany Leadership & EQ Strategist Empowering Women through Leadership, Wisdom & Emotional Intelligence. ————————————————————————————————————————— Inisiatif seperti ini selari dengan usaha berterusan yang digerakkan oleh Dr Suffia Hany, seorang tokoh latihan pembangunan wanita di Malaysia yang aktif memperkasa wanita melalui pendekatan beretika dan berstruktur.Baca latar belakang penuh Dr Suffia Hany di sini.
Usaha dedahkan wanita dengan ilmu kepimpinan
Secara umumnya, wanita bukan sahaja berperanan dalam rumah tangga, malah golongan itu turut menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara. Justeru itu, setiap wanita perlu diperkasakan dengan ilmu kepimpinan bagi memastikan golongan tersebut mampu menjadi pembimbing yang baik kepada orang di sekeliling. Menyedari hakikat itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menganjurkan Program Pementoran Kepimpinan Dalam Sosioekonomi dan Keusahawanan Wanita Di Peringkat Komuniti (Pementoran Kepimpinan). Program melibatkan seramai 30 orang wanita daripada pelbagai latar belakang itu telah berlangsung dengan jayanya di Hotel Tamu dan Suites, Kampung Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini. Program selama tiga hari itu bertujuan meningkatkan ilmu pengetahuan – mengenai kepimpinan, sosioekonomi dan keusahawanan dalam kalangan wanita di peringkat komuniti. Mentor program tersebut, Dr. Sufia Hany Mohd. Amin memaklumkan, program tersebut bermatlamat membimbing dan mengasah bakat para peserta menjadi pemimpin wanita yang mampan. “Pementoran Kepimpinan merupakan program yang menitikberatkan kemahiran soft skills bagi melahirkan golongan wanita yang mampu bersaing dalam keadaan penuh mencabar ketika ini. “Para peserta yang menyertai program ini terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ada yang berkerjaya, pemimpin komuniti, usahawan dan suri rumah sepenuh masa. “Di akhir program ini, kami mahu para peserta pulang ke tempat masing-masing dan mengaplikasikan ilmu yang diperoleh di sini dalam kehidupan harian mereka,” katanya ketika ditemu bual K-Wanita. Untuk makluman, program Pementoran Kepimpinan berlangsung selama enam bulan termasuk sesi pementoran secara dalam talian (zoom meeting), aktiviti kesukarelawanan dan kem bina semangat. Antara modul yang diketengahkan dalam program tersebut termasuklah kepimpinan, penampilan dan dandanan, komunikasi, cabaran sosioekonomi, strategi usahawan, perancangan perniagaan, aktiviti kesukarelawan serta mengenali potensi diri. Menurut Dr. Suffia yang juga seorang usahawan, para peserta didedahkan dengan pendekatan dan modul mudah difahami dalam usaha melahirkan pemimpin hebat, selain membina penampilan wanita dihormati. “Salah satu modul menarik adalah kepimpinan dan cara mengurus emosi dalam kalangan wanita. Kebijaksanaancmengurus emosi mampu membantu peserta mengawal perasaan secara bijak, walau apa pun cabaran yang terpaksa dihadapi mereka. “Menerusi modul-modul yang diketengahkan juga, program ini mampu mengeratkan lagi silaturahim antara wanita, sekali gus mengukuhkan jaringan kerjasama antara golongan tersebut,” ujarnya. Sementara itu, salah seorang peserta Pementoran Kepimpinan, Noorafzan Md. Yusof, 48, berkata, program tersebut berjaya mencapai objektifnya apabila dia kini berasa lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan harian. Menurut wanita berasal dari Kampung Baru itu, program tersebut menjadikannya lebih yakin untuk berusaha memajukan diri menerusi ilmu-ilmu kepimpinan yang diterapkan. “Ini kali pertama saya menyertai program berbentuk kepimpinan selepas dipelawa oleh salah seorang rakan. Ternyata program ini sangat menyeronokkan dan saya langsung tidak berasa bosan. “Paling penting, saya berjaya menyerap banyak ilmu berkaitan kepimpinan untuk diaplikasikan dalam kehidupan harian. Biarpun saya bergelar suri rumah dan menjalankan perniagaan online dari rumah, namun saya yakin ilmu kepimpinan sangat penting dalam hidup,” ujarnya. Noorafzan yang juga ibu kepada dua cahaya mata memberitahu, salah satu modul yang menarik perhatiannya dalam program tersebut adalah perancangan perniagaan. Ujarnya, menerusi modul tersebut, para peserta perlu membentangkan idea perniagaan yang ingin diusahakan oleh mereka, sebelum dikritik oleh mentor untuk ditambah baik. “Menerusi pembentangan itu, saya dapat macam-macam idea untuk menjalankan perniagaan pada masa depan.” “Setiap kritikan diberikan oleh mentor cukup bermakna kerana Dr. Suffia merupakan seorang usahawan yang mempunyai banyak pengalaman,” ujarnya. disediakan oleh: Dr Suffia Hany Leadership & EQ Strategist Empowering Women through Leadership, Wisdom & Emotional Intelligence. ————————————————————————————————————————— Usaha memperkukuh kepimpinan wanita ini turut mencerminkan visi dan pendekatan yang dibawa oleh Dr Suffia Hany dalam membangunkan potensi wanita secara holistik.Ketahui latar belakang Dr Suffia Hany di sini.
Turunkan BERAT BADAN tanpa DIET drastik
Mingguan Malaysia 28 APRIL 2019 Mendapat berat badan yang ideal sering dikaitkan dengan penurunan berat badan . Bagaimanapun ukuran berat badan dan penurunan berat badan ialah dua elemen yang tidak mengalami perubahan secara serentak . sebaliknya anda harus melangsingkan badan dengan cara senaman yang berkesan dan diet seimbang. Ramai yang menurunkan berat badan kerana ingin menurukan risiko masalah kesihatan seperti kencing manis dan kardiovaskular. Jesteru , penurunan berat badan boleh membantu untuk penambahbaikan fizikal , peningkatan tenaga dan kesedaran untuk berasa lebih sihat . Dalam pada itu definisi perkataan ‘Berat badan berlebihan’ perlu dianalisis kerana istilah ini boleh membawa kepada obsess untuk melalukan diet drastic atau diet yang salah . Berat badan berlebihan bermakna seseorang itu mempunyai pengambilan kalori yang tinggi dan metabolism yang rendah. Oleh itu untuk menurunkan berat badan dengan cara yang sihat , anda memerlukan dua langkah serentak iaitu mengurangkan pengambilan kalori dengan diet seimbang dan meningkatkan penggunaan kalori melalui senaman yang betul.Hakikatnya , senaman yang kerap boleh menurunkan berat badan , pada masa sama seseorang itu menjalani gaya hidup sihat. Penyelesian paling mudah ialah mengurangkan pengambilan makanan dan mengelakkan makanan yang dilarang ketika melalukan diet seimbang . Namun begitu , cara ini akan mengehadkan pengambilan nutrient penting kepada badan dengan berkesan.Walaupun boleh mengurangkan berat badan dalam masa yang singkat tetapi berisiko kepada kesihatan individu .Matlamat diey seimbang ialah mengambil kalori yang betul di samping kekerapan melalukan senaman . Jumlah nutrien yang diperlukan ( Karbohidrat , protein , lemak , air, vitamin dan mineral )bervariasi dengan gaya hidup seseorang . Kaebohidrat perlu meliputi kira-kira 60 Peratus daripada keperluan tenaga . Selebihnya dikongsi antara lemak dan protein , masing-masing sebanyak 25 dan 15 peratus. Disyorkan juga agar seseorang itu mengambil karbohidrat sebelum aktiviti fizikal. Makanan yang mengandungi karbohidrat seperti yogurt ,buah dan bijirin mengambil satu hingga dua jam untuk dicerna manakala makanan kaya lemak mengambil lebih dari empat jam dan makanan jenis ini tidak sesuai . Mengekalkan diet digabungkan dengan aktiviti fizikal boleh membantu mengurangkan lemak badan tanpa menjejaskan jisim badan tanpa lemak. Mengurangkan Pengambilan protein boleh menurunkan berat badan tetapi akan memusnahkan jisim otot dan protein organ seperti yang ada pada hati dan buah pinggang. Diet yang rendah karbohidrat dan protein yang tinggi juga boleh menjadi sangat berbahaya kepada tulang , buah pinggang dan kolesterol . Semua diet berdasarkan pengambilan kuantiti makanan tertentu adalah berbahaya bukan saja kepada fizikal tetapi juga untuk kesejahteraan psikologi . PENTING: Rawatan aestetik untuk pembentukan pinggang ramping Laserlipolysis ialah rawatab pembedahan yang menggunakan teknologi laser pada bahagian anggota yang berlebihan lemak seperti paha , pinggang , lengan. Meso lipo ( suntikan ) tanpa pembedahan dan dilalukan pada kawasan sasaran Cryolipo atau teknologi mengunakan mesin yang membekukan lemak dan memecahkan pembekuan lemak tanpa sebarang pembedahan Mesin Vibrolight digunakan untuk mengingkatkan kadar metabolism dan memperbaiki sistem limfa Platele-rich plasma ( PRP) boleh digunakan untuk mengurangkan ukuran pinggang , paha, lengan dan selamat kerana menggunakan darah sendiri Lipocel/Ulrtacel ialah mesin yang menggunakan teknologi meningkatkakn penghasilan kolagen yang akan memperbaiki kekenduran pada kulit dan menganjalkan kulit Pelbagai mesin berteknologi tinggi yang digunakan dalam rawatan menurunkan berat badan . Tetapi dapatlah nasihat doktor estetik untuk pemilihan jenis rawatan yang bersesuaian dengan anda kerana setiap individu memerlukan rawatan yang berbeza. Prepared by Dr. Suffia Hany Director & Speaker | Dewi Hany Training & Consultation drsuffiahany.com
Rawatan Hormon Kembalikan Nikmat SEKS!
Mingguan Malaysia, 24 Feb 2019 Saat menginjak ke fasa menopaus, Ia sebenarnya satu waktu yang sangat membimbangkan dan menakutkan bagi seorang wanita. Banyak perkara yang bermain di minda mereka terutamanya memikirkan hubungan intim bersama pasangan . Soal ini harus dijaga terutama bagi wanita yang mempunyai pasangan yang usianya lebih muda ataupun pasangan yang masih aktif dalam hubungan seksual. Hal yang sama berlaku ke atas diri rohani ( Bukan nama sebenar ) .Memikirkan hal ini membuatkan rohani ada kalanya menjadi murung dan tidak mahu gembira bersama pasanganya. Ini kerana tanda-tanda menopaus sudah ada dan ia menjadi kerunsingan bagi dirinya. Menurut Dr Suffia Hany, pakar Estetik & Anti-aging, dari Francsuffia wellness centre, wanita dan menopaus dua perkara yang sinonim dan tidak dapat dipisahkan . Setiap wanita yang sudah mencapai usia emas ataupun lewat 50-an malahan ada pada awal 50-an akan mengalami situasi dan keadaan ini. Simptom seperti haid tidak lagi teratur hingga ada yang tidak mengalami kedatangan haid sehingga dua bulan dan selepas itu ada kembali , Itu juga antara simptom dan tanda-tanda seorang wanita itu akan menopaus. Namun begitu, kerunsingan dan kerisauan yang terlalu tinggi boleh membawa kepada kemurungan dan kecicaruan fikiran. Hal ini sebenarnya akan menyumbangkan lagi kepada kecepatan menopaus itu terjadi. Apa yang perlu ialah, tenangkan diri dan anggap ia adalah perkara biasa terjadi kepada setiap wanita normal. Perbincangan dua hala pasangan serta sokongan daripada pasangan adalah sangat penting. Pada situasi ini pasangan tidak boleh membawa haluan sendiri kerana isteri perlukan pemahaman daripada suami. Kata-kata sokongan dibantu dengan perbuatan membuatkan isteri terasa diri mereka dihargai. Vagina dan kulit disekitarnya terasa kering dan tidak lagi lembap seperti dahulu adalah kesanya .Keinginan untuk bersama pada peringkat awal juga mungkin akan berkurang kerana tidak berasa selesa dengan perubahan vagina. Terjadinya keadaan sebegini adalah disebabkan oleh hormon estrogen wanita menopaus ia sudah menurun. Apa yang perlu dilakukan , Jangan terus mengelak untuk melakukan hubungan intim bersama pasangan , boleh diteruskan seperti biasa dengan bantuan dan sokongan pelbagai gel serta krim yang disyorkan. Dan sebenarnya dengan cara terus merangsang aliran darah disekitar vagina dan tubuh anda tetap sihat walapun sudah menopaus. “Tanggapan mengatakan mereka yang sudah menopaus tidak mencapai tahap orgasma yang memuaskan adalah satu tanggapan yang tidak tepat …” APA YANG TERJADI PADA WAKTU MENOPAUS? CARA PANDANG TERHADAP DIRI BERUBAH Banyak perubahan yang terjadi selama menopaus tidak hanya tertakluk pada perubahan fizikal tetapi tertakluk juga pada mental. Menopaus boleh mengubah cara pandangan wanita mengenai tubuhu dan kehidupan seksual mereka serta harga dirinya .Bagi mengatasinya cubalah alihkan kepada minat seperti bermain piano ataupun apa sahaja kegemaran anda yang boleh meningkatkan kepercayaan diri anda. USAHA LEBIH KERAS Tanggapan mengatakan mereka yang sudah menopaus tidak mencapai tahap orgasma yang memuaskan adalah satu tanggapan yang tidak tepat . Boleh sahaja mencapai tahap orgasma namun perlu sedikit usaha yang lebih. Pasti nya kondisi diri sudah jauh beza ketika usia 20 tahun berbanding hubungan intim pada usia 50 tahun . Jadi ia adalah satu kejadian normal dan tidak perlu menjadi satu isu yang besar dan membuatkan anda tertekan. Tidak Konsisten Ia adalah kalangan memberikan kesan yang berbeza untuk setiap orang. Ada yang membawa kesan kepada penurunan keirginan untuk melakukan hubungan intim namun ada juga ketikan keinginan itu memuncak . Jika keinginan yang tidak konsisten ini akan memberikan kesan kepada pemikiran jika ia tidak terkawal dengan baik. Jadi penuhkan diri dengan aktiviti seperti bersenam dan sebagainya mampu mengembalikan keceriaan diri dan hidup. Dinding vagina menipis Salah satu masalah kehidupan seks terbesar setelah menopaus ialah menurunnya kadar estrogen yang menyebabkan berlakunya penipisan dinding vagina. Penipisan dinding vagina ditambah pula dengan berkurangnya darah lubrikasi akan menjadi keadaan menyakitkan ketika hubungan intim . Jika anda mengalami hal tersebut maka sebaiknya anda berjumpa dan meminta nasihat daripada doctor supaya mendapat khidmat dan nasihat. Prepared by Dr. Suffia Hany Director & Speaker | Dewi Hany Training & Consultation drsuffiahany.com
Lambatkan Proses Penuaan
Mingguan Malaysia, 7 April 2019 Alangkah beruntung seorang wanita yang memiliki kulit cantik dan berseri tanpa sebarang cela. Kulit yang segar berupaya melindungi usia sebenar seseorang wanita. Namun, bagi wanita yang sudah menginjak umur 4o-an, potensi mengalami masalah tanda-tanda penuaan tidak dapat dielakkan seiring dengan peningkatan usia dan kekurangan hormon dalam badan . Masalah penuaan yang tidak ditangani dengan sebaik mungkin boleh memberi kesan kepada wanita sama ada dari segi perubahan emosi mahupun fizikal. “Wanita yang kelihatan tua pada usia sebenar turut berpontensi mengalami Proses penuaan bermula ketika seseorang itu memasuki usia 25 tahun, justeru setiap individu memerlukan masa yang lama untuk menangani masalah tersebut.” Dalam hal ini,’wanita lebih tinggi mengalami masalah penuaan berbanding lelaki memandangkan factor perubahan hormon yang berlaku dengan lebih cepat dalam badan mereka. Lagi lama anda tunggu untuk menangani proses penuaan lebih sukar untuk mengawalnya serta memperlahankan kesannya. Sebagai contoh, jika anda mula mengambil langkah untuk mengatasi penuaan pada usia 3o-an, ia mungkin mengambil masa tiga hingga enam bulan untuk mengatasinya. Sekiranya anda tunggu sehingga berusia 5o tahun atau lebihi masalah penuaan memerlukan tiga hingga lima tahun untuk ditangani. Penuaan amat berkaitan dengan perubahan dari segi dinamik, biologi, fisiologi, persekitaran, psikologi, kelakuan dan proses sosial. Penuaan bukanlah penyakit tetapi penyakit-penyakit yang kronik akan mempercepatkan proses penuaan. Proses penuaan ini melibatkan sel, komponen tisu dan system tubuh badan manusia. Penuaan pada wajah bermula dengan perubahan pada permukaan-luar dan dalam struktur tisu muka iaitu kulit, lemak, otot dan tulang. Perubahan itu boleh dilihat melalui ekspresi muka. Tanda-tanda penuaan pada wajah : Kedutan atau garisan atas dahi Kedutan antara dua kening berkerut Kedutan tepi mata terutama ketika senyum Garisan tepi hidung Garisan bawah mata Garisan bawah tepi pipi shingga ke bahagian dagu Kendur pipi di wajah akan terjadinya garisan di tepi hujung bibir. BAGAIMANA PENUAAN BERLAKU? Teori penuaan, secara rawak berlaku mutasi pada sel somatic DNA yang menyebabkan berlakunya perubahan sel. Teori berkaitan cToss-linkedkolagen dengan protein yang menyebabkan non enzymatic kombinasi antara glukos dan asid amino yang menyebabkan kerosakan pada tisu. Boleh dibahagikan kepada proses biologi iaitu kronologikal dan hormonal.proses kronologikal adalah proses secara normal atau semula jadi. Kolagen akan hilang secara semula jadi disebabkan pengurangan penghasilan kolagen oleh Jibroblast danelastic Jibers yang menjadi lemah. Ini menyebabkan kekenduran pada kulit sekali gus ada nya tanda kedutan garisan halus,kekeringan pada kulit dan tiada lagi ketegangan pada kulit wajah. Proses hormonal pula adalah daripada proses evolusi badan secara natural. Antaranya berkaitan perubahan hormon seperti perubahan hormon semasa mengandung atau semasa menopaus iaitu kekurangan hormon estrogen. Selain itu, penuaan boleh disebabkan oleh sinaran matahari. Kajian menunjukkan bahawa 80peratus penuaan pramasa disebabkan oleh persekitaran yang tercemar. Pendedahan kepada cahaya matahari yang berlebihan menyebabkan peningkatan penghasilan radikal bebas yang meningkatkan proses oksidasi pada kerosakan sel dan DNA. Tanda-tanda yang dapat tona kulit yang tidak sekata, garisan halus dan kedutan. BAGAIMANA PENUAAN BOLEH D LAMBATKAN? Lindungi kulit daripada terdedah berlebihan kepada cahaya matahari. Penggunaan pelindung cahaya matahari (sunblock atau sunscreen) sangatlahpenting (SPF). Hentikan merokok supayatidak terdedah secara langsung kepada bahan kimia rokok dan asap. Makan pemakanan seimbang dan pemakanan Minum air satu hingga dua liter sehari senaman pastikan menjalani pemeriksaan kesihatan yang berjadual. RAWATAN PENUAAN Rawatan pemeriksaanhormon dan seimbangkanparas hormon yang normal. Rawatan laser. Filler atau BTX boleh membantu. Teknik platelet rich plasma (PRP) yang memudakan sel-sel dalam badan. Prepared by Dr. Suffia Hany Director & Speaker | Dewi Hany Training & Consultation drsuffiahany.com
Vampire facial rawat wajah guna darah
Mingguan Malaysia, 24 Mac 2019 SAYA didatangi oleh seorang wanita berusia 40-an yang mengadu mukanya semakin kusam, kendur dan berkedut serta berparut disebabkan jerawat. Dia merasakan dirinya tidak cantik pada pandangan mata suaminya. Keyakinan dirinya semakin kurang. Malu kerana nampak tua sebelum usia. Orang selalu menganggap dia ialah ibu kepada suaminya sekiranya keluar bersama. Ini kerana suaminya kelihatan lebih muda. Saya kemudian menyarankan dia menjalani rawatan hormon dan plasma darah atau platelet rich plasma (PRP). Dalam rawatan estetik, PRP semakin diminati dan menjadi trend terkini yang mampu memulihkan kulit dan membantu bagi menampakkan wajah lebih muda dan kulit lebih tegang. Rawatan PRP ini memerlukan pengambilan darah dan kemudian dilakukan pengasingan plasma yang digunakan untuk rawatan regeneratif, antiradangan serta penghasilan tisu baharu yang sihat selain menghasilkan kolagen dan elastin. Semua maklum bahawa kolagen sangat penting untuk menegangkan kulit. Malah ramai usahawan yang melabelkan produk mereka mengandungi kolagen yang boleh menegangkan kulit. Tahukah anda penghasilan kolagen terbaik adalah melalui rawatan PRP dengan menggunakan darah sendiri? Rawatan PRP ini pernah ditularkan oleh Kim Kardashian sebagai vampire facial. Rawatan wajah puntianak menjadi kegilaan ramai tetapi ada juga yang takut apabila membaca perkataan puntianak. Sedangkan rawatan ini selamat, tidak menyakitkan, mudah dan tempoh penyembuhannya juga singkat. Rawatan PRP ini juga tidak menggunakan bahan lain selain darah sendiri, jadi risiko alahan tidak akan berlaku. Malah rawatan ini juga digunakan dalam ortopedik untuk merawat otot atau sendi yang mengalami radangan. Darah adalah cecair plasma yang juga mengandungi komponen darah merah, darah putih dan platelet. Kemudian darah yang diambil akan diproses melalui mesin centrifudge yang berfungsi mengasingkan platelet rich plasma (plasma yang kaya dengan platelet) daripada komponen darah lain. PRP yang telah diasingkan akan disuntik semula kepada bahagian yang bermasalah seperti kulit wajah, kulit kepala, otot, sendi atau bahagian lain tubuh yang perlukan rawatan. Rawatan yang boleh menggunakan PRP: Wajah kusam/pigmentasi. Parut jerawat/jerawat/pori-pori terbuka. Kendur pada kulit wajah Kedutan sekitar bawah mata, tepi mata, dahi dan seluruh wajah. Rambut gugur/botak Sakit sendi atau otot. Parut pada perut/peha. Payudara kendur. Luka (terutama pesakit diabetes). Merawat alat kelamin yang kendur (labia majora) pada wanita. Langkah rawatan: Kenal pasti masalah yang dihadapi oleh pesakit sama ada pada wajah atau bahagian tubuh lain. Sejarah perubatan, ada penyakit lain atau sedang menjalani apa-apa rawatan. Kebenaran memulakan rawatan. Muka akan dicuci bersih dan diletakkan krim kebas selama 20 minit Darah diambil dan diproses melalui mesin centrifudge. Muka akan dicuci semula sehingga bersih. Microneedling akan digunakan dan PRP akan dimasukkan ke dalam kulit bahagian dermis dan penetrasi PRP pada bahagian dalam kulit akan stimulasikan penghasilan kolagen dan tisu baharu yang sihat. Bahagian kulit luar juga akan disapu sekata dengan PRP juga menggunakan microneedling. Kesemua bahagian kulit akan menerima PRP dengan sekata supaya kulit akan dipulihkan dan penghasilan sel baharu dan kolagen terhasil pada keseluruhan bahagian wajah. Muka akan kelihatan merah sedikit dan rasa seperti tegang. Kemerahan akan hilang dalam masa 24 jam. Pastikan semasa rawatan, pesakit tidak terlalu terdedah kepada matahari secara langsung. Pastikan penggunaan produk penjagaan kulit yang selamat dengan tidak menggunakan bahan-bahan yang merosakkan kulit seperti produk yang boleh mengelupaskan kulit. Lazimnya doktor akan menasihati tentang jenis-jenis produk yang selamat untuk digunakan. Hasil awal rawatan akan diperoleh dalam masa satu hingga dua minggu. Kulit akan nampak cerah, tegang dan baharu. Nasihat saya kepada mereka yang mengalami masalah seperti tersenarai di atas, pastikan anda berjumpa dan meminta nasihat doktor untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya. Pastikan anda mengemukakan masalah dan jangan malu untuk meminta nasihat doktor. Prepared by Dr. Suffia Hany Director & Speaker | Dewi Hany Training & Consultation drsuffiahany.com