Akan ada waktunya dalam hidup kita bila kita rasa, pintu rezeki begitu susah untuk terbuka. Sedangkan kita sudah berusaha sebaik mungkin namun apa yang kita harapkan tetap tidak menjadi. “Ahh…penat, kan?” Peluang yang kita tunggu tak datang-datang. Projek yang kita sangka akan berjaya tiba-tiba terhenti. Seseorang yang kita harapkan membantu memilih untuk pergi. Malah ada ketika pintu rezeki bagai tertutup tepat pada saat kita benar-benar memerlukannya. Saat seperti ini memang berat. Kita mungkin tertanya-tanya, “Aduh, kenapa sekarang ya?” atau “Selepas ini, bagaimana?” Namun sepanjang perjalanan hidup, saya belajar satu perkara penting, apabila satu pintu tertutup, itu tidak bermakna semua jalan sudah berakhir. Kadang-kadang Allah SWT menutup satu pintu kerana Dia sedang mengalihkan langkah kita kepada pintu yang lain. Pintu yang kita belum nampak. Pintu yang mungkin lebih baik. Dan kadang-kadang, pintu yang selama ini tidak pernah kita bayangkan pun akan terbuka untuk kita. Pintu Rezeki Allah Tidak Datang Melalui Satu Jalan Sahaja Manusia selalu melihat rezeki melalui perkara yang berada di hadapan mata. Gaji Perniagaan Pelanggan Kontrak Peluang Pekerjaan Tetapi pintu rezeki Allah jauh lebih luas daripada itu. Rezeki boleh datang dalam bentuk seseorang yang membantu ketika kita sedang buntu. Rezeki boleh berupa kesihatan, idea baru, peluang yang muncul secara tiba-tiba atau pertemuan dengan seseorang yang akhirnya mengubah perjalanan hidup kita. Kadang-kadang rezeki juga datang dalam bentuk sesuatu yang Allah jauhkan daripada kita. Kita mungkin kecewa pada awalnya, tetapi beberapa bulan atau beberapa tahun kemudian barulah kita faham kenapa perkara itu tidak menjadi. Allah SWT berfirman dalam Surah At-Talaq, ayat 2–3 bahawa sesiapa yang bertakwa kepada-Nya, Allah akan memberikan jalan keluar dan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Ayat ini mengingatkan kita bahawa jalan Allah tidak semestinya sama dengan jalan yang kita rancang. Tugas kita adalah terus berusaha. Dan BELIEVE!. Berdoalah, Tetapi Jangan Berhenti Berusaha Ada satu lagi perkara yang perlu sentiasa berjalan bersama dalam kehidupan seorang Muslim, iaitu, “doa dan usaha.” Jangan hanya berdoa tanpa bergerak. Dan jangan pula terlalu sibuk berusaha sehingga lupa siapa sebenarnya yang menentukan hasil akhirnya. Kadang-kadang kita sudah mengetuk satu pintu berkali-kali sehingga lupa bahawa mungkin ada pintu lain yang sedang menunggu untuk kita buka. Jika sesuatu tidak menjadi, cuba lagi. Jika satu rancangan gagal, susun rancangan baru. Jika satu peluang hilang, cari ruang yang lain. Jangan cepat menyimpulkan bahawa Allah tidak mendengar doa kita hanya kerana jawapannya belum muncul dalam bentuk yang kita harapkan. Ada doa yang Allah jawab dengan “ya”. Ada yang datang kemudian. Dan ada juga sesuatu yang tidak diberikan kerana Allah mengetahui ia bukan yang terbaik untuk kita. Jangan berputus asa daripada rahmat Allah. Selagi kita masih mampu berdoa dan berusaha, perjalanan itu belum berakhir. Jangan Takut Untuk Memberi Satu lagi perkara yang saya percaya kuat dalam kehidupan ialah jangan terlalu takut untuk memberi. Kadang-kadang apabila kewangan sedang sempit, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran ialah kita perlu memegang semuanya. Jangan keluarkan apa-apa. Jangan beri kepada sesiapa. Simpan sebanyak mungkin. Sudah tentu kita perlu bijak mengurus kewangan. Islam sendiri mengajar kita supaya tidak membazir dan tidak berlebihan. Tetapi jangan sampai ketakutan membuat hati kita terlalu berat untuk bersedekah. Allah SWT menggambarkan pahala orang yang membelanjakan hartanya di jalan-Nya seperti sebutir benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, dan setiap tangkai menghasilkan seratus biji. Maksudnya sangat indah. Apa yang kita beri kerana Allah tidak pernah benar-benar hilang. Ia mungkin kembali dalam bentuk wang. Mungkin juga dalam bentuk peluang, ketenangan, perlindungan, hubungan yang baik atau keberkatan dalam perkara yang sudah kita miliki. Sebab itu saya kurang melihat sedekah sebagai “kehilangan”. Saya melihatnya sebagai satu bentuk kepercayaan kepada Allah. Kita memberi kerana kita yakin bahawa sumber rezeki bukan sekadar angka di dalam akaun bank. Sumber rezeki kita adalah Allah SWT. Dahulukan Mereka Yang Pernah Memudahkan Urusan Anda Dalam kehidupan, kita juga perlu belajar mengenang budi. Jika ada orang yang pernah membantu anda ketika anda susah, jangan terlalu cepat melupakan mereka apabila keadaan anda sudah berubah. Ada orang pernah memperkenalkan anda kepada peluang. Ada yang memberi kerja ketika orang lain tidak percaya kepada anda. Ada yang membantu tanpa banyak bertanya. Ada yang menyokong ketika anda belum mempunyai apa-apa. Jika suatu hari Allah memberikan anda kemampuan yang lebih baik, ingatlah mereka. Jika mereka memerlukan bantuan dan anda mampu membantu, mudahkanlah urusan mereka pula. Tidak perlu menunggu menjadi jutawan untuk membalas kebaikan. Kadang-kadang satu peluang, satu bantuan kecil, satu pembelian, satu referral atau satu tindakan sederhana pun sudah sangat bermakna. Orang yang tahu menghargai kebaikan manusia selalunya lebih memahami nilai sebuah rezeki. Dan apabila kita memudahkan urusan orang lain, kita berharap Allah juga akan memudahkan urusan kita apabila tiba waktunya kita memerlukan pertolongan. Semakin Kita Memberi, Semakin Luas Ruang Kebaikan Ada satu ungkapan yang selalu kita dengar: The more you give, the more you get. Bagi saya, maksudnya bukanlah kita bersedekah RM100 lalu menunggu Allah memberikan RM1,000 esok pagi. Hubungan kita dengan Allah bukan transaksi matematik. Maksudnya jauh lebih besar. Semakin kita belajar memberi, semakin kurang jiwa kita dikuasai rasa takut kehilangan. Semakin kita membantu, semakin luas jaringan kebaikan yang terbentuk dalam kehidupan. Semakin kita bersyukur, semakin kita sedar betapa banyak sebenarnya nikmat yang sudah Allah berikan. Dan kadang-kadang, ketika kita sibuk menjadi sebab kepada rezeki orang lain, Allah membuka jalan untuk seseorang pula menjadi sebab kepada rezeki kita. Begitulah indahnya kehidupan. Kebaikan bergerak. Doa bergerak. Rezeki juga bergerak melalui jalan yang kadang-kadang tidak pernah kita sangka. Jika Satu Pintu Tertutup, Jangan Berhenti Di Situ Jangan terlalu lama berdiri di hadapan pintu yang sudah tertutup sehingga anda tidak sedar ada pintu lain sedang terbuka. Menangislah jika perlu. Berehatlah sebentar jika penat. Susun kembali kehidupan. Kemudian bangun dan berjalan semula. Berdoalah kepada Allah SWT dengan penuh harapan. Teruskan usaha walaupun hasilnya belum kelihatan. Bersedekahlah mengikut kemampuan. Jangan lupa mereka yang pernah membantu anda. Dan jangan takut apabila rancangan hidup tiba-tiba berubah. Mungkin apa yang kita anggap sebagai kehilangan hari ini sebenarnya sedang membawa kita menuju sesuatu yang lebih baik. Kerana apabila Allah menutup satu pintu, tugas kita bukan terus meratap di hadapannya. Tugas kita ialah
Wanita Perlu Bangkit untuk Menyerlah!
Kadang-kadang, kita tertanya-tanya, “Adakah wanita perlu bangkit” baru dianggap serius, baru dihormati… mulai disegani? – Kerana, sepanjang pengalaman saya… sebagai seorang wanita, sebenarnya ada kekurangan sedikit jika kita mahu MENYERLAH. Sering Lelaki sebagai LEADER yang diberi peluang. Wanita Perlu Bangkit Wanita hari ini sudah berada di pelbagai posisi penting — dalam organisasi, perniagaan, pendidikan, komuniti dan kepimpinan. Namun untuk benar-benar menyerlah, wanita perlu bangkit, dan bukan sahaja perlu memiliki ilmu dan kebolehan. Mereka juga perlu berani berdiri dengan keyakinan terhadap siapa diri mereka sebenarnya. Menjadi pemimpin wanita bukan bermaksud perlu menjadi lebih keras, lebih lantang atau meniru gaya kepimpinan orang lain. Kekuatan seorang wanita terletak pada keunikannya sendiri. Dia boleh tegas tetapi tetap mempunyai empati. Dia boleh mempunyai autoriti tanpa menjadi angkuh. Dia boleh membuat keputusan sukar tanpa kehilangan sifat kemanusiaannya. Dalam Islam, kekuatan juga bukan sesuatu yang perlu kita takutkan. Rasulullah SAW bersabda antaranya : “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah, dan pada kedua-duanya ada kebaikan.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2664) Kekuatan itu bukan semata-mata tentang kedudukan atau kuasa. Ia juga tentang kekuatan jiwa, prinsip, ilmu, keberanian membuat keputusan dan kemampuan untuk terus bangkit apabila diuji. Untuk membaca hadis ini secara penuh dan memahami konteksnya, sila klik di sini. Jangan Hilang Diri Sendiri Demi Diterima Kadangkala apabila wanita berada dalam posisi kepimpinan, terlalu banyak persoalan bermain di fikiran. “Adakah orang akan menghormati saya?” “Adakah saya cukup bagus?” “Bagaimana saya perlu membawa diri?” Hakikatnya, kejayaan tidak datang daripada cuba menjadi orang lain. Seorang wanita perlu belajar menerima bahawa cara dia berfikir, berkomunikasi dan memimpin dengan nilai tersendiri. Authenticity bukan kelemahan dalam kepimpinan. Ia adalah kekuatan. Kita tidak perlu mengecilkan diri supaya orang lain selesa dengan kehadiran kita. Tetapi pada masa yang sama, keyakinan juga perlu berjalan bersama kerendahan hati. Kita boleh yakin tanpa merendahkan orang lain. Kita boleh mempunyai autoriti tanpa kehilangan adab. Berani Bersuara Mengapa Wanita Perlu Bangkit? Kerana di dalam sesetengah situasi. Wanita sering ditindas. Lebih-lebih lagi apabila cuba menyuarakan pendapat. Kadang langsung tidak diendahkan. Ramai wanita mempunyai idea yang baik tetapi memilih untuk diam oleh sebab takut dipandang terlalu lantang, terlalu tegas atau terlalu bercita-cita tinggi. Malah takut juga jika diherdek pula. Tetapi seorang pemimpin perlu mempunyai suara. Bersuara bukan bermaksud perlu bercakap paling kuat di dalam bilik. Ia bermaksud mempunyai keberanian untuk menyampaikan pandangan apabila sesuatu perlu dikatakan. Itulah kebangkitannya, ingat… Idea anda mempunyai nilai. Pengalaman anda mempunyai nilai. Dan perspektif anda juga mempunyai nilai. Jika kita sendiri tidak berani membawa suara kita ke hadapan, orang lain mungkin tidak pernah mengetahui apa yang sebenarnya kita mampu lakukan. Kepimpinan Adalah Amanah Dalam mengejar kejayaan, ada satu perkara yang tidak harus dilupakan — kepimpinan bukan sekadar kedudukan. Ia adalah amanah. Rasulullah SAW mengingatkan antaranya bahawa: Setiap daripada kita adalah pemimpin dan setiap daripada kita akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah tanggungjawab kita. (Riwayat al-Bukhari, no. 7138) Prinsip ini mengubah cara kita melihat kepimpinan. Menjadi pemimpin bukan tentang berapa ramai orang berada di bawah kita, tetapi bagaimana kita menjaga manusia yang telah diamanahkan kepada kita. Adakah kita berlaku adil? Adakah kita mendengar? Adakah kita menghormati? Adakah orang menjadi lebih baik apabila bekerja bersama kita? Kerana jawatan mungkin datang bersama kuasa, tetapi kepimpinan sebenar datang bersama tanggungjawab. Untuk membaca hadis ini secara penuh dan memahami konteksnya, sila klik di sini. Keyakinan Tidak Bermaksud Sempurna Keyakinan yang sihat bukan bermaksud seseorang perlu mengetahui semuanya. Seorang pemimpin yang yakin tahu apa kekuatannya, memahami kelemahannya dan masih bersedia untuk terus belajar. Ramai wanita terlalu keras terhadap diri sendiri. Mereka merasakan mereka perlu cukup bersedia, cukup berpengalaman dan cukup sempurna sebelum berani mengambil peluang yang lebih besar. Sedangkan kepimpinan juga adalah proses belajar. Tidak semua perkara perlu dilakukan dengan sempurna. Kadangkala kita hanya perlu melakukan yang terbaik, belajar daripada pengalaman dan terus bergerak. Dan selepas kita melakukan usaha yang terbaik, ada satu lagi kekuatan yang dimiliki oleh seorang mukmin — tawakal. Kita berusaha, merancang dan membuat keputusan dengan sebaik mungkin. Selebihnya kita serahkan kepada Allah. Belajar Meletakkan Sempadan Wanita sering mempunyai kecenderungan untuk membantu, menjaga dan memastikan semua orang mendapat apa yang mereka perlukan. Sifat itu sangat bernilai. Tetapi tanpa sempadan yang jelas, kita boleh mengambil terlalu banyak tanggungjawab sehingga akhirnya kehilangan tenaga untuk perkara yang benar-benar penting. Seorang pemimpin juga perlu tahu bila perlu berkata tidak. Tidak semua tugas perlu diterima. Tidak semua permintaan perlu dipenuhi. Dan menjaga masa serta tenaga sendiri bukan bermaksud mementingkan diri. Ia sebahagian daripada kepimpinan yang matang. Jangan Takut Pada Konflik dan Kegagalan Konflik tidak semestinya sesuatu yang perlu dielakkan. Kadangkala perbincangan yang sukar perlu dilakukan supaya sesuatu masalah dapat diselesaikan. Begitu juga dengan kegagalan. Kesilapan bukan bukti bahawa seseorang tidak layak menjadi pemimpin. Yang penting ialah apa yang kita pelajari daripadanya. Tanya diri: Apa yang pengalaman ini sedang ajarkan kepada saya? Ada kalanya kegagalan membuka arah yang sebelum ini kita sendiri tidak nampak. Ada masa kita jatuh. Ada masa perancangan kita tidak menjadi. Ada masa keputusan yang kita buat tidak memberikan hasil seperti yang diharapkan. Tetapi kegagalan tidak semestinya penghujung perjalanan. Kadangkala itulah tempat Allah swt sedang membentuk kekuatan yang kita belum tahu kita miliki. Wanita Perlu Bangkit dan Ambil Tempat Anda! Wanita tidak perlu meminta maaf kerana mempunyai cita-cita. Tidak perlu mengecilkan kemampuan sendiri supaya orang lain berasa selesa. Dan tidak perlu menjadi orang lain hanya untuk diterima. Tetapi dalam perjalanan menuju kejayaan, sentiasa ingat bahawa nilai seorang pemimpin bukan hanya pada sejauh mana dia mampu pergi — tetapi juga pada nilai, amanah dan kebaikan yang dibawanya sepanjang perjalanan. Kepimpinan sebenar lahir apabila seseorang mempunyai keberanian untuk berdiri dengan prinsipnya sendiri — dengan keyakinan, kerendahan hati, empati, iman dan keberanian untuk terus belajar. Berusaha pada apa yang memberi manfaat. Mohon pertolongan daripada Allah swt. Jangan mudah menyerah. Dan jangan sesekali hilang siapa diri kita. Always doa kepada Yang Maha Esa. Kerana untuk menyerlah, kadangkala perkara pertama yang perlu kita lakukan hanyalah satu: Mengambil tempat yang memang layak untuk kita — Oleh sebab itulah WANITA perlu BANGKIT,
8 Maksud Merdeka Bagi Saya: Erti Kebebasan Yang Sebenar
Apakah maksud merdeka sebenarnya ya? Setiap kali melihat Jalur Gemilang berkibar, ada satu rasa yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Bangga. Bersyukur. Dan dalam masa yang sama, teringat bahawa kemerdekaan yang kita nikmati hari ini datang bersama sebuah tanggungjawab. Bagi saya, Merdeka bukan sekadar mengenang sebuah tarikh. Bukan hanya tentang perarakan, laungan “Merdeka!” atau mengibarkan bendera, tetapi… Maksud Merdeka adalah tentang bagaimana kita memilih untuk menjalani kehidupan. 1. Merdeka Adalah Kebebasan Untuk Menentukan Arah Hidup Kita mungkin tidak dapat menentukan semua perkara yang berlaku kepada kita. Tetapi kita masih mempunyai pilihan untuk menentukan siapa yang kita mahu jadi selepas melaluinya. Kadangkala hidup membawa kita ke jalan yang tidak dirancang. Namun keberanian untuk memilih arah baharu juga adalah satu bentuk kemerdekaan. Dan setelah berani memilih, kenalah juga BERANI untuk mengubah kehidupan normal kita kepada arah baharu tersebut. 2. Merdeka Adalah Berani Untuk Berubah Ramai orang mahu kehidupan yang lebih baik, tetapi takut meninggalkan perkara yang sudah biasa. Bagi saya, merdeka bermaksud mempunyai keberanian untuk berkata: “Saya mahu berubah.” Berubah daripada sesuatu yang melemahkan kepada sesuatu yang membina. Daripada takut mencuba kepada berani melangkah. Kerana perubahan selalunya bermula dengan satu keputusan kecil yang mana, ia mungkin akan membuatkan kita rasa takut sangat… hanya kerana kita tidak tahu apakah yang akan berlaku jika kita melakukan perubahan itu… Jika begitu… adakah kita benar-benar Merdeka jika masih takut untuk berubah? 3. Merdeka Adalah Bebas Daripada Ketakutan Yang Mengawal Hidup Kadangkala penjara terbesar bukan mempunyai tembok. Ia berada dalam fikiran kita sendiri. Kita free untuk kemana-mana, tiada siapa menghalang, tiada tirai besi menyekat, namun… kita Takut gagal. Takut dikritik. Takut tidak diterima. Takut dianggap tidak cukup baik. Takut itu… takut ini… di mana kemerdekaan yang kita laung-laungkan itu? Apabila kita mula berhenti membiarkan ketakutan menentukan kehidupan kita, di situlah satu bentuk kemerdekaan sebenar bermula. 4. Merdeka juga Adalah tentang Memiliki Ilmu Ilmu memberi manusia pilihan. Apabila kita mempunyai ilmu, kita mampu membuat keputusan dengan lebih baik, membina kehidupan yang lebih stabil dan membuka peluang bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk keluarga serta masyarakat. Sebab itu pendidikan, pembelajaran dan pembangunan diri sentiasa dekat di hati saya. Bangsa yang berilmu adalah bangsa yang lebih sukar untuk diperdayakan dan lebih berani menentukan masa depannya. Tidak semestinya anda kena join kursus, kolej, pengajian tinggi untuk memiliki ilmu. Paling kurang, jadikan PEMBACAAN sebagai tabiat harian anda. Bacalah pelbagai buku untuk menambah pengetahuan, menambah ilmu… anda akan lihat perbezaan anda nanti bila banyak membaca. 5. Merdeka Adalah Apabila Wanita Berani Berdiri Dengan Kemampuan Sendiri Satu lagi maksud merdeka bagi saya, yang sangat personal adalah, Saya percaya wanita tidak perlu menjadi orang lain untuk menjadi hebat. Kita hanya perlu diberikan peluang, ilmu, sokongan dan keyakinan untuk mengenali kemampuan sendiri. Merdeka bagi seorang wanita adalah apabila dia mampu membuat keputusan sendiri, dengan bijaksana, mempunyai suara sendiri, membina kerjaya, menjaga maruah dan pada masa yang sama tidak kehilangan nilai dirinya sendiri. “Fuhhh… itu sangat bermakna buat wanita” 6. Merdeka Adalah Menghormati Perbezaan Malaysia indah kerana kita tidak semuanya sama. Kita datang daripada bangsa, budaya, latar belakang dan cara hidup yang berbeza. Namun kita berkongsi satu tanah air. Kemerdekaan akan menjadi lebih bermakna apabila kita mampu hidup bersama dengan rasa hormat, saling memahami dan tidak menjadikan perbezaan sebagai alasan untuk bermusuhan. 7. Merdeka Adalah Memberi Sesuatu Kembali Kebebasan bukan hanya tentang apa yang kita boleh dapat. Ia juga tentang apa yang kita boleh berikan. Kepada keluarga. Kepada masyarakat. Kepada generasi selepas kita. Dan kepada negara yang memberikan kita ruang untuk membina kehidupan. Tidak semua orang perlu melakukan sesuatu yang besar. Kadangkala perubahan bermula apabila seorang manusia memilih untuk membantu seorang manusia yang lain. 8. Merdeka Adalah Bersyukur, Tetapi Tidak Berhenti Melangkah Saya bersyukur dilahirkan dan membesar di bumi Malaysia. Namun rasa syukur bukan bermaksud kita berhenti memperbaiki diri. Maksud Merdeka yang paling utama di sini adalah perkembangan hidup. Hidup kita hari ini, HARUS lebih baik dari hari semalam. Sebab itu, pesaing sebenar dalam hidup kita adalah pada diri kita sendiri. Jadi, jangan sesekali memilih menjadi lemah dan berhenti memandang ke arah masa depan. Sebaliknya, hargailah apa yang sudah kita miliki dan berusahalah untuk mencapaikan impian lain lagi. Kita mahu melihat negara ini terus berkembang, rakyatnya terus maju dan generasi selepas kita mendapat kehidupan yang lebih baik. Itulah Maksud Merdeka yang sebenar-benarnya bagi saya. Bukan sekadar bebas. Tetapi bebas untuk berfikir, bebas untuk belajar, bebas untuk berubah, bebas untuk bermimpi — dan mempunyai keberanian untuk menjadikan impian itu sebuah kenyataan. Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-69 kepada seluruh rakyat Malaysia. Merdeka bukan sekadar kata-kata. Merdeka bermaksud berani untuk berubah. Selamat Hari Kebangsaan. Merdeka! Merdeka! Merdeka! p/s : Buat anda yang ingin menyambut hari Merdeka tahun ini, bolehlah melihat kalendar acara Sambutan Merdeka di sini ikhlas, Dr Suffia Hany❤️ Women’s Leadership & Empowerment Strategist Medical & Anti-Aging Doctor | Accredited HRDC Trainer ➡️Ketahui lebih lanjut tentang Dr. Suffia Hany di sini ➡️Persens – NGO Dr. Suffia Hany ➡️Pelbagai Program/Event Dr. Suffia Hany
8 Tip Bercakap Buat Orang Lebih Hormati Anda
Cara kita bercakap sering menentukan bagaimana orang melihat dan melayan kita. 8 tip bercakap ini bukan tentang bagaimana mahu kelihatan lebih hebat daripada orang lain, tetapi bagaimana kita boleh berkomunikasi dengan lebih yakin, matang dan berwibawa sehingga orang lebih selesa untuk mendengar serta menghormati apa yang kita sampaikan. Pernah tak anda bertemu seseorang yang tidak perlu bercakap kuat, tetapi apabila dia bersuara, orang terus memberi perhatian? Dia mungkin tidak banyak bercakap. Tidak menggunakan perkataan yang terlalu hebat. Tidak pula cuba menunjukkan dirinya paling bijak di dalam bilik. Tetapi ada sesuatu pada cara dia berkomunikasi yang membuatkan orang mahu mendengar. Itulah kekuatan komunikasi yang berwibawa. Dan sebenarnya, ia boleh dipelajari. 8 Tip Bercakap yang mudah dipraktikkan 1. Bercakap Dengan Tenang, Jangan Terburu-buru Bercakap terlalu cepat kadang-kadang membuatkan mesej yang bagus kehilangan kekuatannya. Tidak perlu berlumba untuk menghabiskan ayat. Perlahankan sedikit tempo percakapan anda. Berikan ruang antara satu idea dengan idea yang lain. Jika ada sesuatu yang penting mahu disampaikan, berhenti seketika sebelum meneruskannya. Kadang-kadang beberapa saat diam membuatkan orang lebih memberi perhatian kepada apa yang bakal kita katakan. Orang yang yakin tidak takut kepada ruang senyap. 2. Cakap Dengan Jelas dan Tepat Anda tidak perlu menggunakan perkataan bombastik untuk kelihatan bijak. Sebaliknya, orang lebih menghargai seseorang yang mampu menerangkan sesuatu dengan mudah dan jelas. Sebelum bercakap, tanya diri sendiri: “Apa sebenarnya yang saya mahu orang ini faham?” Kemudian sampaikan perkara tersebut dengan terus kepada maksudnya. Lebih jelas pemikiran kita, lebih mudah orang memahami apa yang kita katakan. 3. Jangan Rendahkan Pendapat Sendiri Kadang-kadang kita sendiri melemahkan kata-kata kita sebelum orang lain sempat mendengarnya. Contohnya: “Saya tak pasti betul atau tidak…” “Mungkin idea saya tak berapa bagus…” “Saya cuma nak bagi pendapat…” Rendah hati memang satu sifat yang baik. Tetapi terlalu merendahkan diri boleh membuatkan pendapat kita kedengaran kurang meyakinkan. Cuba gunakan: “Pada pandangan saya…” “Berdasarkan pengalaman saya…” “Cadangan saya adalah…” Masih sopan. Tetapi lebih yakin dan profesional. 4. Belajar Mendengar Sebelum Menjawab Salah satu daripada 8 tip bercakap yang paling penting sebenarnya bukan tentang bercakap. Ia tentang mendengar. Jangan terlalu sibuk menyediakan jawapan ketika orang lain masih bercakap. Berikan perhatian. Fahami apa yang cuba disampaikan sebelum memberikan respons. Apabila seseorang merasakan dirinya benar-benar didengari, mereka juga lebih terbuka untuk mendengar pandangan kita. Komunikasi yang baik bukan pertandingan siapa paling banyak bercakap. Ia adalah pertukaran pemikiran antara dua manusia yang saling menghormati. 5. Jangan Tinggikan Suara Untuk Menang Suara yang kuat tidak semestinya menunjukkan seseorang itu lebih kuat. Kadang-kadang, semakin tinggi suara seseorang, semakin jelas dia sedang kehilangan kawalan terhadap emosinya. Apabila berlaku perbezaan pendapat, cuba kekalkan nada suara yang stabil. Fokus kepada perkara yang sedang dibincangkan, bukan menyerang individu. Anda boleh tidak bersetuju dengan seseorang tanpa perlu menjatuhkan atau memalukannya. Kemampuan untuk kekal tenang ketika keadaan menjadi tegang sebenarnya membuatkan seseorang kelihatan jauh lebih matang. 6. Berani Berkata “Saya Tidak Tahu” Tidak ada manusia yang tahu semuanya. Dan anda tidak akan kehilangan kewibawaan hanya kerana mengaku bahawa anda tidak mempunyai jawapan. Sebaliknya, anda boleh berkata: “Saya belum mempunyai maklumat yang cukup tentang perkara itu. Biar saya semak dahulu.” Itu jauh lebih profesional daripada memberikan jawapan yang kita sendiri tidak pasti. Orang biasanya lebih menghormati seseorang yang jujur tentang apa yang diketahuinya berbanding seseorang yang sentiasa mahu kelihatan tahu segala-galanya. 7. Pastikan Bahasa Tubuh Selari Dengan Kata-kata Kita berkomunikasi bukan hanya melalui suara. Postur tubuh, ekspresi wajah, kontak mata dan cara kita membawa diri turut menyampaikan mesej. Jika anda mengatakan, “Saya yakin dengan cadangan ini,” tetapi mata sentiasa tunduk dan suara hampir tidak kedengaran, keyakinan tersebut mungkin sukar dirasakan oleh orang lain. Duduk atau berdiri dengan postur yang baik. Pandang orang ketika bercakap. Gunakan ekspresi wajah yang natural. Tidak perlu berlebihan atau dibuat-buat. Cukup hadir dengan penuh perhatian dan keyakinan. 8. Tahu Bila Perlu Berhenti Bercakap Ini satu kemahiran yang ramai orang terlepas pandang. Kadang-kadang kita sudah memberikan jawapan yang cukup baik. Tetapi kita sambung lagi. Tambah satu cerita. Tambah satu penjelasan. Kemudian tambah satu lagi contoh. Akhirnya mesej utama yang pada mulanya kuat menjadi semakin lemah kerana terlalu banyak perkara ditambah. Apabila maksud anda sudah jelas, berhenti. Tidak semua ruang perlu diisi dengan suara kita. Ada masanya, orang lebih menghormati seseorang bukan kerana dia banyak bercakap, tetapi kerana dia tahu bila perlu bercakap dan bila perlu diam. Bercakap Dengan Yakin, Bukan Untuk Menunjuk Hebat Akhirnya, 8 tip bercakap ini bukan bertujuan mengajar kita bagaimana mahu menguasai orang lain. Komunikasi yang baik tidak sepatutnya membuatkan orang lain berasa kecil. Sebaliknya, ia membuatkan mereka berasa dihormati. Anda tidak perlu menjadi orang paling lantang di dalam bilik. Anda juga tidak perlu mempunyai jawapan untuk setiap persoalan. Bercakap apabila ada sesuatu yang bernilai untuk disampaikan. Dengar apabila orang lain sedang berbicara. Kekal tenang apabila berlaku perbezaan pendapat. Dan jangan terlalu berusaha untuk membuatkan orang menghormati anda. Kerana apabila cara anda bercakap menunjukkan keyakinan, kematangan dan rasa hormat kepada orang lain, penghormatan itu biasanya akan datang dengan sendirinya. ikhlas, Dr Suffia Hany❤️ Women’s Leadership & Empowerment Strategist Medical & Anti-Aging Doctor | Accredited HRDC Trainer ➡️Ketahui lebih lanjut tentang Dr. Suffia Hany di sini
Kasih Seorang Wanita
Ada hari, kita jaga seseorang bukan sebab kita kuat, tetapi sebab itu sahaja pilihan yang ada. Itulah Kasih Seorang Wanita. Ada Cinta Yang Tidak Dilahirkan, Tetapi Dipilih Di dalam kehidupan kita ni, tak kisahlah siapa yang kita jaga, siapa yang berada di dalam tanggungan kita… sebagai seorang wanita, rasa tanggung jawab itu dengan mudah muncul dalam diri, betul tak? Dan dengan mudah juga ianya menjadi satu kewajipan. Dalam diam, kita belajar tentang sabar yang tidak pernah diajar dalam buku. Tentang letih yang tidak boleh diceritakan sepenuhnya. Tentang mengutamakan keperluan seseorang walaupun badan sendiri meminta untuk berehat. Realiti Kasih Seorang Wanita Entahlah kan… pelik juga realiti tentang Kasih seorang wanita ni, mungkin kerana hati wanita itu lembut, cepat rasa kasihan dan cepat juga rasa sayang… Walau perit walau kepayahan, entah bagaimana, esok pagi kita masih bangun dan melakukannya sekali lagi. Bukan kerana kita tidak penat. Tetapi ya lah seperti yang saya katakan, “kerana kita sayang.” Bila Menjaga Menjadi Sebahagian Daripada Hidup Ada orang pernah bertanya, “Tak penat ke?” ‘Kena jaga anak istimewa’ ‘Kena jaga ibu mertua yang terbiar’ ‘Kena jaga ayah yang sudah tua’ ‘Kena jaga suami yang sudah lumpuh’ Dan sebagainya… Jawapan mudah… “Penat!” Sudah tentu penat. Sapa cakap tak penat. Ada hari badan terasa berat. Ada masa emosi juga ikut letih. Ada perkara yang terpaksa ditangguhkan, rancangan yang perlu diubah, dan masa untuk diri sendiri yang kadang-kadang semakin sedikit. Tetapi apabila kita menjaga seseorang yang semakin berusia ke atau yang dah tak boleh nak bergerak ke, dan sebagainya, perlahan-lahan kita mula melihat kehidupan dengan cara yang berbeza. Perkara kecil yang dahulu tidak kita fikirkan menjadi penting. Memastikan dia sudah makan. Bertanya sama ada ubat sudah diambil. Mendengar cerita yang mungkin pernah kita dengar sebelum ini. Menemani walaupun kadang-kadang tidak banyak yang mahu dibualkan. Dan memastikan dia tahu bahawa ada seseorang di sisi. Mungkin begitulah kasih sayang apabila kita semakin dewasa. Ia semakin kurang tentang apa yang kita katakan, dan semakin banyak tentang apa yang kita lakukan. Kasih Tidak Memilih Ada satu perkara yang kehidupan ajarkan kepada saya. Tidak semua insan yang kita sayangi hadir dalam hidup kerana hubungan darah. Ada yang hadir kerana perkahwinan. Ada yang hadir kerana persahabatan. Ada yang pada mulanya mungkin hanya orang asing dalam perjalanan hidup kita. Tetapi masa mempunyai cara yang sangat indah untuk mengubah hubungan. Ianya tidak memilih… ia berdenyut di hati sanubari, ia terasa dek kasih seorang wanita… Sebagai contoh, Seseorang yang pada awalnya kita panggil ibu mertua, misalnya, boleh menjadi seseorang yang kita risaukan apabila dia tidak sihat. Kasih dalam diri kita tu membuatkan kita risau. Dia menjadi seseorang yang kita fikirkan apabila membeli makanan. Seseorang yang kehadirannya perlahan-lahan menjadi sebahagian daripada rutin rumah dan kehidupan kita. Di situlah saya belajar bahawa keluarga bukan semata-mata tentang siapa yang melahirkan kita. Kadang-kadang, keadaan semasa membuatkan kita terpilih untuk bersama dan menjaga. Dan mungkin itulah salah satu bentuk cinta yang paling senyap. Tidak banyak orang melihatnya. Tidak banyak gambar mengenainya. Tidak ada tepukan setiap kali kita melakukannya. Tetapi ia tetap cinta. Ada Hari Kita Juga Akan Hilang Sabar Saya tidak mahu menggambarkan menjaga seseorang sebagai sesuatu yang sentiasa indah. Kerana realitinya tidak begitu. Ada hari kita penat. Ada hari kita hilang sabar. Ada hari kita mahu duduk sendirian tanpa sesiapa memanggil nama kita walaupun untuk beberapa minit. Dan selepas itu mungkin datang pula rasa bersalah. “Kenapa tadi aku marah?” “Kenapa aku tak boleh sabar sedikit lagi?” Tetapi saya semakin memahami bahawa kasih sayang tidak memerlukan kita menjadi manusia yang sempurna. Kita boleh sayang seseorang dan masih berasa letih. Kita boleh ikhlas menjaga dan masih memerlukan ruang untuk diri sendiri. Kita boleh bersyukur kerana masih mempunyai mereka, dan pada masa yang sama mengakui bahawa tanggungjawab itu kadang-kadang berat. Semua perasaan itu boleh wujud serentak. Kerana kita juga manusia. Suatu Hari Nanti, Rumah Ini Akan Menjadi Lebih Sunyi Mungkin inilah perkara yang paling sukar untuk difikirkan. Apakah mungkin kasih seorang wanita juga akan turut hilang suatu hari nanti? Hari ini, ada suara yang memanggil. Ada seseorang yang perlu ditanya sudah makan atau belum. Ada langkah perlahan di dalam rumah. Ada rutin yang kadang-kadang membuat kita penat. Tetapi suatu hari nanti, perkara-perkara yang hari ini terasa seperti rutin mungkin menjadi perkara yang paling kita rindukan. Kerusi itu mungkin kosong. Bilik itu mungkin terlalu kemas. Dan rumah yang dahulu terasa sibuk tiba-tiba menjadi terlalu senyap. Pada waktu itu, mungkin kita akan sanggup memberikan apa sahaja untuk mendengar sekali lagi suara yang dahulu memanggil kita berkali-kali. Sebab itu sekarang saya cuba belajar satu perkara: jangan tunggu kehilangan untuk menghargai kehadiran. Selagi Masih Ada Waktu Jika hari ini kita masih mempunyai peluang untuk menjaga seseorang yang kita sayangi, mungkin itu sendiri satu bentuk rezeki. Bukan rezeki yang mudah. Bukan rezeki yang sentiasa terasa manis. Tetapi tetap rezeki. Kerana tidak semua orang diberikan masa. Tidak semua orang sempat membalas kasih. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa mereka yang masih sempat bersama ibu bapa ketika usia lanjut sebenarnya sedang diberikan satu peluang yang sangat besar. Lalu raihlah Keredhaan Ilahi setelah mendapat peluang ini, “Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa, dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa.”— Riwayat al-Tirmizi, no. 1899 Dan tidak semua orang mendapat peluang untuk berkata, melalui perbuatan: “Sekarang, biar saya pula menjaga.” Jadi selagi masih ada waktu, saya mahu cuba hadir. Kerana perasaan dan Kasih Seorang Wanita di dalam diri ini kuat terasa… Mungkin tidak sempurna. Mungkin ada hari saya penat. Mungkin ada masa saya tersilap dan hilang sabar. Tetapi saya mahu tetap ada. Kerana akhirnya, mungkin cinta memang bukan tentang berapa banyak yang kita katakan. Cinta adalah tentang siapa yang kita pilih untuk tetap berada di sisi, ketika mereka semakin perlahan, semakin memerlukan kita, dan dunia mereka semakin kecil. Ada cinta yang kita lahir bersamanya. Dan ada cinta yang tidak dilahirkan bersama kita. Ia dibina. Ia dijaga. Dan setiap hari, ia dipilih sekali lagi. ikhlas, Dr Suffia Hany❤️ Women’s Leadership & Empowerment Strategist Medical & Anti-Aging Doctor | Accredited HRDC Trainer ➡️Ketahui lebih lanjut tentang Dr. Suffia
7 Perkara Wanita Berjaya Tak Perlu Buktikan Kepada Sesiapa
Sampai satu tahap dalam hidup, seorang wanita berjaya akan sedar — kejayaan sebenar bukan apabila semua orang mengaguminya. Tetapi apabila dia sudah tidak lagi hidup untuk membuktikan apa-apa kepada sesiapa. Tidak perlu sentiasa kelihatan hebat. Tidak perlu menang setiap perdebatan. Tidak perlu memastikan semua orang memahami pilihan hidupnya. Kerana semakin matang seorang wanita, semakin dia faham bahawa tenaga, masa dan ketenangan dirinya terlalu berharga untuk dihabiskan demi mendapatkan pengiktirafan manusia. Wanita berjaya bukan wanita yang hidupnya sempurna. Seorang wanita yang yakin dia sudah menjadi wanita berjaya sebenarnya, dia dengan mudah dapat mengecam atau mengenali siapa dirinya sendiri. Apa saja yang penting dalam hidupnya dan ke mana dia mahu pergi. 7 Perkara ini adalah contoh wanita berjaya… 1. Tak Perlu Buktikan Dia Bijak Orang yang benar-benar berilmu biasanya tidak terlalu sibuk memberitahu dunia bahawa dia bijak. Dia bercakap apabila perlu. Dia mendengar apabila orang lain mempunyai sesuatu untuk dikongsi. Dan dia tidak malu mengaku apabila ada perkara yang dia belum tahu. Wanita yang matang faham bahawa kebijaksanaan bukan tentang mempunyai jawapan untuk segala-galanya. Kadangkala kebijaksanaan terbesar ialah tahu bila perlu bercakap, bila perlu mendengar dan bila lebih baik berdiam diri. Biarkan ilmu, pengalaman dan hasil kerja anda yang berbicara. 2. Tak Perlu Semua Orang Suka Dia Ini antara kebebasan terbesar dalam hidup. Anda boleh menjadi seorang yang baik, jujur, membantu dan menghormati orang lain — tetapi tetap akan ada seseorang yang tidak menyukai anda. Dan itu tidak mengapa. Jangan ubah prinsip, personaliti dan perjalanan hidup semata-mata kerana mahu diterima semua orang. Kita boleh menghormati pandangan manusia tanpa menyerahkan nilai diri kepada penilaian mereka. Anda tidak perlu disukai semua orang untuk menjadi seorang yang bernilai. 3. Tak Perlu Jelaskan Setiap Keputusan “Kenapa buat macam tu?” “Kenapa pilih kerja itu?” “Kenapa tak ikut cara orang lain?” Kadangkala kita terlalu penat menjelaskan keputusan hidup kepada manusia yang sebenarnya tidak menjalani kehidupan kita. Nasihat yang baik memang wajar didengar. Teguran yang membina juga perlu dipertimbangkan. Tetapi akhirnya, ada keputusan yang hanya anda sendiri benar-benar faham kerana anda yang mengetahui keadaan, kemampuan, tanggungjawab dan impian anda. Dengar pandangan. Fikirkan dengan matang. Kemudian berani membuat keputusan. 4. Tak Perlu Berlumba Dengan Hidup Orang Ada wanita berjaya pada usia 25 tahun. Ada yang menemui arah hidup pada usia 40 tahun. Ada yang membina semula kehidupannya pada usia 50 tahun. Tidak ada satu jadual kehidupan yang wajib diikuti oleh semua manusia. Media sosial kadangkala membuatkan kita terasa seperti semua orang sedang bergerak lebih pantas daripada kita. Sedangkan kita hanya melihat beberapa saat terbaik daripada kehidupan mereka. Tak siapa mahu tunjuk keaiban sendiri. Kebanyakan akan menyorokkan kelemahan dan kekurangan diri. Malu beb… Jadi usahlah nak ukur perjalanan anda menggunakan garis masa orang lain. Tah-tah diorang lagi teruk daripada anda. Bukan kita tahu… Pakar dari Psychology Today berkata, “Apa gunanya membandingkan kehidupan kita dengan orang lain secara berlebihan kerana ini boleh membuatkan kita mudah rasa tidak cukup baik. Sebab itu penting untuk belajar menghargai perjalanan dan pencapaian diri sendiri.” Perlumbaan sebenar bukan dengan mereka. Ia adalah antara diri anda hari ini dengan siapa anda mahu jadi pada masa hadapan. 5. Tak Perlu Nampak Sibuk Untuk Nampak Berjaya Busy tidak semestinya productive. Jadual penuh tidak semestinya bermaksud hidup sedang menuju ke arah yang betul. Wanita berjaya belajar membezakan antara perkara yang benar-benar membawa hasil dengan perkara yang hanya memenuhi masa. Ada waktunya kita perlu bekerja keras. Tetapi ada juga waktunya kita perlu berehat, berfikir, bersama keluarga dan menikmati kehidupan yang sedang kita bina. Kejayaan bukan pertandingan siapa paling penat. Kejayaan ialah apabila usaha yang dilakukan membawa kita semakin dekat kepada kehidupan yang kita mahu. 6. Tak Perlu Kekal Di Tempat Yang Tak Menghargai Dia Kesetiaan adalah sifat yang indah. Tetapi kesetiaan tidak bermaksud kita perlu terus berada dalam persekitaran yang membuatkan kita kehilangan harga diri, potensi dan ketenangan. Saya faham, kadang-kadang apabila kita dah terbiasa dan selesa dengan tempat itu, orang sama, boss yang sama, kita rasa macam malas nak berubah angin. Walaupun di situ anda langsung tidak dihargai. It’s okay kalau gaji sampai masa naik. Pangkat pun ada kenaikan. Atau hasil kerja kita mendapat pengikhtirafan… tapi kalau penat lelah kita, yang untung orang lain, aihhh… better cari kehidupan lain yang lebih membahagiakan. Ada waktunya keberanian bukan tentang bertahan. Keberanian ialah mengetahui bila sudah tiba masanya untuk bergerak dan membuat perubahan dalam hidup anda. Sama ada dalam kerjaya, perniagaan, persahabatan atau lingkungan kehidupan — pilihlah tempat yang memberi ruang untuk anda berkembang. Jangan takut meninggalkan ruang yang terlalu sempit untuk versi diri anda yang sedang berkembang mencari secebis kemanisan hidup. 7. Tak Perlu Minta Izin Untuk Berkembang Anda dibenarkan berubah. Anda dibenarkan mempunyai impian baru. Anda dibenarkan meninggalkan versi lama diri anda. Dan anda dibenarkan membina kehidupan yang mungkin berbeza daripada apa yang orang lain bayangkan untuk anda. Kadangkala orang yang mengenali kita sejak dahulu sukar menerima perubahan tersebut. Biarkan. Anda tidak dilahirkan untuk kekal menjadi orang yang sama sepanjang kehidupan. Berkembanglah. Belajarlah. Beranilah menjadi versi diri anda yang lebih baik. Kejayaan Yang Sebenar Memberikan Ketenangan Semakin jauh perjalanan hidup, semakin kita sedar bahawa kejayaan bukan sekadar gelaran, wang, pencapaian atau tepukan manusia. Semua itu boleh menjadi sebahagian daripada kejayaan. Tetapi ada satu bentuk kejayaan yang jauh lebih mahal nilainya — ketenangan menjadi diri sendiri. Tidak lagi sibuk membuktikan siapa kita. Tidak lagi membandingkan perjalanan. Tidak lagi mengejar penerimaan semua orang. Kita tetap belajar. Tetap bekerja keras. Tetap memperbaiki kelemahan. Tetapi kali ini, kita melakukannya bukan kerana mahu membuktikan sesuatu kepada dunia. Kita melakukannya kerana kita tahu kehidupan ini adalah amanah dan kita mahu menggunakan potensi yang Tuhan berikan dengan sebaik-baiknya. Jadi teruskan perjalanan anda. Tidak perlu penjelasan. Anda adalah wanita berjaya dengan cara anda! Biarkan cara anda membawa diri, nilai yang anda pegang dan hasil kehidupan anda berbicara dengan sendirinya. ikhlas, Dr Suffia Hany❤️ Women’s Leadership & Empowerment Strategist Medical & Anti-Aging Doctor | Accredited HRDC Trainer ➡️Ketahui lebih lanjut tentang Dr. Suffia Hany di sini
8 Cara Berkesan Atasi Rasa Kecewa
Setiap orang pernah melalui saat-saat yang membuatkan hati rasa kecewa. Ada impian yang tidak menjadi. Ada usaha yang tidak dihargai. Ada perancangan yang tidak berjalan seperti yang diharapkan. Namun, bezanya bukan pada siapa yang tidak pernah rasa kecewa. Bezanya ialah bagaimana seseorang memilih untuk bangkit selepas melalui kekecewaan itu. Hakikatnya, rasa kecewa adalah sebahagian daripada kehidupan. Ia tidak bermaksud anda lemah. Ia juga bukan tanda bahawa anda gagal. Sebaliknya, ia sering menjadi petunjuk bahawa anda sedang berusaha melakukan sesuatu yang lebih besar daripada apa yang pernah anda lakukan sebelum ini. Jika hidup sentiasa mudah, mungkin kita tidak sedang berkembang. Tetapi apabila cabaran datang silih berganti, ketika emosi mula terganggu dan hati terasa berat, itulah sebenarnya proses yang sedang membentuk diri menjadi lebih matang, lebih kuat dan lebih bersedia menghadapi kejayaan pada masa hadapan. Ya, rasa kecewa memang menyakitkan. Namun jika diurus dengan betul, ia mampu menjadi titik perubahan yang membawa kehidupan ke arah yang lebih baik. Berikut ialah lapan cara yang boleh membantu anda mengatasi rasa kecewa tanpa kehilangan semangat untuk terus melangkah. 1. Akui Rasa Kecewa Yang Sedang Anda Alami Jangan paksa diri untuk berpura-pura semuanya baik-baik sahaja. Anda berhak berasa sedih. Anda berhak berasa penat. Malah, anda juga berhak menangis jika itu membantu melegakan hati. Namun, jangan biarkan emosi tersebut menguasai hidup terlalu lama. Berikan ruang kepada diri untuk memahami apa yang sedang berlaku. Tanya diri sendiri. Apakah sebenarnya yang membuatkan saya kecewa? Adakah kerana harapan yang terlalu tinggi? Atau kerana perkara yang berlaku di luar kawalan saya? Apabila anda memahami punca sebenar emosi tersebut, lebih mudah untuk mencari jalan mengatasinya. 2. Nilai Semula Matlamat Anda Kadangkala yang perlu diubah bukan impian. Tetapi cara untuk mencapainya. Luangkan sedikit masa untuk bertanya kepada diri sendiri. Adakah matlamat ini benar-benar penting? Mengapa saya mahu mencapainya? Apakah perubahan positif yang akan berlaku apabila saya berjaya nanti? Apabila sebab di sebalik impian itu benar-benar jelas, semangat untuk terus berusaha juga akan menjadi lebih kuat. Matlamat yang mempunyai makna akan sentiasa memberi tenaga untuk anda terus bergerak walaupun perjalanan terasa sukar. 3. Susun Strategi Dengan Lebih Bijak Ramai orang bekerja keras. Tetapi tidak semua bekerja dengan strategi yang betul. Jika sesuatu tidak menjadi, jangan terus menyalahkan diri sendiri. Mungkin pendekatan yang digunakan perlu diperbaiki. Pecahkan matlamat besar kepada beberapa langkah kecil. Tetapkan keutamaan. Selesaikan satu perkara pada satu masa. Kemajuan yang kecil tetapi konsisten selalunya lebih berkesan daripada usaha yang besar tetapi tidak teratur. Ingat, setiap langkah kecil tetap membawa anda lebih dekat kepada destinasi. 4. Belajar Daripada Mereka Yang Berpengalaman Anda tidak perlu menemui semua jawapan seorang diri. Belajarlah daripada mereka yang pernah melalui cabaran yang sama. Baca buku. Dengar podcast. Ikuti seminar. Cari mentor. Atau berbual dengan individu yang mempunyai pengalaman. Kadangkala satu nasihat yang baik mampu menjimatkan bertahun-tahun kesilapan. Namun begitu, jangan terlalu membandingkan perjalanan anda dengan orang lain. Setiap orang mempunyai masa, cabaran dan rezeki yang berbeza. Ambil ilmu yang bermanfaat, kemudian sesuaikan dengan kehidupan anda sendiri. 5. Jadikan Kesilapan Sebagai Guru Kesilapan bukan bukti bahawa anda tidak mampu. Kesilapan hanyalah sebahagian daripada proses belajar. Orang yang berjaya juga pernah gagal berkali-kali. Bezanya, mereka tidak berhenti. Setiap kesilapan membawa pengajaran yang sangat berharga. Daripada kecewa kerana melakukan kesilapan, lebih baik bertanya, “Apa yang boleh saya pelajari daripada pengalaman ini?” Apabila anda mula melihat kegagalan sebagai peluang untuk berkembang, rasa kecewa akan bertukar menjadi pengalaman yang mematangkan diri. 6. Bina Keyakinan Sedikit Demi Sedikit Ramai orang menyangka keyakinan hanya datang selepas berjaya. Sebenarnya tidak. Keyakinan dibina melalui tindakan yang konsisten setiap hari. Percayalah bahawa anda mampu belajar. Percayalah bahawa anda mampu berubah. Percayalah bahawa setiap usaha yang dilakukan hari ini sedang membina versi diri yang lebih baik daripada semalam. Jangan biarkan suara negatif dalam fikiran menjadi lebih kuat daripada impian yang sedang anda kejar. Keberanian bukan bermaksud tidak takut. Keberanian ialah tetap melangkah walaupun masih mempunyai rasa takut. 7. Berehat Untuk Mengembalikan Tenaga Kadangkala apa yang anda perlukan bukan bekerja lebih kuat. Tetapi berhenti seketika. Berehat bukan tanda anda mengalah. Berehat ialah proses memulihkan tenaga fizikal, emosi dan mental. Luangkan masa bersama keluarga. Berjalan menikmati udara segar. Nikmati secawan kopi. Lakukan aktiviti yang membuatkan hati kembali tenang. Apabila minda menjadi lebih segar, anda akan melihat sesuatu masalah daripada sudut yang berbeza. Sering kali, penyelesaian datang apabila kita berhenti memaksa diri. 8. Hargai Setiap Langkah Yang Berjaya Dilalui Ramai orang hanya meraikan kejayaan besar. Sedangkan kejayaan sebenar dibina daripada ratusan langkah kecil yang sering tidak disedari. Raikan disiplin anda. Raikan keberanian anda mencuba. Raikan usaha yang dilakukan walaupun hasilnya belum sempurna. Apabila anda belajar menghargai proses, perjalanan akan terasa lebih indah dan bermakna. Sedikit demi sedikit, keyakinan akan bertambah dan semangat untuk terus maju akan kembali. Jangan Jadikan Rasa Kecewa Sebagai Penamat Semakin besar impian yang anda miliki, semakin besar juga cabaran yang akan datang. Itulah lumrah kehidupan. Jangan melihat rasa kecewa sebagai isyarat untuk berhenti. Lihatlah ia sebagai bukti bahawa anda sedang belajar, sedang berkembang dan sedang dibentuk menjadi insan yang lebih kuat. Setiap pengalaman, sama ada manis atau pahit, sedang mempersiapkan anda untuk sesuatu yang lebih besar pada masa hadapan. Teruskan melangkah. Walaupun perlahan. Walaupun penat. Walaupun hari ini terasa sukar. Kerana suatu hari nanti, apabila anda menoleh ke belakang, anda akan sedar bahawa setiap cabaran yang pernah dihadapi sebenarnya telah menjadikan anda seorang yang jauh lebih matang, lebih berani dan lebih yakin daripada sebelumnya. Dan itulah kemenangan yang sebenar. Sebelum saya akhiri artikel saya kali ini, sedikit pesanan buat anda ya, agar sentiasa menjaga kesihatan mental kerana ianya adalah sama pentingnya dengan menjaga kesihatan fizikal. Untuk maklumat lanjut mengenai kepentingan menjaga kesihatan mental, anda boleh merujuk kepada World Health Organization (WHO) ikhlas, Dr Suffia Hany❤️ Women’s Leadership & Empowerment Strategist Medical & Anti-Aging Doctor | Accredited HRDC Trainer ➡️Ketahui lebih lanjut tentang Dr. Suffia Hany di sini
Tak Siapa Berhak Menentukan Jalan Hidup Anda
Ada satu perkara yang saya harap setiap wanita benar-benar faham, tentang erti JALAN HIDUP anda. Fahami dan sedarilah ya, Nilai diri anda tidak pernah ditentukan oleh orang lain. Bukan oleh pasangan. Bukan oleh majikan. Bukan oleh rakan-rakan. Bukan oleh masyarakat. Dan jauh sekali oleh mereka yang pernah meragui kemampuan anda. Nilai diri bukan datang daripada berapa ramai yang memuji anda. Bukan juga daripada berapa ramai yang menerima anda. Nilai diri datang apabila anda sendiri yang sedar siapa diri anda, apa kekuatan yang anda miliki dan ke mana arah jalan hidup anda yang anda sendiri berusaha bersungguh-sungguh demi masa depan anda. Tentukan Jalan Hidup Anda Ramai wanita sebenarnya memiliki potensi yang luar biasa. Bijak. Berbakat. Rajin. Penyayang. Mempunyai kepimpinan yang hebat. Tetapi… Ramai yang hidup seolah-olah perlu mendapatkan persetujuan daripada semua orang sebelum berani melangkah. Seolah-olah setiap keputusan dalam hidup mesti mendapat tepukan daripada orang sekeliling. Sedangkan hidup ini bukan peperiksaan. Dan anda tidak memerlukan “kelulusan” daripada semua orang untuk mengejar impian sendiri. Jangan Serahkan Kuasa Itu Kepada Orang Lain Setiap kali seseorang berkata, “Anda tak mampu.” “Tak payahlah cuba.” “Mustahil untuk berjaya.” Anda sebenarnya mempunyai dua pilihan. Sama ada mempercayai kata-kata itu. Atau membuktikan bahawa mereka silap. Malangnya… Terlalu ramai memilih untuk berhenti sebelum benar-benar mencuba. Bukan kerana mereka lemah. Tetapi kerana mereka terlalu lama mendengar suara orang lain sehingga terlupa mendengar suara hati sendiri. Sedangkan orang yang paling lama mengetahui dan mengalami jalan hidup anda selama ini… Adalah diri anda sendiri. Musuh Terbesar Selalunya Bukan Orang Lain Percaya atau tidak… Musuh terbesar seseorang wanita bukanlah mereka yang membencinya. Tetapi suara kecil di dalam fikirannya sendiri. Suara yang sentiasa berkata, “Saya tak cukup bagus.” “Saya tak secantik dia.” “Saya dah terlambat.” “Saya tak cukup bijak.” “Saya tak layak.” Suara-suara inilah yang perlahan-lahan mencuri impian. Ia membuatkan seseorang meragui kebolehannya sendiri. Menyebabkan peluang yang sepatutnya diraih dilepaskan begitu sahaja. Hakikatnya… Ramai wanita gagal bukan kerana kurang berbakat. Tetapi kerana terlalu lama meragui diri sendiri. Kenali Nilai Diri Anda Membina harga diri (self-esteem) yang sihat merupakan antara asas penting dalam kesejahteraan emosi seseorang. Menurut artikel di Mayo Clinic, individu yang mempunyai self-esteem yang baik lebih cenderung menghadapi cabaran hidup dengan lebih positif. Belajar mengenali nilai diri merupakan satu bentuk keberanian. Apabila anda tahu siapa diri anda… Anda tidak mudah goyah apabila dikritik. Anda tidak mudah berubah semata-mata mahu memuaskan hati semua orang. Anda tidak lagi mengukur harga diri berdasarkan pujian manusia. Kerana anda sedar bahawa harga diri bukan sesuatu yang diberikan oleh orang lain. Ia sesuatu yang lahir daripada kesedaran diri. Apabila anda menghormati diri sendiri… Orang lain juga akan belajar menghormati anda. Kekuatan Tidak Bermaksud Tidak Pernah Menangis Ramai orang mempunyai gambaran bahawa wanita yang kuat ialah wanita yang tidak pernah menangis. Hakikatnya tidak begitu. Wanita yang benar-benar kuat tetap mempunyai rasa takut. Tetap pernah kecewa. Tetap pernah terluka. Tetap pernah dikhianati. Tetapi… Dia tidak membiarkan semua pengalaman itu menentukan masa depannya. Dia tetap bangun. Tetap berjalan. Tetap percaya bahawa masih ada harapan di hadapan. Itulah kekuatan sebenar. Bukan hidup tanpa luka. Tetapi mampu bangkit selepas terluka. Berhenti Meminta Izin Untuk Menjadi Diri Sendiri Anda tidak perlu meminta maaf kerana mempunyai impian yang besar. Anda tidak perlu mengecilkan kejayaan supaya orang lain berasa selesa. Anda juga tidak perlu menjadi seperti orang lain semata-mata mahu diterima. Setiap wanita diciptakan dengan keunikan yang tersendiri. Dunia tidak memerlukan salinan. Dunia memerlukan diri anda yang sebenar. Semakin anda cuba menjadi orang lain… Semakin anda menjauh daripada potensi sebenar yang ada dalam diri. Biarkan Mereka Berkata Apa Sahaja Kadangkala… Orang akan salah faham. Biarkan. Orang akan mengkritik. Biarkan. Orang akan memandang rendah. Biarkan. Orang akan bercakap tanpa mengetahui keseluruhan cerita hidup anda. Biarkan juga. Mereka berhak mempunyai pendapat. Tetapi mereka tidak berhak menentukan arah hidup anda. Keputusan itu tetap berada di tangan anda. Jangan serahkan stereng kehidupan kepada orang yang tidak pernah berjalan bersama anda. Keyakinan Diri Adalah Tentang Bangkit Semula Sepanjang kehidupan ini, saya belajar satu perkara yang sangat penting. Keyakinan diri bukan bermaksud anda yakin semuanya akan berjalan lancar. Keyakinan diri ialah apabila anda percaya bahawa walaupun jatuh… Anda mampu bangun semula. Walaupun gagal… Anda mampu belajar. Walaupun dunia meragui anda… Anda tetap memilih untuk terus mencuba. Itulah keyakinan yang sebenar. Bukan keyakinan yang lahir kerana semuanya mudah. Tetapi keyakinan yang lahir kerana anda percaya kepada kemampuan diri sendiri. Mulakan Dengan Langkah Yang Kecil Tidak perlu berubah dalam sehari. Mulakan dengan perkara yang sederhana. Berhenti bercakap buruk tentang diri sendiri. Berhenti membandingkan hidup anda dengan orang lain. Raikan setiap kemajuan walaupun sedikit. Kelilingi diri dengan mereka yang memberi semangat, bukan yang mematahkan impian. Dan setiap pagi… Ingatkan diri bahawa anda masih mempunyai peluang untuk menjadi lebih baik daripada semalam. Perubahan besar sentiasa bermula dengan langkah yang kecil tetapi konsisten. Hidup Ini Milik Anda Hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan dengan memenuhi jangkaan semua orang. Akan sentiasa ada orang yang tidak bersetuju. Akan sentiasa ada orang yang meragui. Dan akan sentiasa ada orang yang mempersoalkan pilihan anda. Namun akhirnya… Bukan mereka yang akan menjalani hidup ini. Tetapi anda. Ada masanya anda perlu memilih diri sendiri. Memilih ketenangan. Memilih kebahagiaan. Memilih impian yang selama ini disimpan kerana takut dipandang sinis. Kerana setiap kali anda memilih untuk menghargai diri sendiri, anda sedang membina kehidupan yang lebih bermakna. Anda Penulis Kisah Hidup Anda Sendiri Apabila dunia cuba menentukan siapa diri anda… Jangan cepat mengalah. Tarik nafas. Angkat kepala. Dan teruskan melangkah dengan yakin. Kenali nilai diri anda. Percayalah kepada kekuatan yang ada dalam diri. Terimalah bahawa setiap pengalaman, sama ada manis atau pahit, sedang membentuk anda menjadi seorang wanita yang lebih matang, lebih berani dan lebih luar biasa. Jangan biarkan suara orang lain lebih kuat daripada impian anda sendiri. Kerana pada akhirnya… Bukan orang lain yang akan menulis kisah hidup anda. Tetapi anda sendiri. Dan setiap keputusan yang anda buat hari ini sedang menentukan bab-bab indah yang akan anda baca suatu hari nanti. ikhlas, Dr Suffia Hany❤️ Women’s Leadership & Empowerment Strategist Medical & Anti-Aging Doctor | Accredited
10 Kualiti untuk Berjaya | Panduan Dr. Suffia Hany
10 Kualiti untuk Berjaya Sebagai Usahawan Wanita Masa Kini Ramai orang menyangka kejayaan dalam perniagaan bergantung kepada modal yang besar atau bakat semula jadi. Hakikatnya, sepanjang pengalaman saya bertemu dan melatih ramai wanita daripada pelbagai latar belakang, saya mendapati kualiti untuk berjaya jauh lebih penting daripada apa yang kita miliki pada hari ini. Saya pernah melihat wanita yang bermula dari rumah dengan modal yang kecil akhirnya berjaya membina empayar perniagaan. Saya juga pernah melihat individu yang mempunyai segala kemudahan tetapi masih gagal kerana tidak membina sikap yang betul. Jika anda benar-benar ingin berkembang sebagai usahawan, bina dahulu diri anda. Perniagaan yang berjaya selalunya lahir daripada pemilik yang mempunyai pemikiran, disiplin dan nilai yang kukuh. Kualiti untuk Berjaya #1 – Visionary (Mempunyai Visi Yang Jelas) Setiap perniagaan yang berjaya bermula dengan sebuah visi. Visi bukan sekadar impian untuk memperoleh keuntungan, tetapi gambaran yang jelas tentang kehidupan yang ingin dibina serta impak yang ingin diberikan kepada orang lain. Saya sentiasa percaya bahawa usahawan yang mempunyai visi akan lebih mudah membuat keputusan apabila berdepan cabaran. Mereka tahu mengapa mereka bermula dan ke mana mereka mahu pergi. Sebaliknya, mereka yang berniaga tanpa arah sering mudah berputus asa apabila jualan menurun atau berdepan kritikan. Visi akan menjadi kompas yang membantu anda terus melangkah walaupun perjalanan terasa sukar. Tips Dr. Suffia: Tulis matlamat anda untuk tempoh satu, tiga dan lima tahun. Baca semula setiap minggu supaya visi sentiasa hidup dalam hati anda. Kualiti untuk Berjaya #2 – Leadership (Kepimpinan) Ramai menyangka kepimpinan hanya penting apabila syarikat sudah mempunyai ramai pekerja. Sebenarnya, kepimpinan bermula daripada cara kita memimpin diri sendiri. Seorang usahawan perlu belajar mengawal emosi, menjaga disiplin dan membuat keputusan walaupun berada dalam keadaan yang tidak pasti. Saya percaya pekerja, pelanggan dan rakan perniagaan lebih mudah mempercayai seseorang yang tenang, konsisten dan bertanggungjawab. Kepimpinan juga bermaksud berani mengakui kesilapan, belajar daripada pengalaman dan sentiasa menjadi contoh yang baik kepada orang di sekeliling. Semakin baik kita memimpin diri, semakin mudah orang lain mengikuti perjalanan kita. Tips Dr. Suffia: Jadilah contoh sebelum memberi arahan. Orang lebih percaya kepada tindakan daripada kata-kata. Kualiti untuk Berjaya #3 – Sentiasa Berinovasi Dunia perniagaan sentiasa berubah. Apa yang berjaya hari ini mungkin tidak lagi relevan beberapa tahun akan datang. Oleh itu, usahawan wanita perlu sentiasa bersedia belajar perkara baharu dan mencari cara yang lebih baik untuk melayani pelanggan. Inovasi tidak semestinya menghasilkan produk yang hebat. Kadangkala perubahan kecil pada servis, cara berkomunikasi atau pengalaman pelanggan sudah cukup memberi perbezaan yang besar. Saya sendiri percaya bahawa mereka yang terus belajar akan sentiasa mempunyai ruang untuk berkembang. Jangan takut mencuba idea baharu selagi ia memberi manfaat kepada pelanggan. Tips Dr. Suffia: Luangkan sekurang-kurangnya 30 minit setiap minggu untuk mempelajari trend atau kemahiran baharu dalam industri anda. Kualiti untuk Berjaya #4 – Berani Mengambil Risiko Yang Dikira Tiada perniagaan yang berkembang tanpa keberanian. Namun begitu, keberanian tidak bermaksud bertindak secara melulu. Usahawan yang bijak akan mengkaji risiko, membuat persediaan dan mempertimbangkan pelbagai kemungkinan sebelum membuat keputusan. Saya sering melihat ramai wanita mempunyai idea yang sangat baik tetapi terlalu takut untuk bermula kerana bimbang gagal. Kegagalan bukanlah penamat. Sebaliknya, ia adalah guru yang mengajar kita menjadi lebih matang dan lebih berhati-hati pada masa hadapan. Selagi risiko itu dikira dengan baik, jangan biarkan ketakutan menghalang potensi diri anda. Tips Dr. Suffia: Sebelum membuat keputusan besar, senaraikan manfaat, risiko dan pelan alternatif sekiranya perkara tidak berjalan seperti yang dirancang. Kualiti untuk Berjaya #5 – Mampu Menyesuaikan Diri Salah satu kekuatan usahawan yang berjaya ialah kemampuan mereka menyesuaikan diri dengan perubahan. Dunia hari ini berubah begitu pantas. Teknologi berkembang, kehendak pelanggan berubah dan persaingan semakin sengit. Mereka yang enggan berubah akan mudah ketinggalan. Saya sentiasa mengingatkan diri bahawa perubahan bukan musuh, tetapi peluang untuk menjadi lebih baik. Fleksibiliti membolehkan kita melihat cabaran daripada sudut yang berbeza dan mencari penyelesaian yang lebih kreatif. Sikap terbuka untuk belajar dan berubah akan menjadikan sesebuah perniagaan lebih kukuh dalam jangka panjang. Tips Dr. Suffia: Jangan terlalu selesa dengan cara lama. Nilai semula perniagaan anda secara berkala dan sentiasa bersedia menambah baik apa yang perlu. Kualiti untuk Berjaya #6 – Tidak Mudah Mengalah (Resilience) Dalam dunia perniagaan, kegagalan adalah sesuatu yang hampir pasti dialami oleh setiap usahawan. Bezanya bukan pada siapa yang tidak pernah gagal, tetapi siapa yang memilih untuk bangkit semula. Sepanjang perjalanan saya bertemu ramai wanita hebat, saya mendapati mereka bukanlah individu yang tidak pernah menangis atau kecewa. Mereka juga pernah kehilangan pelanggan, menghadapi tekanan kewangan dan berasa letih. Namun, mereka memilih untuk terus melangkah walaupun perlahan. Saya percaya setiap cabaran membawa pengajaran yang menjadikan kita lebih matang dan lebih bersedia menghadapi kejayaan yang lebih besar. Jangan jadikan kegagalan sebagai alasan untuk berhenti, tetapi jadikan ia sebagai batu loncatan untuk memperbaiki diri. Tips Dr. Suffia: Setiap kali menghadapi kegagalan, tanyakan kepada diri sendiri, “Apakah satu pengajaran yang boleh saya bawa ke langkah seterusnya?” Kualiti untuk Berjaya #7 – Membina Hubungan Yang Berkualiti (Networking) Ramai usahawan memberi tumpuan kepada produk sehingga terlupa bahawa hubungan juga merupakan aset yang sangat bernilai. Hubungan yang baik dengan pelanggan, mentor, rakan niaga dan komuniti mampu membuka peluang yang tidak pernah kita sangka. Saya sentiasa percaya bahawa kejayaan tidak dibina seorang diri. Kadangkala satu perkenalan yang ikhlas boleh membawa kepada kerjasama yang besar pada masa hadapan. Oleh itu, belajarlah untuk menghargai setiap orang yang anda temui. Dengar pandangan mereka, bantu apabila mampu dan bina kepercayaan melalui kejujuran. Hubungan yang dibina dengan nilai dan integriti akan bertahan lebih lama berbanding hubungan yang hanya berasaskan keuntungan. Tips Dr. Suffia: Jangan hadir ke sesuatu majlis semata-mata untuk menjual. Hadirlah untuk mengenali, belajar dan membina kepercayaan. Kualiti untuk Berjaya #8 – Bijak Mengurus Kewangan Salah satu kesilapan yang sering dilakukan oleh usahawan baharu ialah tidak mengurus kewangan dengan teratur. Perniagaan mungkin mempunyai jualan yang tinggi, tetapi tanpa pengurusan kewangan yang baik, keuntungan boleh hilang begitu sahaja. Saya sentiasa menggalakkan usahawan wanita memahami aliran tunai, merekodkan setiap perbelanjaan dan membezakan wang perniagaan dengan wang peribadi. Disiplin kewangan bukan sekadar membantu perniagaan bertahan, malah memberi ketenangan
10 Tip Kecantikan Semula Jadi | Tip Dr. Suffia Hany
Sejujurnya, saya tidak pernah percaya bahawa kecantikan hanya datang daripada produk yang mahal. Ya, saya seorang doktor dan saya memang menghargai kemajuan dunia estetik serta penjagaan kulit. Tetapi bagi saya, kecantikan semula jadi bermula jauh lebih awal daripada apa yang kita sapu pada wajah. Ada orang bertanya kepada saya… “Dr. Suffia, apa rahsia nampak segar walaupun jadual padat?” Saya selalu tersenyum. Seperti yang saya katakan, kecantikan semula jadi ini sebenarnya bermula daripada cara kita menjaga diri, menghormati tubuh sendiri, mengawal emosi dan belajar mencintai diri dengan kesederhanaan yang ada di sekeliling kita. Percayalah… Kulit boleh ditutup dengan solekan. Tetapi wajah yang tenang tidak boleh dipalsukan. Hari ini saya ingin berkongsi 10 perkara yang saya sendiri sering cuba amalkan. Bukan kerana saya sempurna, tetapi kerana saya juga seorang wanita yang sentiasa belajar menjadi versi terbaik diri sendiri. 1. Kecantikan Semula Jadi Bermula Dengan Hati Yang Tenang Saya percaya hati yang tenang akan mempengaruhi seluruh wajah kita. Pernah tak anda melihat seseorang yang wajahnya biasa-biasa sahaja, tetapi semakin lama kita melihatnya, semakin ayu wajahnya kelihatan? Itulah aura. Bukan filter. Kadang-kadang kita terlalu sibuk mengejar kulit yang flawless sehingga terlupa untuk menjaga hati sendiri. Kalau setiap hari penuh dengan marah, dengki, stres dan overthinking… Percayalah… Kulit pun boleh “mogok kerja.” 2. Minum Air Kosong Lebih Banyak Daripada Air Manis Saya tahu… Ramai yang akan berkata, “Alah doktor… ini semua orang dah tahu.” Betul. Tetapi soalannya… Kita buat atau tidak? Air kosong membantu badan berfungsi dengan lebih baik, termasuk kulit kita. Saya sendiri sentiasa cuba memastikan badan mendapat air yang mencukupi setiap hari. It’snot easy! Anyway, guys, kadang-kadang tip paling berkesan bukanlah yang paling mahal. Tetapi yang paling konsisten. Kalau anda boleh konsisten mengamalkannya, insyaAllah… menjadi 🙂 3. Tidur Yang Berkualiti Adalah Rahsia Kecantikan Semula Jadi Saya selalu berpesan… Jangan bangga tidur tiga jam tetapi mengharapkan kulit seperti bayi. Badan kita memerlukan masa untuk “repair” dirinya sendiri. Kulit juga begitu. Kalau tidur pun asyik berjaga sampai pukul 3 pagi kerana scroll media sosial… Jangan salahkan cermin kalau esok nampak mata macam panda. Cermin tidak pernah menipu. 4. Jangan Terlalu Takut Dengan Usia Ini mungkin tip kegemaran saya. Ramai wanita takut melihat angka umur bertambah. Saya pula melihat setiap tahun sebagai hadiah daripada Allah. Kedutan kecil? Tidak mengapa. Ia bukti kita pernah ketawa. Garis halus? Tidak mengapa. Mungkin terlalu banyak kita tersenyum. Bagi saya, kecantikan semula jadi bukan tentang kelihatan berusia 25 tahun selama-lamanya. Tetapi kelihatan sihat, yakin dan bahagia pada usia sebenar. Anda bagaimana… ada berani? 🙂 5. Senyum Selalu… Ia Percuma + DAPAT PAHALA lagi. Percaya atau tidak… Senyuman yang ikhlas mampu mengubah keseluruhan wajah seseorang. Saya selalu bergurau… “Lipstick boleh habis… senyuman jangan.” Kadang-kadang orang tidak ingat warna tudung yang kita pakai. Tetapi mereka akan ingat bagaimana kita membuat mereka rasa dihargai. Dan itu jauh lebih indah. Senyuman manis kita tu sangatlah bernilai. Ingat ni, “Sebuah senyuman ikhlas, boleh membahagiakan orang yang memandang!” Guys dah lah percuma, “Senyuman itu sedekah pula” … dapat pahala lagi. Mengapa susah sangat nak senyum? Betul ke dapat pahala? – Senang sahaja penjelasannya di sini, apabila kita senyum kepada orang lain. Pastinya kita menyenangkan hati orang itu. Lalu, dapatlah pahala kepada orang yang menyenangkan hati orang lain. Dengarkan penjelasan yang lebih terperinci klik di sini 6. Makan Dengan Bijak, Bukan Sekadar Diet Saya tidak suka budaya menyeksa diri semata-mata mahu kurus. Tubuh kita perlukan nutrisi. Bukan hukuman. Saya lebih suka memilih makanan yang seimbang berbanding terlalu ekstrem. Sesekali menikmati pencuci mulut? Silakan. Hidup ini bukan peperiksaan diet. Yang penting ialah keseimbangan. 7. Bergerak Setiap Hari Untuk Kecantikan Semula Jadi Tidak semestinya perlu menjadi atlet. Berjalan je… brisk walking bahasa dia. Naik tangga. Berkebun. Mengemas pun boleh. Menari sambil mengemas rumah lagi boleh. Yang penting badan bergerak. Apabila peredaran darah menjadi lebih baik, kita bukan sahaja berasa lebih sihat malah wajah juga kelihatan lebih segar. Tubuh kita memang dicipta untuk bergerak. Bukan duduk menghadap telefon sepanjang hari. Kereta pun kalau dibiarkan tak bergerak, lama-lama mati terus kan. Berkarat dan rosak hancur habis Haaa itu mesin tu… inikan pula manusia. Ya… saya pun kadang-kadang kena ingatkan diri sendiri juga haha. 8. Pilih Produk Yang Sesuai, Bukan Yang Sedang Viral Saya sering melihat ramai wanita membeli produk hanya kerana influencer menggunakannya. Saya selalu berkata… “Kulit anda bukan kulit jiran sebelah.” Apa yang sesuai untuk orang lain belum tentu sesuai untuk kita. Kenali kulit sendiri. Dapatkan nasihat yang betul jika perlu. Jangan mudah terpengaruh dengan trend semata-mata. Kulit kita tidak perlukan drama. Kulit cuma perlukan penjagaan yang konsisten. 9. Belajar Mengurus Emosi Saya benar-benar percaya bahawa emosi memberi kesan kepada penampilan seseorang. Apabila terlalu penat. Terlalu tertekan. Terlalu banyak memendam rasa. Wajah akan mula “bercerita.” Sebab itu saya selalu mengingatkan diri sendiri supaya memberi ruang untuk berehat, berdoa, ketawa dan melakukan perkara yang menggembirakan hati. Kesihatan mental juga sebahagian daripada kecantikan semula jadi. Dan saya rasa perkara ini semakin penting dalam dunia yang begitu pantas hari ini. AGAIN… kalau kita happy, hati kita gembira sentiasa, jiwa kita turut bersemangat, itu yang boleh memancar-mancar cahaya di wajah kita tu. That aura… that energy… muncul di muka kita. 10. Syukur Adalah Solekan Yang Paling Cantik Kalau ditanya satu sahaja tip yang paling saya percaya… Inilah jawapannya. Syukur. Wanita yang bersyukur selalunya mempunyai wajah yang lebih damai. Lebih lembut. Lebih menyenangkan. Saya tidak mengatakan hidup mesti sentiasa mudah. Kita semua ada ujian. Saya juga begitu.Tetapi apabila kita belajar melihat nikmat yang masih ada, hati menjadi lebih ringan. Dan apabila hati menjadi ringan… Wajah juga akan turut bersinar. Bersyukurlah setiap masa, setiap hari… bersyukur dengan hidup kita, bersyukur dengan segala nikmat anugerah dari Yang Maha Esa… InsyaAllah berkat. Kecantikan Semula Jadi Tidak Pernah Lapuk Ditelan Zaman Akhirnya saya ingin berkongsi satu perkara yang saya pegang hingga hari ini. “Cantik bukan pertandingan. Cantik juga bukan perlumbaan.” Kita tidak perlu menjadi wanita lain untuk dihargai. Cukuplah menjadi diri sendiri dengan versi yang semakin baik setiap hari. Kulit yang dijaga. Hati yang bersih. Senyuman yang ikhlas. Akhlak yang baik. Keyakinan yang dibina sedikit