
Ada hari kita bangun dengan senyuman. Ada hari kita rasa macam nak lepaskan saja segala tangisan. Hari ini, nasihat saya… “Menangislah Sayang!” menangislah sepuas-puasnya.
Inilah Kehidupan
Kita sering menyambut pagi seperti hari-hari biasa. Menyediakan sarapan, menghantar anak ke sekolah, memandu ke tempat kerja, menghadiri mesyuarat, melayan pelanggan, memasak untuk keluarga atau menyelesaikan pelbagai urusan yang tidak pernah habis.
Dari luar, semuanya kelihatan baik-baik sahaja. Namun jauh di sudut hati, hanya kita dan Allah sahajalah yang benar-benar mengetahui betapa penatnya memikul segala-gala… hmm bukan ‘beban’, tetapi tanggungjawab harian.
Itu yang kadangkala terasa juga la kan hidup ini begitu berat sebenarnya. Namun, inilah kehidupan.
Bukan kerana kita lemah, tetapi kerana terlalu banyak perkara yang sedang kita fikirkan. Tentang ibu bapa yang semakin berusia. Tentang anak-anak yang sedang membesar. Tentang pasangan. Tentang kewangan. Tentang kesihatan. Tentang pekerjaan. Tentang masa depan yang masih penuh tanda tanya.
Belum lagi apabila kita membuka berita.
Ada yang kehilangan insan tersayang. Ada keluarga yang diuji dengan penyakit. Ada rumah tangga yang berantakan. Ada anak-anak yang terbiar. Ada jiwa yang semakin hilang harapan. Melihat semua itu sahaja sudah cukup membuat hati kita terasa sesak.
Menangislah Sayang.
Kadangkala kita turut menangis, walaupun bukan kerana diri sendiri. Namun anehnya, ramai antara kita memilih untuk menyimpan semuanya sendirian. Menahan sebak di dada. Aduuuhh… ini yang susah ni, please sayang saya semua girls… “Menangislah sayang dan menangislah sepuas-puasmu”
I know saya sering mencadangkan untuk kita belajar menjadi kuat. Kita belajar tersenyum walaupun hati sedang remuk. Kita ketawa supaya orang lain tidak risau.
Kita berkata, “Saya okey,” sedangkan di dalam hati, kita sedang berperang dengan pelbagai rasa yang tidak mampu diluahkan.
Apabila air mata mula memenuhi mata, kita cepat-cepat mengesatnya.
Girls… kadang-kadang kita harus lepaskan kepedihan di hati, kesedihan di jiwa agar kita akan merasa lega dan lepas dari penderitaan itu.
- “Kena kuat.”
- “Tak boleh menangis.”
- “Nanti orang nampak.”
Itulah yang selalu kita bisikkan kepada diri sendiri. Sedangkan menangis bukanlah tanda kelemahan.
Menangis ialah bahasa hati apabila kata-kata sudah tidak mampu lagi menggambarkan apa yang sedang kita rasa.
Hari ini… Jika hati anda benar-benar penat… Jika dada terasa begitu sempit…Jika beban yang dipikul terasa semakin berat…Menangislah, sayang.
Tidak mengapa.
Kembali kepada Yang Maha Esa
Namun, satu permintaan saya. Selepas habis menangis semua. Selepas dah lepaskan segala kesedihan yang selama ini anda simpan. Dah biarkan air mata itu mengalir…
Masa untuk kembali ke Yang Maha Esa, rujuk kepada Dia, meratapi dan dekatiNya.
Biarkan hati itu mula berbicara. Luahkan segala luka yang dipendam sekian lama keluar bersama titisan air mata. Tidak perlu malu. Tidak perlu berpura-pura kuat setiap masa.
Kerana kita hanyalah manusia.
Dan Allah tidak pernah menciptakan manusia tanpa perasaan. Selepas air mata itu reda…
Jangan terus bangun dan menyambung kesibukan seperti biasa. Ambillah sedikit masa. Duduklah dengan tenang. Angkat kedua-dua tangan.
Kemudian berbicaralah dengan Allah.
Tidak perlu ayat yang indah. Tidak perlu bahasa yang sempurna. Ceritakan sahaja semuanya. Luahkan apa yang terbuku di dalam hati. Katakan kepada-Nya apa yang tidak pernah mampu anda ceritakan kepada sesiapa.
Allah tidak pernah jemu mendengar.
Allah tidak pernah bosan menerima rintihan hamba-Nya.
Allah juga tidak pernah berkata bahawa masalah kita terlalu kecil untuk didengari.
Mungkin manusia tidak memahami air mata kita.
Mungkin ada yang menganggap kita terlalu sensitif.
Mungkin ada yang berkata kita terlalu banyak berfikir.
Tetapi Allah Maha Mengetahui setiap luka yang kita sembunyikan.
Dia mengetahui setiap malam yang kita lalui dalam kesunyian. Dia mengetahui setiap doa yang kita ulang berkali-kali. Dia mengetahui setiap air mata yang jatuh ketika tiada seorang pun melihat. Sebab itulah jangan pernah merasa keseorangan.
Kerana saat semua orang sibuk dengan kehidupan masing-masing, Allah sentiasa dekat dengan hamba-Nya yang kembali mengingati-Nya.
Bisiklah kepada Allah.
“Ya Allah… Aku sudah terlalu penat. Aku sudah terlalu lama memendam rasa. Tenangkanlah hatiku. Lapangkanlah dadaku. Berikanlah aku kekuatan untuk terus melangkah. Jangan biarkan aku jauh daripada rahmat-Mu.”
Percayalah…
Ada doa yang tidak terus mengubah keadaan. Tetapi doa mampu mengubah hati kita. Dan apabila hati menjadi tenang, kita akan melihat ujian dengan pandangan yang berbeza.
Masalah mungkin masih ada. Tanggungjawab masih belum selesai. Air mata mungkin masih sesekali mengalir. Namun hati kita tidak lagi terasa bersendirian.
Kerana kita tahu, Allah sedang menemani setiap langkah kehidupan ini. Mungkin hari ini kita menangis, tetapi jangan biarkan tangisan itu menjauhkan kita daripada Allah.
Biarlah setiap titisan air mata menjadi jalan untuk kita semakin dekat kepada-Nya. Biarlah setiap kesedihan mengajar kita bahawa hanya Allah tempat bergantung yang tidak pernah mengecewakan.
Dan biarlah setiap doa yang kita panjatkan menjadi cahaya yang menerangi perjalanan hidup kita.
Jika hari ini hati anda sedang terluka…
Jika hari ini anda sedang memikul beban yang terasa terlalu berat…
Menangislah, sayang.
Menangislah di hadapan Tuhan yang tidak pernah menolak hamba-Nya.
Kerana selepas setiap tangisan yang diserahkan kepada Allah, akan sentiasa ada harapan baharu.
Dan bersama harapan itu, akan lahir sebuah hati yang lebih kuat, lebih tenang, dan lebih reda menghadapi apa sahaja yang telah ditentukan oleh-Nya.
Semoga Allah menghapuskan setiap keresahan di hati kita, menguatkan langkah kita, melapangkan setiap kesempitan, dan menjadikan setiap air mata yang jatuh sebagai sebab turunnya rahmat serta ketenangan daripada-Nya.
Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
p/s – Sering juga saya amalkan doa untuk ketenangan hati yang dikongsikan di laman IG Jawi KL :-

ikhlas,
Dr Suffia Hany❤️
Women’s Leadership & Empowerment Strategist
Medical & Anti-Aging Doctor | Accredited HRDC Trainer
➡️Ketahui lebih lanjut tentang Dr. Suffia Hany di sini
📌Baca juga artikel-artikel lain :-
➡️Biarkan Aku Pergi Mencari Ketenangan Diri
➡️Di Sebalik Sebuah Anugerah, Ada Luka Yang Tak Siapa Tahu…
➡️Seribu Langkah Menghargai Duka, Seribu Lagi Menggapai Bahagia