
Senyum itu sedekah… lalu, senyumlah selalu. Be happy. No hate.
Senyuman nampak kecil, tetapi kebaikan senyuman dalam hidup kita sebenarnya sangat besar. Sesungguhnya hidup ini terlalu singkat untuk dipenuhi dengan kebencian, marah dan sakit hati. Kadang-kadang, apa yang kita perlukan bukanlah kemarahan… tetapi hati yang lebih tenang, jiwa yang lebih ringan, dan satu senyuman yang ikhlas.
Susah sangatkah untuk memberi senyuman? Memberi sesuatu yang menggembirakan?
Kadang-kadang saya tertanya juga… mengapa perlu susah-susah hari-hari buat konten komplen itu, komplen ini? Marah kat dia tu, dia ni. Tak rasa penat ke hati tu? Tak rasa lebam dan bengkak ke jiwa bila terlalu lama simpan amarah?
Ya, saya faham… kadang-kadang itu yang masyarakat suka tengok. Itu yang senang viral. Tetapi bukankah kalau kita beri sesuatu yang lebih berguna, lebih positif, lebih menenangkan… itu jauh lebih bermanfaat?
Senyumlah Selalu
Apa-apa pun, saya memilih untuk always be happy dan tidak menyemai kebencian. Senyumlah selalu.
Dalam Islam sendiri ada disebut bahawa senyuman itu ada nilainya dan senyum itu sedekah. Malah, Rasulullah ﷺ bersabda:
“Senyummu di hadapan saudaramu adalah sedekah.”
(HR Tirmizi, no. 1956 – dinilai hasan; disahihkan oleh al-Albani)
Indah, kan? – Kadang-kadang benda yang nampak kecil… sebenarnya besar di sisi Allah. Senyum itu nampak simple, tapi kesannya boleh jadi luar biasa.
Jadi, mengapa nak pilih hidup yang bermasam durja? Mengapa nak pilih untuk terus hidup dalam rasa miserable?
Masalah Sentiasa Ada
Saya tidak menyangkal… hidup kita ini memang sentiasa ada masalah. Tak pernah sunyi.
Jadi takkan nak senyum saja, kan?
Ya, betul. Tetapi kalau kita bermasam muka, marah-marah dan membenci sepanjang hari… masalah itu tetap tak selesai juga.
Jadi, bukankah lebih baik kita relax dan tenang? Slow-slow cari jalan penyelesaian. Selesaikan apa yang perlu dengan kepala yang lebih waras dan hati yang lebih stabil.
Nak marah-marah buat apa? Tak bergerak juga kereta tu kalau dah rosak. Tunggulah pomen datang repair. Tak perlu satu dunia tahu kereta awak breakdown hari ini. Adoi… kereta orang lain pun pernah rosak juga, bukan awak seorang. 😄
Kadang-kadang kita bukan perlukan drama… kita cuma perlukan sabar.
Dikhianati Teman Rapat
Ini satu lagi perkara yang ramai orang pernah lalui.
Dikhianati teman rapat. Dikhianati pasangan hidup. Dikhianati saudara sendiri. Adik-beradik. Suami. Isteri. Dan macam-macam lagi.
“Takkan nak senyum juga?” kata anda.
Senyum di sini bukan bermaksud berpura-pura tiada apa berlaku. Bukan juga bermaksud kita tidak terluka.
Maksud saya… senyumlah dalam erti kata, kita redha bahawa semua itu adalah takdir daripada Allah.
Saya tahu, ini bukan mudah.
Sangat berat untuk senyum apabila dikhianati. Saya sendiri pernah merasainya. Pernah menangis. Pernah down. Pernah rasa kecewa yang sangat dalam.
Tetapi… adakah berbaloi untuk terus menyimpan marah, geram dan benci kepada orang yang mengkhianati kita? Adakah berbaloi membuang begitu banyak masa bahagia kita hanya untuk meratap sesuatu yang sudah pun berlaku?
Terlalu rugi rasanya…
Percaya Kepada Allah
Ada masanya, yang terbaik bukanlah terus bertanya “kenapa ini berlaku pada aku?”
Tetapi lebih baik kita tenang… dan percaya bahawa Allah itu Maha Adil.
Hari ini kita kehilangan sesuatu, mungkin kerana Dia sedang mahu menunjukkan sesuatu yang lebih baik. Hari ini kita dikhianati, mungkin kerana Dia mahu kita menjadi lebih matang, lebih berhati-hati, dan lebih kuat pada masa hadapan.
Dan mungkin juga… Dia sedang menyimpan seseorang, sesuatu, atau rezeki yang jauh lebih baik untuk kita.
Percayalah… setiap apa yang berlaku, pasti ada hikmah yang lebih indah.
I know… it’s hard.
Memang susah. Memang pedih. Memang kadang-kadang rasa seperti hati tak mampu lagi.
Tetapi saya sendiri telah melalui miracle itu.
Allah pernah memberi saya lebih daripada apa yang saya doakan.
Lebih indah daripada apa yang saya sangkakan.
Lebih tepat daripada apa yang saya rancang.
Alhamdulillah.
Jadi, teruskan berdoa. Teruskan percaya. Teruskan bersangka baik dengan Allah.
Kadang-kadang Dia menarik sesuatu daripada hidup kita… bukan untuk menghukum kita. Sebaliknya untuk memberi ruang kepada sesuatu yang lebih baik hadir ke dalam hidup kita nanti.
Insya-Allah… percayalah kepada-Nya.
Dan sementara itu… Senyumlah selalu. 😊
Akhir kata…
“Mungkin hari ini tidak sempurna… tetapi jangan lupa, senyuman kecil pun kadang-kadang mampu menyelamatkan hati kita sendiri.”
Baca juga artikel-artikel lain:
Salam Ikhlas,
Dr Suffia Hany❤️
Leadership, EQ Strategist & Certified HRDC trainer
Empowering Women Through Leadership, Wisdom & Emotional Intelligence.