
Apakah maksud merdeka sebenarnya ya? Setiap kali melihat Jalur Gemilang berkibar, ada satu rasa yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Bangga. Bersyukur. Dan dalam masa yang sama, teringat bahawa kemerdekaan yang kita nikmati hari ini datang bersama sebuah tanggungjawab.
Bagi saya, Merdeka bukan sekadar mengenang sebuah tarikh. Bukan hanya tentang perarakan, laungan “Merdeka!” atau mengibarkan bendera, tetapi…
Maksud Merdeka adalah tentang bagaimana kita memilih untuk menjalani kehidupan.
1. Merdeka Adalah Kebebasan Untuk Menentukan Arah Hidup
Kita mungkin tidak dapat menentukan semua perkara yang berlaku kepada kita.
Tetapi kita masih mempunyai pilihan untuk menentukan siapa yang kita mahu jadi selepas melaluinya.
Kadangkala hidup membawa kita ke jalan yang tidak dirancang. Namun keberanian untuk memilih arah baharu juga adalah satu bentuk kemerdekaan. Dan setelah berani memilih, kenalah juga BERANI untuk mengubah kehidupan normal kita kepada arah baharu tersebut.
2. Merdeka Adalah Berani Untuk Berubah
Ramai orang mahu kehidupan yang lebih baik, tetapi takut meninggalkan perkara yang sudah biasa.
Bagi saya, merdeka bermaksud mempunyai keberanian untuk berkata:
“Saya mahu berubah.”
Berubah daripada sesuatu yang melemahkan kepada sesuatu yang membina. Daripada takut mencuba kepada berani melangkah.
Kerana perubahan selalunya bermula dengan satu keputusan kecil yang mana, ia mungkin akan membuatkan kita rasa takut sangat… hanya kerana kita tidak tahu apakah yang akan berlaku jika kita melakukan perubahan itu…
Jika begitu… adakah kita benar-benar Merdeka jika masih takut untuk berubah?
3. Merdeka Adalah Bebas Daripada Ketakutan Yang Mengawal Hidup
Kadangkala penjara terbesar bukan mempunyai tembok.
Ia berada dalam fikiran kita sendiri.
Kita free untuk kemana-mana, tiada siapa menghalang, tiada tirai besi menyekat, namun…
kita Takut gagal. Takut dikritik. Takut tidak diterima. Takut dianggap tidak cukup baik. Takut itu… takut ini… di mana kemerdekaan yang kita laung-laungkan itu?
Apabila kita mula berhenti membiarkan ketakutan menentukan kehidupan kita, di situlah satu bentuk kemerdekaan sebenar bermula.
4. Merdeka juga Adalah tentang Memiliki Ilmu
Ilmu memberi manusia pilihan.
Apabila kita mempunyai ilmu, kita mampu membuat keputusan dengan lebih baik, membina kehidupan yang lebih stabil dan membuka peluang bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk keluarga serta masyarakat.
Sebab itu pendidikan, pembelajaran dan pembangunan diri sentiasa dekat di hati saya.
Bangsa yang berilmu adalah bangsa yang lebih sukar untuk diperdayakan dan lebih berani menentukan masa depannya.
Tidak semestinya anda kena join kursus, kolej, pengajian tinggi untuk memiliki ilmu. Paling kurang, jadikan PEMBACAAN sebagai tabiat harian anda. Bacalah pelbagai buku untuk menambah pengetahuan, menambah ilmu… anda akan lihat perbezaan anda nanti bila banyak membaca.
5. Merdeka Adalah Apabila Wanita Berani Berdiri Dengan Kemampuan Sendiri
Satu lagi maksud merdeka bagi saya, yang sangat personal adalah, Saya percaya wanita tidak perlu menjadi orang lain untuk menjadi hebat.
Kita hanya perlu diberikan peluang, ilmu, sokongan dan keyakinan untuk mengenali kemampuan sendiri.
Merdeka bagi seorang wanita adalah apabila dia mampu membuat keputusan sendiri, dengan bijaksana, mempunyai suara sendiri, membina kerjaya, menjaga maruah dan pada masa yang sama tidak kehilangan nilai dirinya sendiri. “Fuhhh… itu sangat bermakna buat wanita”
6. Merdeka Adalah Menghormati Perbezaan
Malaysia indah kerana kita tidak semuanya sama.
Kita datang daripada bangsa, budaya, latar belakang dan cara hidup yang berbeza.
Namun kita berkongsi satu tanah air.
Kemerdekaan akan menjadi lebih bermakna apabila kita mampu hidup bersama dengan rasa hormat, saling memahami dan tidak menjadikan perbezaan sebagai alasan untuk bermusuhan.
7. Merdeka Adalah Memberi Sesuatu Kembali
Kebebasan bukan hanya tentang apa yang kita boleh dapat.
Ia juga tentang apa yang kita boleh berikan.
Kepada keluarga. Kepada masyarakat. Kepada generasi selepas kita. Dan kepada negara yang memberikan kita ruang untuk membina kehidupan.
Tidak semua orang perlu melakukan sesuatu yang besar.
Kadangkala perubahan bermula apabila seorang manusia memilih untuk membantu seorang manusia yang lain.
8. Merdeka Adalah Bersyukur, Tetapi Tidak Berhenti Melangkah
Saya bersyukur dilahirkan dan membesar di bumi Malaysia. Namun rasa syukur bukan bermaksud kita berhenti memperbaiki diri.
Maksud Merdeka yang paling utama di sini adalah perkembangan hidup. Hidup kita hari ini, HARUS lebih baik dari hari semalam. Sebab itu, pesaing sebenar dalam hidup kita adalah pada diri kita sendiri.
Jadi, jangan sesekali memilih menjadi lemah dan berhenti memandang ke arah masa depan.
Sebaliknya, hargailah apa yang sudah kita miliki dan berusahalah untuk mencapaikan impian lain lagi.
Kita mahu melihat negara ini terus berkembang, rakyatnya terus maju dan generasi selepas kita mendapat kehidupan yang lebih baik.
Itulah Maksud Merdeka yang sebenar-benarnya bagi saya.
Bukan sekadar bebas.
Tetapi bebas untuk berfikir, bebas untuk belajar, bebas untuk berubah, bebas untuk bermimpi — dan mempunyai keberanian untuk menjadikan impian itu sebuah kenyataan.
Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-69 kepada seluruh rakyat Malaysia.
Merdeka bukan sekadar kata-kata.
Merdeka bermaksud berani untuk berubah.
Selamat Hari Kebangsaan. Merdeka! Merdeka! Merdeka!
p/s : Buat anda yang ingin menyambut hari Merdeka tahun ini, bolehlah melihat kalendar acara Sambutan Merdeka di sini
ikhlas,
Dr Suffia Hany❤️
Women’s Leadership & Empowerment Strategist
Medical & Anti-Aging Doctor | Accredited HRDC Trainer
➡️Ketahui lebih lanjut tentang Dr. Suffia Hany di sini
➡️Persens – NGO Dr. Suffia Hany
➡️Pelbagai Program/Event Dr. Suffia Hany