Mungkin anda kadang terasa seperti anda lemah… wo, stop dulu. Tidakkah anda terfikir, mungkin anda sebenarnya lebih kuat daripada yang anda sangkakan? Kadang-kadang kita rasa kita lemah hanya kerana kita sedang penat. Kita rasa kita tidak cukup kuat kerana pernah menangis. Kita rasa kita gagal kerana pernah jatuh. Kita rasa kita sudah tidak mampu meneruskan perjalanan kerana terlalu banyak perkara yang terpaksa kita lalui. Tetapi mungkin sebenarnya… Anda bukan lemah. Anda cuma terlalu lama bertahan. Anda Sebenarnya Lebih Kuat 1. Anda Masih Bangun Walaupun Pernah Jatuh Orang yang kuat bukan orang yang tidak pernah jatuh. Orang yang kuat ialah orang yang, selepas jatuh, masih mencari kekuatan untuk bangun semula. Mungkin perlahan. Mungkin sambil menangis. Tetapi tetap bangun. Itu menunjukkan yang anda sebenarnya lebih kuat daripada yang anda sangka. 2. Anda Belajar Daripada Apa Yang telah Menyakitkan anda selama ini Setiap pengalaman pahit meninggalkan sesuatu. Ada yang mengajar you supaya lebih berhati-hati. Ada yang mengajar you mengenali manusia. Ada yang mengajar you supaya tidak lagi mengabaikan diri sendiri. Apa yang pernah menyakitkan you tidak semestinya menjadi kelemahan. Kadang-kadang, ia menjadi guru yang paling mahal dalam hidup. 3. Anda Sudah Berhenti Memaksa Semua Orang Memahami Dulu mungkin anda terlalu sibuk menjelaskan diri kepada orang lain. Sekarang anda mula faham bahawa tidak semua orang perlu memahami perjalanan hidup anda. Ada perkara yang tidak perlu dijelaskan. Cukup anda tahu siapa diri anda dan kenapa anda memilih untuk terus berjalan. Akibatnya, keputusan ini boleh membuatkan anda kehilangan orang-orang yang munkin tidak dapat menerima cara anda. Di sini juga petunjuk yang anda sanggup lepaskan kehidupan itu. Jelas… anda sebenarnya lebih kuat dari kebiasaan orang lain. 4. Anda Berani Melepaskan Apa Yang Tidak Lagi Baik Melepaskan bukan bermaksud kalah. Kadang-kadang, melepaskan ialah tanda bahawa anda sudah cukup matang untuk memilih ketenangan berbanding terus memegang sesuatu yang hanya menyakitkan. Anda tidak perlu mempertahankan sesuatu hanya kerana anda sudah terlalu lama berada di dalamnya. Jika itu bukan KUAT… tak tahulah apa lagi… 5. Anda Tidak Lagi Takut Bermula Semula Bermula semula pada usia berapa pun bukan sesuatu yang memalukan. Kerjaya boleh bermula semula. Impian boleh dibina semula. Hidup juga boleh disusun semula. Yang penting, jangan anggap halaman baru sebagai bukti bahawa cerita lama gagal. Ia mungkin sebenarnya peluang untuk menulis cerita yang lebih baik. Dan sesungguhnya orang yang cukup kuat dari segi emosi sahaja yang boleh bermula semula dari kegagalan… jadi anda sebenarnya lebih kuat daripada kebiasaan manusia. 6. Anda Masih Mampu Percaya Kepada Diri Sendiri Mungkin keyakinan you pernah hilang. Mungkin ada orang yang pernah membuatkan you rasa tidak cukup baik. Tetapi jika hari ini you masih mempunyai sedikit sahaja kepercayaan bahawa hidup you boleh berubah, itu sudah cukup untuk memulakan langkah pertama. Jangan tunggu sehingga you yakin 100%. Kadang-kadang keberanian datang dahulu. Keyakinan datang kemudian. 7. Walaupun Penat, Anda Masih Mampu Untuk Tidak Berhenti Ini mungkin tanda paling besar. Anda mungkin penat. Anda mungkin kecewa. Anda mungkin pernah terfikir untuk berhenti. Tetapi somehow, you masih di sini. Masih mencuba. Masih mencari jalan. Masih berharap. Dan itu sendiri adalah bukti bahawa dalam diri you masih ada kekuatan. You Lebih Kuat Daripada Yang You Sangka Jangan ukur kekuatan diri hanya berdasarkan berapa banyak perkara yang sudah berjaya you capai. Kadang-kadang kekuatan itu tersembunyi dalam perkara yang kecil. Bangun pada pagi yang sukar. Terus bekerja walaupun hati penat. Memaafkan diri sendiri. Berani berkata tidak. Berani meninggalkan sesuatu yang tidak lagi baik. Dan memilih untuk mencuba sekali lagi. Mungkin you bukan sedang gagal. Mungkin you sedang belajar menjadi lebih kuat. Jadi kalau hari ini you sedang melalui sesuatu yang berat, jangan terlalu cepat menghukum diri sendiri. Tarik nafas. Bangun perlahan-lahan. Dan teruskan. Kerana mungkin Anda jauh lebih kuat daripada yang Anda sangka. BANGKIT. BIJAK. BERANI. 🔥 ikhlas, Dr Suffia Hany❤️ Women’s Leadership & Empowerment Strategist Medical & Anti-Aging Doctor | Accredited HRDC Trainer ➡️Ketahui lebih lanjut tentang Dr. Suffia Hany di sini ➡️Dr. Suffia Hany as Biro Pemerkasaan Wanita PERDIM
10 Perkara Yang Anda Perlu LEPASKAN Demi Untuk Berjaya
Berjaya bukan hanya tentang apa yang kita peroleh. Kadang-kadang, kejayaan bermula dengan… “keberanian untuk melepaskan sesuatu yang selama ini kita genggam.” Dalam perjalanan hidup dan kerjaya saya, saya belajar bahawa setiap pencapaian datang bersama pengorbanan. Ada perkara yang perlu kita korbankan. Ada perkara yang perlu kita kurangkan. Dan ada perkara yang paling sukar — kita perlu lepaskan walaupun hati masih berat. Ramai orang bertanya, “Apa yang saya perlu lakukan untuk berjaya?” Tetapi mungkin ada satu soalan yang lebih penting: “Apa yang saya perlu lepaskan untuk memberi ruang kepada kejayaan?” Ini antara perkara yang saya sendiri pelajari sepanjang perjalanan hidup dan kerjaya. 1. LEPASKAN SEBAHAGIAN MASA LAPANG Apabila kita mempunyai impian yang besar, kita tidak boleh mengharapkan kehidupan kita kekal sama seperti sebelumnya. Ada ketika kita perlu melepaskan sebahagian masa lapang untuk bekerja, belajar, membina sesuatu dan memperbaiki diri. Masa yang dahulu digunakan untuk bersantai mungkin perlu digunakan untuk membaca, menghadiri latihan, membina network, merancang masa depan atau menyelesaikan sesuatu yang penting. Saya juga pernah melalui fasa di mana kerja dan tanggungjawab mengambil begitu banyak masa sehingga saya terpaksa belajar mengurus masa dengan lebih bijak. Bukan bermaksud kita tidak boleh berehat. Tetapi kita perlu tahu beza antara berehat dengan terlalu selesa. Kalau setiap kali mempunyai masa lapang kita hanya mahu hiburan, jangan terkejut apabila orang lain menggunakan masa yang sama untuk membina masa depan mereka. IN FACT… sehingga ke hari ini, masa saya banyak dihabiskan untuk melakukan pelbagai perkara demi untuk berjaya. Kerana kejayaan itu tiada noktahnya. 2. LEPASKAN KESELESAAN Saya percaya antara perkara paling mahal dalam perjalanan untuk berjaya ialah keselesaan. Apabila kita sudah selesa, kita kurang terdorong untuk berubah. Sedangkan dunia sentiasa berubah. Kerjaya berubah. Teknologi berubah. Persaingan berubah. Keperluan manusia juga berubah. Sebab itu kita perlu berani keluar daripada comfort zone. Kadang-kadang kita perlu bangun lebih awal. Kadang-kadang kita perlu bekerja lebih keras. Kadang-kadang kita perlu belajar sesuatu yang kita tidak pernah tahu. Kita mungkin penat. Kita mungkin takut. Tetapi di situlah proses pembentukan diri berlaku. Jangan takut kehilangan keselesaan jika ia membawa anda kepada versi diri yang lebih baik. 3. LEPASKAN KAWAN YANG TIDAK MEMBANTU ANDA BERKEMBANG Ini antara perkara yang paling sukar. Apabila kita semakin serius mahu berjaya, kita mula sedar bahawa tidak semua orang di sekeliling kita mempunyai arah yang sama. Ada kawan yang sentiasa memberikan sokongan. Ada yang menjadi tempat kita mendapatkan inspirasi. Tetapi ada juga yang secara tidak sedar membuat kita kembali kepada tabiat lama. Saya belajar bahawa memilih circle bukan bermaksud kita perlu membenci sesiapa. Kita cuma perlu bijak menentukan siapa yang kita benarkan mempengaruhi fikiran dan perjalanan hidup kita. Carilah orang yang mempunyai visi. Orang yang mahu belajar. Orang yang mahu berkembang. Orang yang apabila kita bercakap tentang impian, mereka tidak mentertawakan kita — tetapi bertanya, “Apa yang saya boleh bantu?” 4. LEPASKAN KENANGAN KEJAYAAN LAMA Ini mungkin perkara yang paling ramai orang tidak sedar. Kadang-kadang kita bukan stuck kerana kegagalan. Kita stuck kerana kenangan tentang kejayaan kita yang lalu. Kita pernah berada di atas. Pernah dipuji. Pernah dikenali. Pernah mempunyai kehidupan yang sangat membahagiakan. Kemudian keadaan berubah. Kita jatuh. Kita kehilangan sesuatu. Tetapi kita masih hidup dalam cerita lama. Saya belajar bahawa kita perlu menghargai sejarah, tetapi tidak boleh tinggal di dalamnya. Apa yang berlaku dahulu adalah sebahagian daripada perjalanan kita. Tetapi ia bukan destinasi terakhir kita. Kalau dahulu kita pernah berjaya, kita boleh berjaya lagi. Cuma kali ini, mungkin dalam bentuk yang berbeza. Dunia sudah berubah. Kita juga sudah berubah. Jadi, jangan hanya cuba mendapatkan kembali kejayaan lama. Ciptakan kejayaan yang baru. 5. LEPASKAN KEINGINAN UNTUK DISUKAI SEMUA ORANG Semakin kita membesar, semakin kita sedar bahawa kita tidak mungkin membuat semua orang gembira. Ada keputusan yang betul untuk kita tetapi tidak difahami oleh orang lain. Ada impian yang hanya kita faham. Ada perjalanan yang orang lain tidak nampak. Saya belajar untuk tidak terlalu bergantung kepada approval orang. Dengar nasihat. Terima teguran. Tetapi akhirnya, kita perlu berani membuat keputusan berdasarkan prinsip, nilai dan tujuan hidup kita sendiri. Anda tidak perlu disukai semua orang untuk berjaya. ➡️Baca juga : Wanita & Dunia AI Demi Kejayaan. 6. LEPASKAN ALASAN Kita semua mempunyai alasan. Saya juga pernah berada dalam situasi di mana banyak perkara kelihatan sukar. Tetapi semakin lama kita hidup, semakin kita faham bahawa alasan tidak akan mengubah keadaan. “Tak cukup masa.” “Tak cukup modal.” “Saya belum bersedia.” “Saya sudah terlambat.” “Saya tidak mempunyai peluang.” Kadang-kadang semua itu mungkin benar. Tetapi persoalannya ialah: Apa yang boleh kita lakukan dengan apa yang kita ada sekarang? Kejayaan tidak menunggu sehingga hidup kita sempurna. Kita perlu bermula dengan apa yang ada. 7. LEPASKAN PERKARA YANG TIDAK PENTING Apabila kita mempunyai terlalu banyak perkara dalam hidup, fokus kita akan berpecah. Kita mahu buat semuanya. Kita mahu membantu semua orang. Kita mahu mengejar semua peluang. Akhirnya tenaga kita habis sebelum sampai kepada perkara yang benar-benar penting. Saya belajar bahawa apabila kita mempunyai matlamat yang jelas, kita juga perlu mempunyai keberanian untuk berkata tidak. Tidak kepada perkara yang tidak penting. Tidak kepada gangguan. Tidak kepada peluang yang tidak selari dengan hala tuju kita. Kadang-kadang, untuk berjaya, kita bukan perlu melakukan lebih banyak. Kita perlu melakukan lebih sedikit perkara yang lebih penting. 8. LEPASKAN PERFECTIONISM Ramai orang mempunyai impian besar tetapi tidak pernah bermula. Mereka menunggu masa yang sesuai. Menunggu keadaan sempurna. Menunggu diri lebih yakin. Menunggu semuanya cukup. Saya percaya kita perlu lepaskan keinginan untuk menjadi sempurna sebelum kita bergerak. Kita belajar sambil berjalan. Kita perbaiki kesilapan. Kita belajar daripada pengalaman. Tidak mengapa kalau langkah pertama kita belum sempurna. Yang penting, kita melangkah. ➡️Baca juga : Perngorbanan Seorang isteri demi untuk berjaya 9. LEPASKAN MENTALITI MAHU HASIL DENGAN CEPAT Dalam dunia hari ini, kita terbiasa melihat kejayaan yang kelihatan begitu pantas. Satu video viral. Satu business meletup. Satu personal brand menjadi terkenal. Tetapi kita jarang melihat bertahun-tahun usaha yang berlaku sebelum kejayaan itu kelihatan. Perjalanan saya sendiri mengajar bahawa sesuatu yang bernilai memerlukan masa untuk dibina. Jangan terlalu cepat kecewa apabila hasil belum kelihatan. Teruskan. Belajar. Perbaiki.
Pintu Rezeki Itu, Insya-Allah, Sentiasa Terbuka
Akan ada waktunya dalam hidup kita bila kita rasa, pintu rezeki begitu susah untuk terbuka. Sedangkan kita sudah berusaha sebaik mungkin namun apa yang kita harapkan tetap tidak menjadi. “Ahh…penat, kan?” Peluang yang kita tunggu tak datang-datang. Projek yang kita sangka akan berjaya tiba-tiba terhenti. Seseorang yang kita harapkan membantu memilih untuk pergi. Malah ada ketika pintu rezeki bagai tertutup tepat pada saat kita benar-benar memerlukannya. Saat seperti ini memang berat. Kita mungkin tertanya-tanya, “Aduh, kenapa sekarang ya?” atau “Selepas ini, bagaimana?” Namun sepanjang perjalanan hidup, saya belajar satu perkara penting, apabila satu pintu tertutup, itu tidak bermakna semua jalan sudah berakhir. Kadang-kadang Allah SWT menutup satu pintu kerana Dia sedang mengalihkan langkah kita kepada pintu yang lain. Pintu yang kita belum nampak. Pintu yang mungkin lebih baik. Dan kadang-kadang, pintu yang selama ini tidak pernah kita bayangkan pun akan terbuka untuk kita. Pintu Rezeki Allah Tidak Datang Melalui Satu Jalan Sahaja Manusia selalu melihat rezeki melalui perkara yang berada di hadapan mata. Gaji Perniagaan Pelanggan Kontrak Peluang Pekerjaan Tetapi pintu rezeki Allah jauh lebih luas daripada itu. Rezeki boleh datang dalam bentuk seseorang yang membantu ketika kita sedang buntu. Rezeki boleh berupa kesihatan, idea baru, peluang yang muncul secara tiba-tiba atau pertemuan dengan seseorang yang akhirnya mengubah perjalanan hidup kita. Kadang-kadang rezeki juga datang dalam bentuk sesuatu yang Allah jauhkan daripada kita. Kita mungkin kecewa pada awalnya, tetapi beberapa bulan atau beberapa tahun kemudian barulah kita faham kenapa perkara itu tidak menjadi. Allah SWT berfirman dalam Surah At-Talaq, ayat 2–3 bahawa sesiapa yang bertakwa kepada-Nya, Allah akan memberikan jalan keluar dan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Ayat ini mengingatkan kita bahawa jalan Allah tidak semestinya sama dengan jalan yang kita rancang. Tugas kita adalah terus berusaha. Dan BELIEVE!. Berdoalah, Tetapi Jangan Berhenti Berusaha Ada satu lagi perkara yang perlu sentiasa berjalan bersama dalam kehidupan seorang Muslim, iaitu, “doa dan usaha.” Jangan hanya berdoa tanpa bergerak. Dan jangan pula terlalu sibuk berusaha sehingga lupa siapa sebenarnya yang menentukan hasil akhirnya. Kadang-kadang kita sudah mengetuk satu pintu berkali-kali sehingga lupa bahawa mungkin ada pintu lain yang sedang menunggu untuk kita buka. Jika sesuatu tidak menjadi, cuba lagi. Jika satu rancangan gagal, susun rancangan baru. Jika satu peluang hilang, cari ruang yang lain. Jangan cepat menyimpulkan bahawa Allah tidak mendengar doa kita hanya kerana jawapannya belum muncul dalam bentuk yang kita harapkan. Ada doa yang Allah jawab dengan “ya”. Ada yang datang kemudian. Dan ada juga sesuatu yang tidak diberikan kerana Allah mengetahui ia bukan yang terbaik untuk kita. Jangan berputus asa daripada rahmat Allah. Selagi kita masih mampu berdoa dan berusaha, perjalanan itu belum berakhir. Jangan Takut Untuk Memberi Satu lagi perkara yang saya percaya kuat dalam kehidupan ialah jangan terlalu takut untuk memberi. Kadang-kadang apabila kewangan sedang sempit, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran ialah kita perlu memegang semuanya. Jangan keluarkan apa-apa. Jangan beri kepada sesiapa. Simpan sebanyak mungkin. Sudah tentu kita perlu bijak mengurus kewangan. Islam sendiri mengajar kita supaya tidak membazir dan tidak berlebihan. Tetapi jangan sampai ketakutan membuat hati kita terlalu berat untuk bersedekah. Allah SWT menggambarkan pahala orang yang membelanjakan hartanya di jalan-Nya seperti sebutir benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, dan setiap tangkai menghasilkan seratus biji. Maksudnya sangat indah. Apa yang kita beri kerana Allah tidak pernah benar-benar hilang. Ia mungkin kembali dalam bentuk wang. Mungkin juga dalam bentuk peluang, ketenangan, perlindungan, hubungan yang baik atau keberkatan dalam perkara yang sudah kita miliki. Sebab itu saya kurang melihat sedekah sebagai “kehilangan”. Saya melihatnya sebagai satu bentuk kepercayaan kepada Allah. Kita memberi kerana kita yakin bahawa sumber rezeki bukan sekadar angka di dalam akaun bank. Sumber rezeki kita adalah Allah SWT. Dahulukan Mereka Yang Pernah Memudahkan Urusan Anda Dalam kehidupan, kita juga perlu belajar mengenang budi. Jika ada orang yang pernah membantu anda ketika anda susah, jangan terlalu cepat melupakan mereka apabila keadaan anda sudah berubah. Ada orang pernah memperkenalkan anda kepada peluang. Ada yang memberi kerja ketika orang lain tidak percaya kepada anda. Ada yang membantu tanpa banyak bertanya. Ada yang menyokong ketika anda belum mempunyai apa-apa. Jika suatu hari Allah memberikan anda kemampuan yang lebih baik, ingatlah mereka. Jika mereka memerlukan bantuan dan anda mampu membantu, mudahkanlah urusan mereka pula. Tidak perlu menunggu menjadi jutawan untuk membalas kebaikan. Kadang-kadang satu peluang, satu bantuan kecil, satu pembelian, satu referral atau satu tindakan sederhana pun sudah sangat bermakna. Orang yang tahu menghargai kebaikan manusia selalunya lebih memahami nilai sebuah rezeki. Dan apabila kita memudahkan urusan orang lain, kita berharap Allah juga akan memudahkan urusan kita apabila tiba waktunya kita memerlukan pertolongan. Semakin Kita Memberi, Semakin Luas Ruang Kebaikan Ada satu ungkapan yang selalu kita dengar: The more you give, the more you get. Bagi saya, maksudnya bukanlah kita bersedekah RM100 lalu menunggu Allah memberikan RM1,000 esok pagi. Hubungan kita dengan Allah bukan transaksi matematik. Maksudnya jauh lebih besar. Semakin kita belajar memberi, semakin kurang jiwa kita dikuasai rasa takut kehilangan. Semakin kita membantu, semakin luas jaringan kebaikan yang terbentuk dalam kehidupan. Semakin kita bersyukur, semakin kita sedar betapa banyak sebenarnya nikmat yang sudah Allah berikan. Dan kadang-kadang, ketika kita sibuk menjadi sebab kepada rezeki orang lain, Allah membuka jalan untuk seseorang pula menjadi sebab kepada rezeki kita. Begitulah indahnya kehidupan. Kebaikan bergerak. Doa bergerak. Rezeki juga bergerak melalui jalan yang kadang-kadang tidak pernah kita sangka. Jika Satu Pintu Tertutup, Jangan Berhenti Di Situ Jangan terlalu lama berdiri di hadapan pintu yang sudah tertutup sehingga anda tidak sedar ada pintu lain sedang terbuka. Menangislah jika perlu. Berehatlah sebentar jika penat. Susun kembali kehidupan. Kemudian bangun dan berjalan semula. Berdoalah kepada Allah SWT dengan penuh harapan. Teruskan usaha walaupun hasilnya belum kelihatan. Bersedekahlah mengikut kemampuan. Jangan lupa mereka yang pernah membantu anda. Dan jangan takut apabila rancangan hidup tiba-tiba berubah. Mungkin apa yang kita anggap sebagai kehilangan hari ini sebenarnya sedang membawa kita menuju sesuatu yang lebih baik. Kerana apabila Allah menutup satu pintu, tugas kita bukan terus meratap di hadapannya. Tugas kita ialah
Wanita Perlu Bangkit untuk Menyerlah!
Kadang-kadang, kita tertanya-tanya, “Adakah wanita perlu bangkit” baru dianggap serius, baru dihormati… mulai disegani? – Kerana, sepanjang pengalaman saya… sebagai seorang wanita, sebenarnya ada kekurangan sedikit jika kita mahu MENYERLAH. Sering Lelaki sebagai LEADER yang diberi peluang. Wanita Perlu Bangkit Wanita hari ini sudah berada di pelbagai posisi penting — dalam organisasi, perniagaan, pendidikan, komuniti dan kepimpinan. Namun untuk benar-benar menyerlah, wanita perlu bangkit, dan bukan sahaja perlu memiliki ilmu dan kebolehan. Mereka juga perlu berani berdiri dengan keyakinan terhadap siapa diri mereka sebenarnya. Menjadi pemimpin wanita bukan bermaksud perlu menjadi lebih keras, lebih lantang atau meniru gaya kepimpinan orang lain. Kekuatan seorang wanita terletak pada keunikannya sendiri. Dia boleh tegas tetapi tetap mempunyai empati. Dia boleh mempunyai autoriti tanpa menjadi angkuh. Dia boleh membuat keputusan sukar tanpa kehilangan sifat kemanusiaannya. Dalam Islam, kekuatan juga bukan sesuatu yang perlu kita takutkan. Rasulullah SAW bersabda antaranya : “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah, dan pada kedua-duanya ada kebaikan.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2664) Kekuatan itu bukan semata-mata tentang kedudukan atau kuasa. Ia juga tentang kekuatan jiwa, prinsip, ilmu, keberanian membuat keputusan dan kemampuan untuk terus bangkit apabila diuji. Untuk membaca hadis ini secara penuh dan memahami konteksnya, sila klik di sini. Jangan Hilang Diri Sendiri Demi Diterima Kadangkala apabila wanita berada dalam posisi kepimpinan, terlalu banyak persoalan bermain di fikiran. “Adakah orang akan menghormati saya?” “Adakah saya cukup bagus?” “Bagaimana saya perlu membawa diri?” Hakikatnya, kejayaan tidak datang daripada cuba menjadi orang lain. Seorang wanita perlu belajar menerima bahawa cara dia berfikir, berkomunikasi dan memimpin dengan nilai tersendiri. Authenticity bukan kelemahan dalam kepimpinan. Ia adalah kekuatan. Kita tidak perlu mengecilkan diri supaya orang lain selesa dengan kehadiran kita. Tetapi pada masa yang sama, keyakinan juga perlu berjalan bersama kerendahan hati. Kita boleh yakin tanpa merendahkan orang lain. Kita boleh mempunyai autoriti tanpa kehilangan adab. Berani Bersuara Mengapa Wanita Perlu Bangkit? Kerana di dalam sesetengah situasi. Wanita sering ditindas. Lebih-lebih lagi apabila cuba menyuarakan pendapat. Kadang langsung tidak diendahkan. Ramai wanita mempunyai idea yang baik tetapi memilih untuk diam oleh sebab takut dipandang terlalu lantang, terlalu tegas atau terlalu bercita-cita tinggi. Malah takut juga jika diherdek pula. Tetapi seorang pemimpin perlu mempunyai suara. Bersuara bukan bermaksud perlu bercakap paling kuat di dalam bilik. Ia bermaksud mempunyai keberanian untuk menyampaikan pandangan apabila sesuatu perlu dikatakan. Itulah kebangkitannya, ingat… Idea anda mempunyai nilai. Pengalaman anda mempunyai nilai. Dan perspektif anda juga mempunyai nilai. Jika kita sendiri tidak berani membawa suara kita ke hadapan, orang lain mungkin tidak pernah mengetahui apa yang sebenarnya kita mampu lakukan. Kepimpinan Adalah Amanah Dalam mengejar kejayaan, ada satu perkara yang tidak harus dilupakan — kepimpinan bukan sekadar kedudukan. Ia adalah amanah. Rasulullah SAW mengingatkan antaranya bahawa: Setiap daripada kita adalah pemimpin dan setiap daripada kita akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah tanggungjawab kita. (Riwayat al-Bukhari, no. 7138) Prinsip ini mengubah cara kita melihat kepimpinan. Menjadi pemimpin bukan tentang berapa ramai orang berada di bawah kita, tetapi bagaimana kita menjaga manusia yang telah diamanahkan kepada kita. Adakah kita berlaku adil? Adakah kita mendengar? Adakah kita menghormati? Adakah orang menjadi lebih baik apabila bekerja bersama kita? Kerana jawatan mungkin datang bersama kuasa, tetapi kepimpinan sebenar datang bersama tanggungjawab. Untuk membaca hadis ini secara penuh dan memahami konteksnya, sila klik di sini. Keyakinan Tidak Bermaksud Sempurna Keyakinan yang sihat bukan bermaksud seseorang perlu mengetahui semuanya. Seorang pemimpin yang yakin tahu apa kekuatannya, memahami kelemahannya dan masih bersedia untuk terus belajar. Ramai wanita terlalu keras terhadap diri sendiri. Mereka merasakan mereka perlu cukup bersedia, cukup berpengalaman dan cukup sempurna sebelum berani mengambil peluang yang lebih besar. Sedangkan kepimpinan juga adalah proses belajar. Tidak semua perkara perlu dilakukan dengan sempurna. Kadangkala kita hanya perlu melakukan yang terbaik, belajar daripada pengalaman dan terus bergerak. Dan selepas kita melakukan usaha yang terbaik, ada satu lagi kekuatan yang dimiliki oleh seorang mukmin — tawakal. Kita berusaha, merancang dan membuat keputusan dengan sebaik mungkin. Selebihnya kita serahkan kepada Allah. Belajar Meletakkan Sempadan Wanita sering mempunyai kecenderungan untuk membantu, menjaga dan memastikan semua orang mendapat apa yang mereka perlukan. Sifat itu sangat bernilai. Tetapi tanpa sempadan yang jelas, kita boleh mengambil terlalu banyak tanggungjawab sehingga akhirnya kehilangan tenaga untuk perkara yang benar-benar penting. Seorang pemimpin juga perlu tahu bila perlu berkata tidak. Tidak semua tugas perlu diterima. Tidak semua permintaan perlu dipenuhi. Dan menjaga masa serta tenaga sendiri bukan bermaksud mementingkan diri. Ia sebahagian daripada kepimpinan yang matang. Jangan Takut Pada Konflik dan Kegagalan Konflik tidak semestinya sesuatu yang perlu dielakkan. Kadangkala perbincangan yang sukar perlu dilakukan supaya sesuatu masalah dapat diselesaikan. Begitu juga dengan kegagalan. Kesilapan bukan bukti bahawa seseorang tidak layak menjadi pemimpin. Yang penting ialah apa yang kita pelajari daripadanya. Tanya diri: Apa yang pengalaman ini sedang ajarkan kepada saya? Ada kalanya kegagalan membuka arah yang sebelum ini kita sendiri tidak nampak. Ada masa kita jatuh. Ada masa perancangan kita tidak menjadi. Ada masa keputusan yang kita buat tidak memberikan hasil seperti yang diharapkan. Tetapi kegagalan tidak semestinya penghujung perjalanan. Kadangkala itulah tempat Allah swt sedang membentuk kekuatan yang kita belum tahu kita miliki. Wanita Perlu Bangkit dan Ambil Tempat Anda! Wanita tidak perlu meminta maaf kerana mempunyai cita-cita. Tidak perlu mengecilkan kemampuan sendiri supaya orang lain berasa selesa. Dan tidak perlu menjadi orang lain hanya untuk diterima. Tetapi dalam perjalanan menuju kejayaan, sentiasa ingat bahawa nilai seorang pemimpin bukan hanya pada sejauh mana dia mampu pergi — tetapi juga pada nilai, amanah dan kebaikan yang dibawanya sepanjang perjalanan. Kepimpinan sebenar lahir apabila seseorang mempunyai keberanian untuk berdiri dengan prinsipnya sendiri — dengan keyakinan, kerendahan hati, empati, iman dan keberanian untuk terus belajar. Berusaha pada apa yang memberi manfaat. Mohon pertolongan daripada Allah swt. Jangan mudah menyerah. Dan jangan sesekali hilang siapa diri kita. Always doa kepada Yang Maha Esa. Kerana untuk menyerlah, kadangkala perkara pertama yang perlu kita lakukan hanyalah satu: Mengambil tempat yang memang layak untuk kita — Oleh sebab itulah WANITA perlu BANGKIT,
10 Sentuhan Kecil Yang Mengubah Aura Profesional
Pernahkah anda bertemu seseorang yang belum pun banyak bercakap, aura profesional begitu menyerlah sekali. Sehingga kehadirannya sudah membuatkan kita mahu memberikan sepenuh perhatian? Bukan kerana pakaiannya paling mahal. Bukan kerana beg tangannya berjenama. Bukan juga kerana dia cuba menjadi orang paling menonjol di dalam bilik. Tetapi ada sesuatu pada caranya membawa diri. Itulah yang saya panggil… Aura Profesional. Sepanjang lebih 20 tahun mengendalikan kerjaya sebagai seorang wanita, saya bertemu ramai wanita daripada pelbagai latar belakang — profesional, usahawan, pemimpin, ibu, wanita yang sedang membina kerjaya dan juga mereka yang sedang memulakan semula kehidupan. Satu perkara yang saya belajar ialah penampilan tidak menentukan nilai seseorang, tetapi penampilan boleh mempengaruhi bagaimana orang menerima kehadiran kita pada pertemuan pertama. Kadang-kadang hanya beberapa sentuhan kecil sudah cukup untuk membuatkan seorang wanita kelihatan lebih kemas, yakin dan profesional. 1. Pilih Pakaian Yang Betul-Betul Sesuai Dengan Tubuh Pakaian yang cantik belum tentu pakaian yang sesuai. Saya lebih percaya kepada fit berbanding harga. Baju yang terlalu besar boleh membuatkan keseluruhan penampilan kelihatan tidak terurus. Terlalu ketat pula boleh membuatkan kita sendiri tidak selesa. Apabila pakaian jatuh dengan cantik pada tubuh, kita bergerak dengan lebih yakin. Dan apabila kita selesa, keyakinan itu mudah dilihat oleh orang lain. 2. Kenali Warna Yang Membawa Personaliti Anda Tidak semua wanita perlu memakai warna hitam untuk kelihatan profesional. Navy, burgundy, beige, emerald, dusty rose, putih atau warna-warna neutral juga boleh memberikan karakter yang kuat jika digayakan dengan tepat. Sepanjang pengalaman saya, saya dapati wanita yang memahami warna yang sesuai dengan dirinya biasanya lebih mudah membina identiti visual sendiri. Tidak perlu mengejar setiap trend. Cari warna yang membuatkan anda rasa seperti diri anda yang terbaik. 3. Kasut Boleh Mengubah Keseluruhan Penampilan Ramai orang memberi perhatian kepada pakaian tetapi terlupa tentang kasut. Sedangkan kasut adalah salah satu perkara kecil yang boleh mengangkat atau menjatuhkan keseluruhan penampilan. Tidak semestinya high heels. Flat shoes yang kemas, loafers, pumps atau kasut bertumit sederhana pun boleh kelihatan sangat profesional. Yang penting: bersih, sesuai dengan acara dan anda boleh berjalan dengannya dengan yakin. Kalau berjalan pun sudah seperti sedang berperang dengan kasut sendiri, aura profesional itu pun boleh hilang sedikit. 😊 4. Aksesori: Sedikit Kadang-Kadang Lebih Elegan Saya sukakan aksesori. Tetapi dalam dunia profesional, saya belajar bahawa less can be powerful. Jam yang cantik, cincin sederhana, rantai halus, tudung yang kemas atau sepasang anting-anting sudah cukup memberi sentuhan kepada keseluruhan gaya. Aksesori sepatutnya melengkapkan anda. Bukan masuk ke bilik lima saat lebih awal daripada anda. 5. Beg Yang Kemas Memberi Gambaran Yang Berbeza Beg tangan bukan sekadar tempat menyimpan telefon, lipstick, charger dan segala macam kehidupan seorang wanita. 😊 Ia juga sebahagian daripada keseluruhan imej. Tidak perlu beg berjenama mahal. Beg yang mempunyai struktur yang kemas, warna versatile dan sesuai dengan suasana kerja sudah cukup untuk memberikan polished look. Kadang-kadang profesionalisme memang terletak pada benda-benda kecil yang kita sendiri tidak sedar. 6. Grooming penting untuk aura profesional Bagi saya, grooming bukan tentang menjadi sempurna. Ia tentang menunjukkan bahawa kita menjaga diri. Rambut yang kemas, tudung yang tersusun, kuku yang bersih, solekan natural jika anda selesa memakainya dan keseluruhan penampilan yang segar sudah mencukupi. Anda tidak perlu kelihatan seperti hendak menghadiri red carpet setiap kali masuk meeting. Tujuan kita bukan mahu menjadi orang paling glamor. Kita mahu kelihatan present, prepared and confident. 7. Wangian Biarlah Menjadi Signature, Bukan Announcement Saya percaya wangian boleh menjadi sebahagian daripada personal presence. Tetapi ia perlu digunakan dengan sederhana. Wangian yang lembut dan sophisticated boleh memberikan finishing touch yang sangat menarik. Biarlah orang sedar anda memakai perfume apabila anda menghampiri mereka. Bukan tiga minit sebelum anda sampai. 😊 8. Postur Adalah Sebahagian Daripada Penampilan Ini mungkin bukan fesyen, tetapi bagi saya ia jauh lebih penting daripada pakaian mahal. Cara kita berdiri, berjalan dan duduk memberikan mesej sebelum kita bercakap. Bahu yang terbuka, kepala yang tidak terlalu tunduk dan langkah yang tenang memberi gambaran keyakinan. Anda tidak perlu berjalan seperti CEO sebuah syarikat Fortune 500. Cukup berjalan seperti seseorang yang tahu ke mana dia sedang pergi. 9. Eye Contact Dan Senyuman Mengubah Aura Ada wanita yang berpakaian sangat cantik tetapi kelihatan sukar didekati. Ada pula yang berpakaian sangat sederhana tetapi dalam beberapa saat sudah membuatkan orang rasa selesa. Bezanya sering datang daripada bahasa tubuh. Eye contact yang baik, senyuman yang ikhlas dan cara menyapa seseorang dengan penuh hormat boleh memberikan impak yang jauh lebih besar daripada apa yang kita pakai. Professional presence bukan hanya tentang bagaimana anda kelihatan. Ia juga tentang bagaimana orang rasa apabila berada bersama anda. 10. Jangan Berpakaian Menjadi Orang Lain Ini perkara yang paling penting. Selepas lebih dua dekad melalui pelbagai fasa dalam kerjaya, saya semakin percaya bahawa gaya terbaik adalah gaya yang membuatkan seseorang wanita tidak perlu berpura-pura. Anda tidak perlu memakai sesuatu hanya kerana orang lain memakainya. Tidak perlu membeli sesuatu hanya kerana ia sedang trending. Dan tidak perlu menukar seluruh personaliti semata-mata mahu kelihatan profesional. Ambil inspirasi. Perbaiki apa yang perlu. Tetapi kekalkan identiti anda. Kerana apabila pakaian, personaliti dan keyakinan berada dalam satu bahasa yang sama, di situlah lahirnya aura profesional yang sebenar. Penampilan Adalah Bahasa Yang Tidak Bersuara Hari ini saya melihat penampilan dengan cara yang sangat berbeza berbanding ketika mula membina kerjaya dahulu. Saya tidak lagi melihatnya sekadar persoalan cantik atau tidak cantik. Bagi saya, ia adalah satu bentuk komunikasi. Cara kita memilih pakaian, menjaga diri, berjalan, tersenyum dan memasuki sesuatu ruang semuanya menghantar mesej kecil tentang siapa kita. Tetapi jangan lupa satu perkara. Pakaian boleh membuka pintu kepada first impression. “First impression, LAST!” – bermaksud, pandangan pertama yang disenangi itu akan diingati sampai bila-bila. Karakter, ilmu, integriti dan cara kita melayan manusia pula menentukan sama ada penghormatan itu akan kekal. Jadi berhiaslah. Bergayalah. Nikmati fesyen untuk menampilkan personaliti anda. Tetapi di sebalik semua itu, bina juga seorang wanita yang apabila masuk ke dalam sesuatu ruang, orang bukan sahaja melihat bagaimana cantiknya dia berpakaian. “Mereka melihat seorang wanita yang dihormati semua, yang tahu nilai dirinya dan tahu bagaimana membawa dirinya.” Untuk MORE
8 Maksud Merdeka Bagi Saya: Erti Kebebasan Yang Sebenar
Apakah maksud merdeka sebenarnya ya? Setiap kali melihat Jalur Gemilang berkibar, ada satu rasa yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Bangga. Bersyukur. Dan dalam masa yang sama, teringat bahawa kemerdekaan yang kita nikmati hari ini datang bersama sebuah tanggungjawab. Bagi saya, Merdeka bukan sekadar mengenang sebuah tarikh. Bukan hanya tentang perarakan, laungan “Merdeka!” atau mengibarkan bendera, tetapi… Maksud Merdeka adalah tentang bagaimana kita memilih untuk menjalani kehidupan. 1. Merdeka Adalah Kebebasan Untuk Menentukan Arah Hidup Kita mungkin tidak dapat menentukan semua perkara yang berlaku kepada kita. Tetapi kita masih mempunyai pilihan untuk menentukan siapa yang kita mahu jadi selepas melaluinya. Kadangkala hidup membawa kita ke jalan yang tidak dirancang. Namun keberanian untuk memilih arah baharu juga adalah satu bentuk kemerdekaan. Dan setelah berani memilih, kenalah juga BERANI untuk mengubah kehidupan normal kita kepada arah baharu tersebut. 2. Merdeka Adalah Berani Untuk Berubah Ramai orang mahu kehidupan yang lebih baik, tetapi takut meninggalkan perkara yang sudah biasa. Bagi saya, merdeka bermaksud mempunyai keberanian untuk berkata: “Saya mahu berubah.” Berubah daripada sesuatu yang melemahkan kepada sesuatu yang membina. Daripada takut mencuba kepada berani melangkah. Kerana perubahan selalunya bermula dengan satu keputusan kecil yang mana, ia mungkin akan membuatkan kita rasa takut sangat… hanya kerana kita tidak tahu apakah yang akan berlaku jika kita melakukan perubahan itu… Jika begitu… adakah kita benar-benar Merdeka jika masih takut untuk berubah? 3. Merdeka Adalah Bebas Daripada Ketakutan Yang Mengawal Hidup Kadangkala penjara terbesar bukan mempunyai tembok. Ia berada dalam fikiran kita sendiri. Kita free untuk kemana-mana, tiada siapa menghalang, tiada tirai besi menyekat, namun… kita Takut gagal. Takut dikritik. Takut tidak diterima. Takut dianggap tidak cukup baik. Takut itu… takut ini… di mana kemerdekaan yang kita laung-laungkan itu? Apabila kita mula berhenti membiarkan ketakutan menentukan kehidupan kita, di situlah satu bentuk kemerdekaan sebenar bermula. 4. Merdeka juga Adalah tentang Memiliki Ilmu Ilmu memberi manusia pilihan. Apabila kita mempunyai ilmu, kita mampu membuat keputusan dengan lebih baik, membina kehidupan yang lebih stabil dan membuka peluang bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk keluarga serta masyarakat. Sebab itu pendidikan, pembelajaran dan pembangunan diri sentiasa dekat di hati saya. Bangsa yang berilmu adalah bangsa yang lebih sukar untuk diperdayakan dan lebih berani menentukan masa depannya. Tidak semestinya anda kena join kursus, kolej, pengajian tinggi untuk memiliki ilmu. Paling kurang, jadikan PEMBACAAN sebagai tabiat harian anda. Bacalah pelbagai buku untuk menambah pengetahuan, menambah ilmu… anda akan lihat perbezaan anda nanti bila banyak membaca. 5. Merdeka Adalah Apabila Wanita Berani Berdiri Dengan Kemampuan Sendiri Satu lagi maksud merdeka bagi saya, yang sangat personal adalah, Saya percaya wanita tidak perlu menjadi orang lain untuk menjadi hebat. Kita hanya perlu diberikan peluang, ilmu, sokongan dan keyakinan untuk mengenali kemampuan sendiri. Merdeka bagi seorang wanita adalah apabila dia mampu membuat keputusan sendiri, dengan bijaksana, mempunyai suara sendiri, membina kerjaya, menjaga maruah dan pada masa yang sama tidak kehilangan nilai dirinya sendiri. “Fuhhh… itu sangat bermakna buat wanita” 6. Merdeka Adalah Menghormati Perbezaan Malaysia indah kerana kita tidak semuanya sama. Kita datang daripada bangsa, budaya, latar belakang dan cara hidup yang berbeza. Namun kita berkongsi satu tanah air. Kemerdekaan akan menjadi lebih bermakna apabila kita mampu hidup bersama dengan rasa hormat, saling memahami dan tidak menjadikan perbezaan sebagai alasan untuk bermusuhan. 7. Merdeka Adalah Memberi Sesuatu Kembali Kebebasan bukan hanya tentang apa yang kita boleh dapat. Ia juga tentang apa yang kita boleh berikan. Kepada keluarga. Kepada masyarakat. Kepada generasi selepas kita. Dan kepada negara yang memberikan kita ruang untuk membina kehidupan. Tidak semua orang perlu melakukan sesuatu yang besar. Kadangkala perubahan bermula apabila seorang manusia memilih untuk membantu seorang manusia yang lain. 8. Merdeka Adalah Bersyukur, Tetapi Tidak Berhenti Melangkah Saya bersyukur dilahirkan dan membesar di bumi Malaysia. Namun rasa syukur bukan bermaksud kita berhenti memperbaiki diri. Maksud Merdeka yang paling utama di sini adalah perkembangan hidup. Hidup kita hari ini, HARUS lebih baik dari hari semalam. Sebab itu, pesaing sebenar dalam hidup kita adalah pada diri kita sendiri. Jadi, jangan sesekali memilih menjadi lemah dan berhenti memandang ke arah masa depan. Sebaliknya, hargailah apa yang sudah kita miliki dan berusahalah untuk mencapaikan impian lain lagi. Kita mahu melihat negara ini terus berkembang, rakyatnya terus maju dan generasi selepas kita mendapat kehidupan yang lebih baik. Itulah Maksud Merdeka yang sebenar-benarnya bagi saya. Bukan sekadar bebas. Tetapi bebas untuk berfikir, bebas untuk belajar, bebas untuk berubah, bebas untuk bermimpi — dan mempunyai keberanian untuk menjadikan impian itu sebuah kenyataan. Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-69 kepada seluruh rakyat Malaysia. Merdeka bukan sekadar kata-kata. Merdeka bermaksud berani untuk berubah. Selamat Hari Kebangsaan. Merdeka! Merdeka! Merdeka! p/s : Buat anda yang ingin menyambut hari Merdeka tahun ini, bolehlah melihat kalendar acara Sambutan Merdeka di sini ikhlas, Dr Suffia Hany❤️ Women’s Leadership & Empowerment Strategist Medical & Anti-Aging Doctor | Accredited HRDC Trainer ➡️Ketahui lebih lanjut tentang Dr. Suffia Hany di sini ➡️Persens – NGO Dr. Suffia Hany ➡️Pelbagai Program/Event Dr. Suffia Hany
Pendidikan dan Industri: Mengapa Perlu Bergerak Bersama | Dr Suffia Hany
Dalam perkongsian kali ini, saya ingin berkongsi pandangan saya tentang mengapa pendidikan dan industri perlu bergerak bersama dalam menyediakan generasi masa hadapan. Pada 22 Ogos 2026, saya diberi penghormatan untuk hadir atas kapasiti saya sebagai Pengerusi Dewanita, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) sebagai Tetamu Kehormat dan Perasmi TIC Future-Ready Talent Showcase 2026 di Kampus TAJ International College, Ipoh, Perak. Bagi saya, program ini bukan sekadar tentang merasmikan sebuah acara. Sepanjang berada di sana, satu perkara bermain dalam fikiran saya — dunia sedang berubah terlalu pantas untuk kita terus menyediakan generasi muda dengan cara yang sama seperti dahulu. Hari ini, memiliki sijil sahaja tidak lagi mencukupi. Anak-anak muda kita perlu memiliki kemahiran, keyakinan, kemampuan berkomunikasi, pemikiran kritikal dan keberanian untuk berdepan dengan dunia pekerjaan yang sebenar. Dan di sinilah saya melihat pentingnya hubungan antara pendidikan dan industri. Pendidikan dan Industri perlu bersama TIC Future-Ready Talent Showcase 2026 membawa tema “Education Meets Industry”, dengan matlamat menghimpunkan institusi pendidikan, pemain industri, majikan, usahawan, penyedia teknologi, pelajar dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih dekat dengan keperluan sebenar pasaran pekerjaan. Saya sangat percaya bahawa pendidikan tidak boleh berada dalam dunianya sendiri. Apa yang dipelajari di dalam kelas akhirnya perlu bertemu dengan realiti di luar kelas. Industri pula perlu memainkan peranan dengan memberi pendedahan, peluang, mentorship serta ruang kepada generasi muda untuk memahami bagaimana ilmu yang mereka pelajari boleh digunakan dalam kehidupan dan kerjaya sebenar. Apabila dua dunia ini bertemu, kita bukan sekadar melahirkan graduan. Kita membina manusia yang lebih bersedia menghadapi masa depan. Masa Depan Memerlukan Lebih Daripada Akademik Antara perkara yang menarik perhatian saya ialah kepelbagaian fokus program ini — daripada kerjaya TVET, apprenticeship, lifelong learning dan APEL sehinggalah kepada teknologi, keusahawanan serta perubahan dunia pekerjaan akibat Artificial Intelligence. Semua ini menunjukkan sesuatu yang sangat penting. Laluan menuju kejayaan hari ini tidak lagi hanya mempunyai satu jalan. Ada yang berjaya melalui akademik. Ada melalui kemahiran. Ada melalui keusahawanan. Ada pula yang menemui potensi sebenar mereka selepas bertahun-tahun bekerja dan kembali belajar. Bagi saya, tugas kita bukan memaksa semua orang melalui jalan yang sama. Tugas kita adalah membantu setiap individu menemui jalan terbaik untuk dirinya. Kolaborasi Adalah Kekuatan Masa Hadapan Program ini turut mempertemukan pelbagai rakan industri, korporat, teknologi dan pendidikan melalui sesi kerjasama strategik serta penandatanganan MOU dan LOC. Melihat pelbagai organisasi, profesional dan komuniti berkumpul dalam satu ruang membuatkan saya semakin yakin bahawa masa depan tidak boleh dibina secara bersendirian. Institusi pendidikan memerlukan industri. Industri memerlukan bakat baharu. Usahawan memerlukan jaringan. Anak muda memerlukan peluang. Dan komuniti memerlukan pemimpin yang sanggup membuka pintu untuk generasi selepas mereka. Kadang-kadang sebuah peluang kecil yang kita berikan hari ini boleh mengubah keseluruhan perjalanan hidup seseorang pada masa hadapan. Teknologi Berubah, Tetapi Nilai Manusia Tetap Penting Dalam dunia yang semakin dipengaruhi teknologi dan Artificial Intelligence, kita sering bercakap tentang kemahiran masa depan. Tetapi saya percaya satu perkara tidak akan pernah berubah. Teknologi boleh membantu manusia bekerja dengan lebih pantas, tetapi nilai manusialah yang menentukan bagaimana teknologi itu digunakan. Integriti. Empati. Kepimpinan. Keberanian membuat keputusan. Kemampuan bekerja bersama orang lain. Semua ini tidak boleh dipandang ringan. Kita bukan sekadar mahu melahirkan generasi yang pandai menggunakan teknologi. Kita mahu melahirkan generasi yang cukup matang untuk menggunakan teknologi dengan bijaksana dan bertanggungjawab. Masa Depan Bermula Dengan Peluang Hari Ini Saya juga gembira melihat program ini bukan hanya berbicara tentang masa depan secara teori, tetapi turut membuka ruang kepada pameran teknologi, pembangunan kerjaya, jaringan industri serta inisiatif yang memberi manfaat kepada pelajar dan komuniti. Program tersebut turut merangkumi penyerahan komputer riba melalui TIC Prihatin. Bagi saya, inilah pendidikan yang perlu kita bina. Pendidikan yang bukan sekadar memberikan ilmu. Tetapi pendidikan yang membuka pintu. Membina keyakinan. Mencipta peluang. Dan menyediakan seseorang untuk berdiri dengan lebih yakin apabila tiba masanya mereka melangkah ke dunia sebenar. Penghargaan buat TIC Terima kasih TAJ International College atas jemputan dan penghormatan yang diberikan kepada saya untuk menjadi sebahagian daripada TIC Future-Ready Talent Showcase 2026. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada TAJ International College (TIC) atas jemputan dan layanan yang begitu baik sepanjang program ini. Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi swasta Bumiputera yang telah bertapak sejak 1996, TIC terus memberi penekanan kepada pendidikan berteraskan kemahiran, elemen TVET, keperluan industri serta pembangunan pelajar secara menyeluruh. Bagi saya, penganjuran TIC Future-Ready Talent Showcase 2026 memperlihatkan kesungguhan TIC untuk membawa dunia pendidikan lebih dekat kepada realiti industri dan membuka lebih banyak ruang kepada generasi muda untuk mengenali potensi, kemahiran serta peluang masa depan mereka. Syabas kepada seluruh warga TIC atas usaha yang sangat bermakna ini. Saya pulang daripada program ini dengan satu keyakinan yang semakin kuat: Apabila pendidikan, industri, teknologi dan kepimpinan bergerak bersama, kita bukan sekadar menyediakan generasi muda untuk mencari pekerjaan. Kita sedang menyediakan mereka untuk mencipta masa depan. ikhlas, Dr Suffia Hany❤️ Women’s Leadership & Empowerment Strategist Medical & Anti-Aging Doctor | Accredited HRDC Trainer ➡️Ketahui lebih lanjut tentang Dr. Suffia Hany di sini ➡️Ketahui program-program Dr. Suffia Hany di sini
8 Tip Bercakap Buat Orang Lebih Hormati Anda
Cara kita bercakap sering menentukan bagaimana orang melihat dan melayan kita. 8 tip bercakap ini bukan tentang bagaimana mahu kelihatan lebih hebat daripada orang lain, tetapi bagaimana kita boleh berkomunikasi dengan lebih yakin, matang dan berwibawa sehingga orang lebih selesa untuk mendengar serta menghormati apa yang kita sampaikan. Pernah tak anda bertemu seseorang yang tidak perlu bercakap kuat, tetapi apabila dia bersuara, orang terus memberi perhatian? Dia mungkin tidak banyak bercakap. Tidak menggunakan perkataan yang terlalu hebat. Tidak pula cuba menunjukkan dirinya paling bijak di dalam bilik. Tetapi ada sesuatu pada cara dia berkomunikasi yang membuatkan orang mahu mendengar. Itulah kekuatan komunikasi yang berwibawa. Dan sebenarnya, ia boleh dipelajari. 8 Tip Bercakap yang mudah dipraktikkan 1. Bercakap Dengan Tenang, Jangan Terburu-buru Bercakap terlalu cepat kadang-kadang membuatkan mesej yang bagus kehilangan kekuatannya. Tidak perlu berlumba untuk menghabiskan ayat. Perlahankan sedikit tempo percakapan anda. Berikan ruang antara satu idea dengan idea yang lain. Jika ada sesuatu yang penting mahu disampaikan, berhenti seketika sebelum meneruskannya. Kadang-kadang beberapa saat diam membuatkan orang lebih memberi perhatian kepada apa yang bakal kita katakan. Orang yang yakin tidak takut kepada ruang senyap. 2. Cakap Dengan Jelas dan Tepat Anda tidak perlu menggunakan perkataan bombastik untuk kelihatan bijak. Sebaliknya, orang lebih menghargai seseorang yang mampu menerangkan sesuatu dengan mudah dan jelas. Sebelum bercakap, tanya diri sendiri: “Apa sebenarnya yang saya mahu orang ini faham?” Kemudian sampaikan perkara tersebut dengan terus kepada maksudnya. Lebih jelas pemikiran kita, lebih mudah orang memahami apa yang kita katakan. 3. Jangan Rendahkan Pendapat Sendiri Kadang-kadang kita sendiri melemahkan kata-kata kita sebelum orang lain sempat mendengarnya. Contohnya: “Saya tak pasti betul atau tidak…” “Mungkin idea saya tak berapa bagus…” “Saya cuma nak bagi pendapat…” Rendah hati memang satu sifat yang baik. Tetapi terlalu merendahkan diri boleh membuatkan pendapat kita kedengaran kurang meyakinkan. Cuba gunakan: “Pada pandangan saya…” “Berdasarkan pengalaman saya…” “Cadangan saya adalah…” Masih sopan. Tetapi lebih yakin dan profesional. 4. Belajar Mendengar Sebelum Menjawab Salah satu daripada 8 tip bercakap yang paling penting sebenarnya bukan tentang bercakap. Ia tentang mendengar. Jangan terlalu sibuk menyediakan jawapan ketika orang lain masih bercakap. Berikan perhatian. Fahami apa yang cuba disampaikan sebelum memberikan respons. Apabila seseorang merasakan dirinya benar-benar didengari, mereka juga lebih terbuka untuk mendengar pandangan kita. Komunikasi yang baik bukan pertandingan siapa paling banyak bercakap. Ia adalah pertukaran pemikiran antara dua manusia yang saling menghormati. 5. Jangan Tinggikan Suara Untuk Menang Suara yang kuat tidak semestinya menunjukkan seseorang itu lebih kuat. Kadang-kadang, semakin tinggi suara seseorang, semakin jelas dia sedang kehilangan kawalan terhadap emosinya. Apabila berlaku perbezaan pendapat, cuba kekalkan nada suara yang stabil. Fokus kepada perkara yang sedang dibincangkan, bukan menyerang individu. Anda boleh tidak bersetuju dengan seseorang tanpa perlu menjatuhkan atau memalukannya. Kemampuan untuk kekal tenang ketika keadaan menjadi tegang sebenarnya membuatkan seseorang kelihatan jauh lebih matang. 6. Berani Berkata “Saya Tidak Tahu” Tidak ada manusia yang tahu semuanya. Dan anda tidak akan kehilangan kewibawaan hanya kerana mengaku bahawa anda tidak mempunyai jawapan. Sebaliknya, anda boleh berkata: “Saya belum mempunyai maklumat yang cukup tentang perkara itu. Biar saya semak dahulu.” Itu jauh lebih profesional daripada memberikan jawapan yang kita sendiri tidak pasti. Orang biasanya lebih menghormati seseorang yang jujur tentang apa yang diketahuinya berbanding seseorang yang sentiasa mahu kelihatan tahu segala-galanya. 7. Pastikan Bahasa Tubuh Selari Dengan Kata-kata Kita berkomunikasi bukan hanya melalui suara. Postur tubuh, ekspresi wajah, kontak mata dan cara kita membawa diri turut menyampaikan mesej. Jika anda mengatakan, “Saya yakin dengan cadangan ini,” tetapi mata sentiasa tunduk dan suara hampir tidak kedengaran, keyakinan tersebut mungkin sukar dirasakan oleh orang lain. Duduk atau berdiri dengan postur yang baik. Pandang orang ketika bercakap. Gunakan ekspresi wajah yang natural. Tidak perlu berlebihan atau dibuat-buat. Cukup hadir dengan penuh perhatian dan keyakinan. 8. Tahu Bila Perlu Berhenti Bercakap Ini satu kemahiran yang ramai orang terlepas pandang. Kadang-kadang kita sudah memberikan jawapan yang cukup baik. Tetapi kita sambung lagi. Tambah satu cerita. Tambah satu penjelasan. Kemudian tambah satu lagi contoh. Akhirnya mesej utama yang pada mulanya kuat menjadi semakin lemah kerana terlalu banyak perkara ditambah. Apabila maksud anda sudah jelas, berhenti. Tidak semua ruang perlu diisi dengan suara kita. Ada masanya, orang lebih menghormati seseorang bukan kerana dia banyak bercakap, tetapi kerana dia tahu bila perlu bercakap dan bila perlu diam. Bercakap Dengan Yakin, Bukan Untuk Menunjuk Hebat Akhirnya, 8 tip bercakap ini bukan bertujuan mengajar kita bagaimana mahu menguasai orang lain. Komunikasi yang baik tidak sepatutnya membuatkan orang lain berasa kecil. Sebaliknya, ia membuatkan mereka berasa dihormati. Anda tidak perlu menjadi orang paling lantang di dalam bilik. Anda juga tidak perlu mempunyai jawapan untuk setiap persoalan. Bercakap apabila ada sesuatu yang bernilai untuk disampaikan. Dengar apabila orang lain sedang berbicara. Kekal tenang apabila berlaku perbezaan pendapat. Dan jangan terlalu berusaha untuk membuatkan orang menghormati anda. Kerana apabila cara anda bercakap menunjukkan keyakinan, kematangan dan rasa hormat kepada orang lain, penghormatan itu biasanya akan datang dengan sendirinya. ikhlas, Dr Suffia Hany❤️ Women’s Leadership & Empowerment Strategist Medical & Anti-Aging Doctor | Accredited HRDC Trainer ➡️Ketahui lebih lanjut tentang Dr. Suffia Hany di sini
Kasih Seorang Wanita
Ada hari, kita jaga seseorang bukan sebab kita kuat, tetapi sebab itu sahaja pilihan yang ada. Itulah Kasih Seorang Wanita. Ada Cinta Yang Tidak Dilahirkan, Tetapi Dipilih Di dalam kehidupan kita ni, tak kisahlah siapa yang kita jaga, siapa yang berada di dalam tanggungan kita… sebagai seorang wanita, rasa tanggung jawab itu dengan mudah muncul dalam diri, betul tak? Dan dengan mudah juga ianya menjadi satu kewajipan. Dalam diam, kita belajar tentang sabar yang tidak pernah diajar dalam buku. Tentang letih yang tidak boleh diceritakan sepenuhnya. Tentang mengutamakan keperluan seseorang walaupun badan sendiri meminta untuk berehat. Realiti Kasih Seorang Wanita Entahlah kan… pelik juga realiti tentang Kasih seorang wanita ni, mungkin kerana hati wanita itu lembut, cepat rasa kasihan dan cepat juga rasa sayang… Walau perit walau kepayahan, entah bagaimana, esok pagi kita masih bangun dan melakukannya sekali lagi. Bukan kerana kita tidak penat. Tetapi ya lah seperti yang saya katakan, “kerana kita sayang.” Bila Menjaga Menjadi Sebahagian Daripada Hidup Ada orang pernah bertanya, “Tak penat ke?” ‘Kena jaga anak istimewa’ ‘Kena jaga ibu mertua yang terbiar’ ‘Kena jaga ayah yang sudah tua’ ‘Kena jaga suami yang sudah lumpuh’ Dan sebagainya… Jawapan mudah… “Penat!” Sudah tentu penat. Sapa cakap tak penat. Ada hari badan terasa berat. Ada masa emosi juga ikut letih. Ada perkara yang terpaksa ditangguhkan, rancangan yang perlu diubah, dan masa untuk diri sendiri yang kadang-kadang semakin sedikit. Tetapi apabila kita menjaga seseorang yang semakin berusia ke atau yang dah tak boleh nak bergerak ke, dan sebagainya, perlahan-lahan kita mula melihat kehidupan dengan cara yang berbeza. Perkara kecil yang dahulu tidak kita fikirkan menjadi penting. Memastikan dia sudah makan. Bertanya sama ada ubat sudah diambil. Mendengar cerita yang mungkin pernah kita dengar sebelum ini. Menemani walaupun kadang-kadang tidak banyak yang mahu dibualkan. Dan memastikan dia tahu bahawa ada seseorang di sisi. Mungkin begitulah kasih sayang apabila kita semakin dewasa. Ia semakin kurang tentang apa yang kita katakan, dan semakin banyak tentang apa yang kita lakukan. Kasih Tidak Memilih Ada satu perkara yang kehidupan ajarkan kepada saya. Tidak semua insan yang kita sayangi hadir dalam hidup kerana hubungan darah. Ada yang hadir kerana perkahwinan. Ada yang hadir kerana persahabatan. Ada yang pada mulanya mungkin hanya orang asing dalam perjalanan hidup kita. Tetapi masa mempunyai cara yang sangat indah untuk mengubah hubungan. Ianya tidak memilih… ia berdenyut di hati sanubari, ia terasa dek kasih seorang wanita… Sebagai contoh, Seseorang yang pada awalnya kita panggil ibu mertua, misalnya, boleh menjadi seseorang yang kita risaukan apabila dia tidak sihat. Kasih dalam diri kita tu membuatkan kita risau. Dia menjadi seseorang yang kita fikirkan apabila membeli makanan. Seseorang yang kehadirannya perlahan-lahan menjadi sebahagian daripada rutin rumah dan kehidupan kita. Di situlah saya belajar bahawa keluarga bukan semata-mata tentang siapa yang melahirkan kita. Kadang-kadang, keadaan semasa membuatkan kita terpilih untuk bersama dan menjaga. Dan mungkin itulah salah satu bentuk cinta yang paling senyap. Tidak banyak orang melihatnya. Tidak banyak gambar mengenainya. Tidak ada tepukan setiap kali kita melakukannya. Tetapi ia tetap cinta. Ada Hari Kita Juga Akan Hilang Sabar Saya tidak mahu menggambarkan menjaga seseorang sebagai sesuatu yang sentiasa indah. Kerana realitinya tidak begitu. Ada hari kita penat. Ada hari kita hilang sabar. Ada hari kita mahu duduk sendirian tanpa sesiapa memanggil nama kita walaupun untuk beberapa minit. Dan selepas itu mungkin datang pula rasa bersalah. “Kenapa tadi aku marah?” “Kenapa aku tak boleh sabar sedikit lagi?” Tetapi saya semakin memahami bahawa kasih sayang tidak memerlukan kita menjadi manusia yang sempurna. Kita boleh sayang seseorang dan masih berasa letih. Kita boleh ikhlas menjaga dan masih memerlukan ruang untuk diri sendiri. Kita boleh bersyukur kerana masih mempunyai mereka, dan pada masa yang sama mengakui bahawa tanggungjawab itu kadang-kadang berat. Semua perasaan itu boleh wujud serentak. Kerana kita juga manusia. Suatu Hari Nanti, Rumah Ini Akan Menjadi Lebih Sunyi Mungkin inilah perkara yang paling sukar untuk difikirkan. Apakah mungkin kasih seorang wanita juga akan turut hilang suatu hari nanti? Hari ini, ada suara yang memanggil. Ada seseorang yang perlu ditanya sudah makan atau belum. Ada langkah perlahan di dalam rumah. Ada rutin yang kadang-kadang membuat kita penat. Tetapi suatu hari nanti, perkara-perkara yang hari ini terasa seperti rutin mungkin menjadi perkara yang paling kita rindukan. Kerusi itu mungkin kosong. Bilik itu mungkin terlalu kemas. Dan rumah yang dahulu terasa sibuk tiba-tiba menjadi terlalu senyap. Pada waktu itu, mungkin kita akan sanggup memberikan apa sahaja untuk mendengar sekali lagi suara yang dahulu memanggil kita berkali-kali. Sebab itu sekarang saya cuba belajar satu perkara: jangan tunggu kehilangan untuk menghargai kehadiran. Selagi Masih Ada Waktu Jika hari ini kita masih mempunyai peluang untuk menjaga seseorang yang kita sayangi, mungkin itu sendiri satu bentuk rezeki. Bukan rezeki yang mudah. Bukan rezeki yang sentiasa terasa manis. Tetapi tetap rezeki. Kerana tidak semua orang diberikan masa. Tidak semua orang sempat membalas kasih. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa mereka yang masih sempat bersama ibu bapa ketika usia lanjut sebenarnya sedang diberikan satu peluang yang sangat besar. Lalu raihlah Keredhaan Ilahi setelah mendapat peluang ini, “Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa, dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa.”— Riwayat al-Tirmizi, no. 1899 Dan tidak semua orang mendapat peluang untuk berkata, melalui perbuatan: “Sekarang, biar saya pula menjaga.” Jadi selagi masih ada waktu, saya mahu cuba hadir. Kerana perasaan dan Kasih Seorang Wanita di dalam diri ini kuat terasa… Mungkin tidak sempurna. Mungkin ada hari saya penat. Mungkin ada masa saya tersilap dan hilang sabar. Tetapi saya mahu tetap ada. Kerana akhirnya, mungkin cinta memang bukan tentang berapa banyak yang kita katakan. Cinta adalah tentang siapa yang kita pilih untuk tetap berada di sisi, ketika mereka semakin perlahan, semakin memerlukan kita, dan dunia mereka semakin kecil. Ada cinta yang kita lahir bersamanya. Dan ada cinta yang tidak dilahirkan bersama kita. Ia dibina. Ia dijaga. Dan setiap hari, ia dipilih sekali lagi. ikhlas, Dr Suffia Hany❤️ Women’s Leadership & Empowerment Strategist Medical & Anti-Aging Doctor | Accredited HRDC Trainer ➡️Ketahui lebih lanjut tentang Dr. Suffia
7 Perkara Wanita Berjaya Tak Perlu Buktikan Kepada Sesiapa
Sampai satu tahap dalam hidup, seorang wanita berjaya akan sedar — kejayaan sebenar bukan apabila semua orang mengaguminya. Tetapi apabila dia sudah tidak lagi hidup untuk membuktikan apa-apa kepada sesiapa. Tidak perlu sentiasa kelihatan hebat. Tidak perlu menang setiap perdebatan. Tidak perlu memastikan semua orang memahami pilihan hidupnya. Kerana semakin matang seorang wanita, semakin dia faham bahawa tenaga, masa dan ketenangan dirinya terlalu berharga untuk dihabiskan demi mendapatkan pengiktirafan manusia. Wanita berjaya bukan wanita yang hidupnya sempurna. Seorang wanita yang yakin dia sudah menjadi wanita berjaya sebenarnya, dia dengan mudah dapat mengecam atau mengenali siapa dirinya sendiri. Apa saja yang penting dalam hidupnya dan ke mana dia mahu pergi. 7 Perkara ini adalah contoh wanita berjaya… 1. Tak Perlu Buktikan Dia Bijak Orang yang benar-benar berilmu biasanya tidak terlalu sibuk memberitahu dunia bahawa dia bijak. Dia bercakap apabila perlu. Dia mendengar apabila orang lain mempunyai sesuatu untuk dikongsi. Dan dia tidak malu mengaku apabila ada perkara yang dia belum tahu. Wanita yang matang faham bahawa kebijaksanaan bukan tentang mempunyai jawapan untuk segala-galanya. Kadangkala kebijaksanaan terbesar ialah tahu bila perlu bercakap, bila perlu mendengar dan bila lebih baik berdiam diri. Biarkan ilmu, pengalaman dan hasil kerja anda yang berbicara. 2. Tak Perlu Semua Orang Suka Dia Ini antara kebebasan terbesar dalam hidup. Anda boleh menjadi seorang yang baik, jujur, membantu dan menghormati orang lain — tetapi tetap akan ada seseorang yang tidak menyukai anda. Dan itu tidak mengapa. Jangan ubah prinsip, personaliti dan perjalanan hidup semata-mata kerana mahu diterima semua orang. Kita boleh menghormati pandangan manusia tanpa menyerahkan nilai diri kepada penilaian mereka. Anda tidak perlu disukai semua orang untuk menjadi seorang yang bernilai. 3. Tak Perlu Jelaskan Setiap Keputusan “Kenapa buat macam tu?” “Kenapa pilih kerja itu?” “Kenapa tak ikut cara orang lain?” Kadangkala kita terlalu penat menjelaskan keputusan hidup kepada manusia yang sebenarnya tidak menjalani kehidupan kita. Nasihat yang baik memang wajar didengar. Teguran yang membina juga perlu dipertimbangkan. Tetapi akhirnya, ada keputusan yang hanya anda sendiri benar-benar faham kerana anda yang mengetahui keadaan, kemampuan, tanggungjawab dan impian anda. Dengar pandangan. Fikirkan dengan matang. Kemudian berani membuat keputusan. 4. Tak Perlu Berlumba Dengan Hidup Orang Ada wanita berjaya pada usia 25 tahun. Ada yang menemui arah hidup pada usia 40 tahun. Ada yang membina semula kehidupannya pada usia 50 tahun. Tidak ada satu jadual kehidupan yang wajib diikuti oleh semua manusia. Media sosial kadangkala membuatkan kita terasa seperti semua orang sedang bergerak lebih pantas daripada kita. Sedangkan kita hanya melihat beberapa saat terbaik daripada kehidupan mereka. Tak siapa mahu tunjuk keaiban sendiri. Kebanyakan akan menyorokkan kelemahan dan kekurangan diri. Malu beb… Jadi usahlah nak ukur perjalanan anda menggunakan garis masa orang lain. Tah-tah diorang lagi teruk daripada anda. Bukan kita tahu… Pakar dari Psychology Today berkata, “Apa gunanya membandingkan kehidupan kita dengan orang lain secara berlebihan kerana ini boleh membuatkan kita mudah rasa tidak cukup baik. Sebab itu penting untuk belajar menghargai perjalanan dan pencapaian diri sendiri.” Perlumbaan sebenar bukan dengan mereka. Ia adalah antara diri anda hari ini dengan siapa anda mahu jadi pada masa hadapan. 5. Tak Perlu Nampak Sibuk Untuk Nampak Berjaya Busy tidak semestinya productive. Jadual penuh tidak semestinya bermaksud hidup sedang menuju ke arah yang betul. Wanita berjaya belajar membezakan antara perkara yang benar-benar membawa hasil dengan perkara yang hanya memenuhi masa. Ada waktunya kita perlu bekerja keras. Tetapi ada juga waktunya kita perlu berehat, berfikir, bersama keluarga dan menikmati kehidupan yang sedang kita bina. Kejayaan bukan pertandingan siapa paling penat. Kejayaan ialah apabila usaha yang dilakukan membawa kita semakin dekat kepada kehidupan yang kita mahu. 6. Tak Perlu Kekal Di Tempat Yang Tak Menghargai Dia Kesetiaan adalah sifat yang indah. Tetapi kesetiaan tidak bermaksud kita perlu terus berada dalam persekitaran yang membuatkan kita kehilangan harga diri, potensi dan ketenangan. Saya faham, kadang-kadang apabila kita dah terbiasa dan selesa dengan tempat itu, orang sama, boss yang sama, kita rasa macam malas nak berubah angin. Walaupun di situ anda langsung tidak dihargai. It’s okay kalau gaji sampai masa naik. Pangkat pun ada kenaikan. Atau hasil kerja kita mendapat pengikhtirafan… tapi kalau penat lelah kita, yang untung orang lain, aihhh… better cari kehidupan lain yang lebih membahagiakan. Ada waktunya keberanian bukan tentang bertahan. Keberanian ialah mengetahui bila sudah tiba masanya untuk bergerak dan membuat perubahan dalam hidup anda. Sama ada dalam kerjaya, perniagaan, persahabatan atau lingkungan kehidupan — pilihlah tempat yang memberi ruang untuk anda berkembang. Jangan takut meninggalkan ruang yang terlalu sempit untuk versi diri anda yang sedang berkembang mencari secebis kemanisan hidup. 7. Tak Perlu Minta Izin Untuk Berkembang Anda dibenarkan berubah. Anda dibenarkan mempunyai impian baru. Anda dibenarkan meninggalkan versi lama diri anda. Dan anda dibenarkan membina kehidupan yang mungkin berbeza daripada apa yang orang lain bayangkan untuk anda. Kadangkala orang yang mengenali kita sejak dahulu sukar menerima perubahan tersebut. Biarkan. Anda tidak dilahirkan untuk kekal menjadi orang yang sama sepanjang kehidupan. Berkembanglah. Belajarlah. Beranilah menjadi versi diri anda yang lebih baik. Kejayaan Yang Sebenar Memberikan Ketenangan Semakin jauh perjalanan hidup, semakin kita sedar bahawa kejayaan bukan sekadar gelaran, wang, pencapaian atau tepukan manusia. Semua itu boleh menjadi sebahagian daripada kejayaan. Tetapi ada satu bentuk kejayaan yang jauh lebih mahal nilainya — ketenangan menjadi diri sendiri. Tidak lagi sibuk membuktikan siapa kita. Tidak lagi membandingkan perjalanan. Tidak lagi mengejar penerimaan semua orang. Kita tetap belajar. Tetap bekerja keras. Tetap memperbaiki kelemahan. Tetapi kali ini, kita melakukannya bukan kerana mahu membuktikan sesuatu kepada dunia. Kita melakukannya kerana kita tahu kehidupan ini adalah amanah dan kita mahu menggunakan potensi yang Tuhan berikan dengan sebaik-baiknya. Jadi teruskan perjalanan anda. Tidak perlu penjelasan. Anda adalah wanita berjaya dengan cara anda! Biarkan cara anda membawa diri, nilai yang anda pegang dan hasil kehidupan anda berbicara dengan sendirinya. ikhlas, Dr Suffia Hany❤️ Women’s Leadership & Empowerment Strategist Medical & Anti-Aging Doctor | Accredited HRDC Trainer ➡️Ketahui lebih lanjut tentang Dr. Suffia Hany di sini