Dr Suffia Hany Journal – Keyakinan, Kecantikan & Inspirasi Wanita

Journal
Dr. Suffia Hany

20+ Tahun Pengalaman dalam Perubatan & Pembangunan Wanita
Medical & Anti-Aging Doctor | Certified HRDC Trainer | Leadership & EQ Strategist
Membantu wanita membina keyakinan, kepimpinan, dan mencapai kejayaan.

Bangkit. Bijak. Berani!

10 Peribahasa Melayu LAMA Untuk Wanita HARI INI

10 Peribahasa Melayu Lama Untuk Wanita hari ini

Sebenarnya, orang-orang tua dahulu kala sudah meninggalkan banyak pesanan tentang  kehidupan melalui Peribahasa Melayu Lama.

Ringkas ayatnya, tetapi sangat dalam maknanya. Malah jika difahami betul-betul, ia masih sangat relevan untuk membantu wanita hari ini menghadapi cabaran hidup yang kian mencabar saban hari. Di sini saya senaraikan 10 Peribahasa Melayu Lama, khas buat wanita hari ini.

PERIBAHASA MELAYU

————————————————–

1. Bagai Aur Dengan Tebing

Maksud:
Saling membantu dan bekerjasama antara satu sama lain.

Wanita yang terlalu mahu kuat seorang diri akhirnya mudah penat sendiri. Hakikatnya, manusia memang perlukan sokongan. Dalam perniagaan, keluarga, persahabatan atau kehidupan… kita tidak boleh hidup dengan ego bahawa semuanya perlu dipikul sendirian.

Wanita yang bijak bukan wanita yang cuba membuktikan dirinya mampu buat semua perkara seorang diri. Tetapi wanita yang tahu bila perlu bekerjasama, meminta bantuan dan menghargai orang di sekelilingnya.

Kadang-kadang kejayaan bukan datang kerana kita paling kuat. Tetapi kerana kita pandai membina hubungan yang baik dengan pasukan kita! Sesetengah orang tak mahu rugi, lalu mereka tak mahu berkongsi kejayaan. Sedangkan dengan berkongsi, anda akan jauh lebih berjaya dan menguntungkan.

 

2. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya

Maksud:
Jika tidak berusaha dan sanggup menghadapi kesukaran, kejayaan tidak akan dapat dicapai.

Ramai wanita hari ini sebenarnya mempunyai potensi yang besar dalam diri mereka. Ada yang pandai berniaga, bijak mengurus keluarga, kreatif menghasilkan idea dan mampu menjadi inspirasi kepada orang lain. Namun, ramai juga yang masih takut untuk melangkah kerana terlalu memikirkan kegagalan.

Hakikatnya, tiada kejayaan yang datang tanpa usaha yang gigih!

Untuk mendapatkan sesuatu yang bernilai, seseorang perlu berani keluar daripada zon selesa. Dalam dunia perniagaan misalnya, ada kalanya wanita perlu belajar perkara baru, mengambil risiko, menghadapi kritikan dan melalui pelbagai cabaran sebelum berjaya.

Peribahasa ini mengajar bahawa kejayaan memerlukan usaha, keberanian dan kesabaran. Tidak cukup hanya menyimpan impian tanpa tindakan. Kadang-kadang, langkah pertama itulah yang paling menakutkan. Tetapi daripada langkah kecil pertama itulah, kehidupan seseorang boleh berubah menjadi lebih baik.

 

3. Bagai Menarik Rambut Dalam Tepung, Rambut Jangan Putus, Tepung Jangan Berselerak

Maksud:
Melakukan sesuatu dengan sangat berhati-hati supaya semua pihak terjaga dan tiada yang terluka.

Wanita hari ini memikul banyak tanggungjawab dalam satu masa. Ada yang perlu mengurus keluarga, membina kerjaya, menjaga emosi sendiri dan pada masa yang sama cuba memenuhi harapan masyarakat sekeliling.

Sebab itu, tidak semua perkara boleh diselesaikan dengan tergesa-gesa atau mengikut emosi semata-mata. Dalam dunia perniagaan dan kehidupan, kebijaksanaan membuat keputusan sangat penting. Kadang-kadang seseorang wanita perlu belajar bercakap dengan lembut tetapi tegas, demi menjaga hubungan tanpa mengorbankan maruah diri, dan menyelesaikan masalah tanpa menambah luka kepada orang lain.

Peribahasa ini mengajar bahawa kekuatan seorang wanita bukan hanya terletak pada keberaniannya… tetapi juga pada kebijaksanaan berbicara dan mengawal keadaan dengan matang dan tenang.

Kerana tidak semua kemenangan perlu berlaku dengan pertengkaran. Kadang-kadang, kelembutan yang bijak mampu menyelesaikan perkara yang paling sukar.

 

4. Sediakan Payung Sebelum Hujan

Maksud:
Sentiasa Bersedia sebelum hadirnya sesuatu masalah.

Ramai wanita terlalu fokus mengejar impian sampai terlupa membuat persediaan hidup. Persediaan kewangan. Persediaan emosi. Persediaan ilmu.

Apabila diuji, barulah terasa betapa pentingnya persediaan. Wanita yang bijak bukan hanya pandai mencari duit. Tetapi pandai mengurus kehidupan. Belajar menyimpan wang. Belajar menjaga kesihatan mental. Belajar mengawal emosi. Semua itu adalah “payung” sebelum datangnya “hujan lebat” yang bakal melanda dalam kehidupan.

Kerana obviously, hidup ini tidak selalu cerah.

 

5. Genggam Bara Api Biar Sampai Jadi Arang

Maksud:
Melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya.

Ramai wanita ada impian besar… tetapi separuh jalan sudah mengalah. Bukan kerana tidak mampu. Tetapi kerana terlalu mendengar suara negatif dari sekeliling. Hakikatnya, semua orang berjaya pernah melalui fasa penat, menangis dan mahu berhenti. Bezanya, mereka terus berjalan.

Pepatah ini mengajar bahawa kejayaan memerlukan kesabaran dan ketahanan hati. Jika benar-benar mahu mengubah hidup, seseorang itu perlu tahan diuji. Kadang-kadang kejayaan datang selepas seseorang hampir menyerah kalah…

 

6. Alah Bisa Tegal Biasa

Maksud:
Perkara yang susah akan menjadi mudah apabila sudah biasa dilakukan.

Pada awalnya, semua benda terasa menakutkan. TERAMAT SUSAH! Pertama kali berniaga. Pertama kali bercakap di depan orang ramai. Pertama kali membuat keputusan besar dalam hidup. Uuuu…. scary!

Tetapi lama-kelamaan, pengalaman akan membentuk keberanian. Sebab itu wanita jangan terlalu takut mencuba perkara baru. Keyakinan bukan muncul secara tiba-tiba. Ia lahir daripada keberanian untuk meneruskan pengalaman yang menakutkan itu dan belajar sambil melakukan pelbagai kesilapan.

 

7. Diam-Diam Ubi Berisi

Maksud:
Orang yang diam selalunya mempunyai ilmu dan kemampuan.

Hari ini ramai terlalu sibuk mahu dilihat hebat. Semua mahu menunjuk pencapaian. Semua mahu dipuji. Tetapi wanita yang benar-benar matang biasanya tidak terlalu sibuk membuktikan dirinya kepada dunia.

Dia bekerja dalam diam. Berusaha dalam diam. Belajar dalam diam. Dan akhirnya HASIL dari usahanya itu membuktikannya sendiri.

Pepatah ini mengajar bahawa tidak semua kejayaan perlu diumumkan kepada manusia. Kadang-kadang ketenangan itu lebih mahal daripada perhatian.

 

8. Ikut Resmi Padi, Makin Berisi Makin Tunduk

Maksud:
Semakin berilmu atau berjaya, semakin merendah diri.

Kejayaan yang sebenar tidak menjadikan seseorang itu sombong. Yang sombong dan bongkak dengan apa yang dicapainya tu, selalunya tak berapa mana pun pencapaian dia. Sebaliknya… mereka yang benar-benar mencapai sesuatu yang mahal… lebih merendah diri dan cool je 😉

Malah semakin tinggi seseorang itu pergi, semakin dia belajar menghormati orang lain. Wanita yang mempunyai kelas bukan hanya cantik penampilannya. Tetapi cantik juga akhlaknya. Dia tidak merendahkan orang lain hanya kerana dirinya lebih berjaya.

Pepatah ini sangat penting dalam dunia hari ini kerana terlalu ramai manusia lupa diri apabila mula mendapat perhatian.

 

9. Ular Menyusur Akar Tidak Akan Hilang Bisanya

Maksud:
Orang yang berpangkat besar, mulia, atau berilmu tidak akan jatuh martabatnya walaupun mereka merendahkan diri untuk bergaul dengan orang kebanyakan

Ada wanita takut menjadi baik kerana risau dipandang lemah. Sedangkan merendah diri bukan bererti tiada harga diri. Seseorang wanita masih boleh menjadi lembut tanpa membiarkan dirinya dipijak. Masih boleh menjadi baik tanpa perlu meletakkan dirinya kat level bawah-bawah.

Pepatah ini mengajar bahawa kekuatan sebenar bukan terletak pada suara yang tinggi… tetapi pada kebijaksanaan menampilkan diri dalam menyesuaikan keadaan.

 

10. Sehari Selembar Benang, Lama-Lama Jadi Kain

Maksud:
Usaha kecil yang dilakukan setiap hari akhirnya membuahkan hasil besar.

Ramai orang mahu hasil cepat… tetapi tidak ramai sanggup melalui proses yang lama untuk berjaya. Sedangkan kejayaan dibina daripada disiplin yang simple je setiap hari.

Contoh, Menulis sedikit demi sedikit. Menabung sedikit demi sedikit. Memperbaiki diri sedikit demi sedikit. Lama-lama akan jadi gempak, hebat dan besar-besaran.

Akhirnya, semua usaha kecil itu akan membentuk kehidupan yang lebih indah. Jangan pandang remeh kepada langkah kecil. Langkah itulah yang bakal menjadi langkah terhebat anda… langkah kecil itulah yang akhirnya membawa seseorang keluar daripada kesempitan hidup.

 

Sangat menarik kan? Pelbagai Peribahasa Melayu Lama yang begitu related dengan Wanita hari ini. Terselit pesanan-pesanan penuh kelembutan dan bermakna sekali.

Jika kita kaum wanita, tidak ambil hirau… agak sedikit kerugian di situ.

In fact, banyak lagi peribahasa-peribahasa lain yang anda boleh baca dah fahaminya di laman Web Rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka Negara.

 

Penutup

Peribahasa Melayu tinggalan orang-orang tua kita dulu bukan sekadar ayat lama untuk dihafal di sekolah-sekolah. Ia adalah pengalaman hidup yang diwariskan supaya generasi hari ini tidak perlu jatuh di jurang yang sama.

Wanita hari ini mungkin hidup dalam dunia yang moden. Tetapi nilai kehidupan tetap sama — tentang kesabaran, usaha, kebijaksanaan, kerendahan hati dan kekuatan jiwa.

Kadang-kadang, jawapan kepada kekusutan hidup moden… sebenarnya sudah lama ditinggalkan oleh orang-orang lama. Tinggal kita je lah, yang seharusnya menjadi bijak dalam merungkaikannya dan kecapi limpahan emasnya.

 

Salam Ikhlas,

Dr Suffia Hany❤️
Women’s Leadership & Empowerment Strategist
Medical & Anti-Aging Doctor | Accredited HRDC Trainer

➡️Ketahui lebih lanjut tentang Dr. Suffia Hany di sini
➡️Baca juga artikel-artikel lain tentang Usahawan Wanita Hari ini

Komen anda?...

Dr. Suffia Hany | Medical & Anti-Aging Doctor | Certified HRDC Trainer

Dr. Suffia Hany

Medical & Anti-Aging Doctor | Certified HRDC Trainer
Leadership | EQ Strategist | Speaker

Empowering Women through Leadership, Wisdom & Emotional Intelligence

Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam dunia kesihatan dan pembangunan insan, saya kini memberi fokus kepada pembangunan minda, emosi dan ekonomi wanita — khususnya membantu golongan B40 menjadi usahawan berjaya!

Melalui program, coaching dan sesi motivasi, kami menginspirasi wanita untuk kekal berdaya saing, mengurus emosi dengan bijak, dan mencapai potensi sebenar diri mereka bersama motto,

BANGKIT, BIJAK, BERANI
Motivasi
0 %
Training
0 %
Emotional Quotient
0 %
Leadership
0 %

Features

© 2026 All Rights Reserved – www.drsuffiahany.com