Pernahkah anda bertemu seseorang yang belum pun banyak bercakap, aura profesional begitu menyerlah sekali. Sehingga kehadirannya sudah membuatkan kita mahu memberikan sepenuh perhatian? Bukan kerana pakaiannya paling mahal. Bukan kerana beg tangannya berjenama. Bukan juga kerana dia cuba menjadi orang paling menonjol di dalam bilik. Tetapi ada sesuatu pada caranya membawa diri. Itulah yang saya panggil… Aura Profesional. Sepanjang lebih 20 tahun mengendalikan kerjaya sebagai seorang wanita, saya bertemu ramai wanita daripada pelbagai latar belakang — profesional, usahawan, pemimpin, ibu, wanita yang sedang membina kerjaya dan juga mereka yang sedang memulakan semula kehidupan. Satu perkara yang saya belajar ialah penampilan tidak menentukan nilai seseorang, tetapi penampilan boleh mempengaruhi bagaimana orang menerima kehadiran kita pada pertemuan pertama. Kadang-kadang hanya beberapa sentuhan kecil sudah cukup untuk membuatkan seorang wanita kelihatan lebih kemas, yakin dan profesional. 1. Pilih Pakaian Yang Betul-Betul Sesuai Dengan Tubuh Pakaian yang cantik belum tentu pakaian yang sesuai. Saya lebih percaya kepada fit berbanding harga. Baju yang terlalu besar boleh membuatkan keseluruhan penampilan kelihatan tidak terurus. Terlalu ketat pula boleh membuatkan kita sendiri tidak selesa. Apabila pakaian jatuh dengan cantik pada tubuh, kita bergerak dengan lebih yakin. Dan apabila kita selesa, keyakinan itu mudah dilihat oleh orang lain. 2. Kenali Warna Yang Membawa Personaliti Anda Tidak semua wanita perlu memakai warna hitam untuk kelihatan profesional. Navy, burgundy, beige, emerald, dusty rose, putih atau warna-warna neutral juga boleh memberikan karakter yang kuat jika digayakan dengan tepat. Sepanjang pengalaman saya, saya dapati wanita yang memahami warna yang sesuai dengan dirinya biasanya lebih mudah membina identiti visual sendiri. Tidak perlu mengejar setiap trend. Cari warna yang membuatkan anda rasa seperti diri anda yang terbaik. 3. Kasut Boleh Mengubah Keseluruhan Penampilan Ramai orang memberi perhatian kepada pakaian tetapi terlupa tentang kasut. Sedangkan kasut adalah salah satu perkara kecil yang boleh mengangkat atau menjatuhkan keseluruhan penampilan. Tidak semestinya high heels. Flat shoes yang kemas, loafers, pumps atau kasut bertumit sederhana pun boleh kelihatan sangat profesional. Yang penting: bersih, sesuai dengan acara dan anda boleh berjalan dengannya dengan yakin. Kalau berjalan pun sudah seperti sedang berperang dengan kasut sendiri, aura profesional itu pun boleh hilang sedikit. 😊 4. Aksesori: Sedikit Kadang-Kadang Lebih Elegan Saya sukakan aksesori. Tetapi dalam dunia profesional, saya belajar bahawa less can be powerful. Jam yang cantik, cincin sederhana, rantai halus, tudung yang kemas atau sepasang anting-anting sudah cukup memberi sentuhan kepada keseluruhan gaya. Aksesori sepatutnya melengkapkan anda. Bukan masuk ke bilik lima saat lebih awal daripada anda. 5. Beg Yang Kemas Memberi Gambaran Yang Berbeza Beg tangan bukan sekadar tempat menyimpan telefon, lipstick, charger dan segala macam kehidupan seorang wanita. 😊 Ia juga sebahagian daripada keseluruhan imej. Tidak perlu beg berjenama mahal. Beg yang mempunyai struktur yang kemas, warna versatile dan sesuai dengan suasana kerja sudah cukup untuk memberikan polished look. Kadang-kadang profesionalisme memang terletak pada benda-benda kecil yang kita sendiri tidak sedar. 6. Grooming penting untuk aura profesional Bagi saya, grooming bukan tentang menjadi sempurna. Ia tentang menunjukkan bahawa kita menjaga diri. Rambut yang kemas, tudung yang tersusun, kuku yang bersih, solekan natural jika anda selesa memakainya dan keseluruhan penampilan yang segar sudah mencukupi. Anda tidak perlu kelihatan seperti hendak menghadiri red carpet setiap kali masuk meeting. Tujuan kita bukan mahu menjadi orang paling glamor. Kita mahu kelihatan present, prepared and confident. 7. Wangian Biarlah Menjadi Signature, Bukan Announcement Saya percaya wangian boleh menjadi sebahagian daripada personal presence. Tetapi ia perlu digunakan dengan sederhana. Wangian yang lembut dan sophisticated boleh memberikan finishing touch yang sangat menarik. Biarlah orang sedar anda memakai perfume apabila anda menghampiri mereka. Bukan tiga minit sebelum anda sampai. 😊 8. Postur Adalah Sebahagian Daripada Penampilan Ini mungkin bukan fesyen, tetapi bagi saya ia jauh lebih penting daripada pakaian mahal. Cara kita berdiri, berjalan dan duduk memberikan mesej sebelum kita bercakap. Bahu yang terbuka, kepala yang tidak terlalu tunduk dan langkah yang tenang memberi gambaran keyakinan. Anda tidak perlu berjalan seperti CEO sebuah syarikat Fortune 500. Cukup berjalan seperti seseorang yang tahu ke mana dia sedang pergi. 9. Eye Contact Dan Senyuman Mengubah Aura Ada wanita yang berpakaian sangat cantik tetapi kelihatan sukar didekati. Ada pula yang berpakaian sangat sederhana tetapi dalam beberapa saat sudah membuatkan orang rasa selesa. Bezanya sering datang daripada bahasa tubuh. Eye contact yang baik, senyuman yang ikhlas dan cara menyapa seseorang dengan penuh hormat boleh memberikan impak yang jauh lebih besar daripada apa yang kita pakai. Professional presence bukan hanya tentang bagaimana anda kelihatan. Ia juga tentang bagaimana orang rasa apabila berada bersama anda. 10. Jangan Berpakaian Menjadi Orang Lain Ini perkara yang paling penting. Selepas lebih dua dekad melalui pelbagai fasa dalam kerjaya, saya semakin percaya bahawa gaya terbaik adalah gaya yang membuatkan seseorang wanita tidak perlu berpura-pura. Anda tidak perlu memakai sesuatu hanya kerana orang lain memakainya. Tidak perlu membeli sesuatu hanya kerana ia sedang trending. Dan tidak perlu menukar seluruh personaliti semata-mata mahu kelihatan profesional. Ambil inspirasi. Perbaiki apa yang perlu. Tetapi kekalkan identiti anda. Kerana apabila pakaian, personaliti dan keyakinan berada dalam satu bahasa yang sama, di situlah lahirnya aura profesional yang sebenar. Penampilan Adalah Bahasa Yang Tidak Bersuara Hari ini saya melihat penampilan dengan cara yang sangat berbeza berbanding ketika mula membina kerjaya dahulu. Saya tidak lagi melihatnya sekadar persoalan cantik atau tidak cantik. Bagi saya, ia adalah satu bentuk komunikasi. Cara kita memilih pakaian, menjaga diri, berjalan, tersenyum dan memasuki sesuatu ruang semuanya menghantar mesej kecil tentang siapa kita. Tetapi jangan lupa satu perkara. Pakaian boleh membuka pintu kepada first impression. “First impression, LAST!” – bermaksud, pandangan pertama yang disenangi itu akan diingati sampai bila-bila. Karakter, ilmu, integriti dan cara kita melayan manusia pula menentukan sama ada penghormatan itu akan kekal. Jadi berhiaslah. Bergayalah. Nikmati fesyen untuk menampilkan personaliti anda. Tetapi di sebalik semua itu, bina juga seorang wanita yang apabila masuk ke dalam sesuatu ruang, orang bukan sahaja melihat bagaimana cantiknya dia berpakaian. “Mereka melihat seorang wanita yang dihormati semua, yang tahu nilai dirinya dan tahu bagaimana membawa dirinya.” Untuk MORE