
Artikel ditulis oleh pemberita Kosmo : MOHD SHAZWAN YUSOP
Dalam usaha menggalakkan masyarakat luar bandar lebih prihatin terhadap isu kesihatan, Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (Perdim) terpanggil untuk menganjurkan program Sihat dan Ceria Bersama Perdim (Sihat dan Ceria).
Program yang berlangsung di Kampung Orang Asli Alur Beruang, Rompin, Pahang itu telah mendapat sambutan yang baik apabila ramai penduduk setempat hadir memeriahkan setiap aktiviti dianjurkan.
Menurut Presiden Perdim, Dr. Boi Saidi, Sihat dan Ceria merupakan program tanggungjawab sosial (CSR) yang bermatlamat untuk mendekatkan ahli pertubuhan tersebut dengan komuniti terutama di luar bandar.
Ujarnya, program tersebut membuktikan bahawa ahli-ahli Perdim sentiasa komited untuk memartabatkan profesion doktor klinik swasta melalui aktiviti kebajikan dan kerja amal yang dijalankan.

“Walaupun doktor swasta kini berdepan dengan pelbagai cabaran, namun ahli Perdim tetap membuktikan bahawa kami mampu menabur bakti kepada masyarakat yang memerlukan.”
“Langkah ini membuktikan komitmen Perdim dalam memperkukuh peranan pertubuhan ini sebagai sebuah NGO (pertubuhan bukan kerajaan) kesihatan yang relevan dan berdaya saing,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.
Program amal yang julung kali dianjurkan oleh Perdim di perkampungan Orang Asli itu berlangsung dalam suasana cukup harmoni. Dianggarkan hampir 75 peratus daripada 500 orang penduduk kampung hadir memeriahkan program seharian itu.

Antara aktiviti yang dianjurkan ialah pemeriksaan kesihatan, cara penampilan dan dandanan bersama Dr. Suffia Hany Amin, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, selain perkhidmatan gunting rambut serta perurutan refleksologi percuma.
Pada sebelah malamnya pula, program Sihat dan Ceria dimeriahkan dengan pertandingan karaoke yang melibatkan seramai 18 orang peserta dalam kalangan penduduk kampung.
“Program ini bukan sahaja berjaya mengeratkan silaturahim antara warga perubatan dan masyarakat Orang Asli, malah membuktikan bahawa khidmat bakti yang dilakukan dengan ikhlas mampu menyemai kasih dan meningkatkan kesejahteraan komuniti.”

“Saya mewakili Perdim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tok Batin serta seluruh penduduk Kampung Alur Beruang atas sambutan yang luar biasa ini,” katanya.
Untuk makluman, program tersebut telah dirasmikan oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff.
Salah seorang sukarelawan yang juga Ahli Jawatankuasa Perdim, Dr. Suffia memaklumkan, program Sihat dan Ceria memberi peluang kepadanya untuk menyantuni dan menabur bakti kepada masyarakat di luar bandar.
Dalam program tersebut, Dr. Suffia telah diberi tanggungjawab untuk mengendalikan aktiviti cara penampilan dan dandanan yang melibatkan seramai 45 peserta wanita.
“Menerusi aktiviti ini saya berpeluang berkongsi ilmu asas solekan dan penjagaan diri kepada golongan wanita. Aktiviti ini bukan sahaja memberi pendedahan tentang kecantikan, malah menanam keyakinan diri dalam kalangan peserta,” ujarnya.
Sementara itu, Tok Batin kampung tersebut, Jazli Kurus merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdim kerana berjaya menganjurkan satu program yang amat bermakna untuk masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut.
Dia sangat berharap supaya Perdim dapat terus menabur bakti kepada masyarakat setempat, khususnya di kawasan DUN Pulau Manis dan menjadikan Sihat dan Ceria sebagai program tahunan.
disediakan oleh:
Dr Suffia Hany
Leadership & EQ Strategist
Empowering Women through Leadership, Wisdom & Emotional Intelligence.
—————————————————————————————————————————
Inisiatif seperti ini selari dengan usaha berterusan yang digerakkan oleh Dr Suffia Hany, seorang tokoh latihan pembangunan wanita di Malaysia yang aktif memperkasa wanita melalui pendekatan beretika dan berstruktur.
Baca latar belakang penuh Dr Suffia Hany di sini.