
Dalam hidup ini, tidak semua orang yang hadir di sekeliling kita benar-benar membawa ketenangan. Ada yang datang dengan senyuman, tetapi meninggalkan beban. Ada yang hadir dengan kata-kata manis, tetapi perlahan-lahan mengganggu emosi, keyakinan dan ketenangan diri kita.
Ramai wanita terlalu baik. Terlalu mudah memberi ruang. Terlalu banyak memendam. Dan akhirnya, terlalu penat untuk terus tersenyum seperti biasa.
Hakikatnya, menjaga batas emosi bukan bermaksud kita sombong. Bukan juga bermaksud kita dingin atau tidak peduli. Sebaliknya, ia adalah tanda bahawa seorang wanita itu semakin matang, semakin sedar nilai dirinya, dan semakin faham bahawa ketenangan jiwa bukan sesuatu yang boleh dipertaruhkan sewenang-wenangnya.
Berikut adalah…
5 sebab mengapa wanita bijak menjaga batas emosi.
Before that, …Menjaga batas emosi bukan bermaksud menjauhkan diri daripada semua orang, tetapi memahami batas emosi yang sihat dalam hubungan supaya kita tidak mudah terluka atau kehabisan tenaga.
1. Tidak semua orang layak mendapat akses kepada hati dan fikiran kita
Bukan semua orang yang rapat dengan kita benar-benar selamat untuk dikongsikan emosi kita.
Ada orang yang suka mendengar cerita hidup kita, tetapi bukan untuk memahami. Ada yang bertanya kerana ingin tahu, bukan kerana benar-benar peduli. Ada juga yang hanya menunggu peluang untuk menilai, membandingkan, atau menggunakan kelemahan kita untuk membaham kita balik di waktu yang lain.
Wanita yang bijak faham satu perkara penting:
tidak semua orang perlu tahu semua perkara tentang hidup kita.
Kadang-kadang, terlalu banyak berkongsi membuatkan kita rasa “lega sekejap”, tetapi sebenarnya membuka ruang kepada gangguan emosi yang lebih besar selepas itu.
Batas emosi mengajar kita untuk memilih — siapa yang layak mendengar, siapa yang hanya sekadar ingin tahu, dan siapa yang benar-benar hadir dengan niat yang baik.
2. Menjaga batas emosi melindungi tenaga mental kita
Setiap hari, seorang wanita memikul terlalu banyak peranan.
- Sebagai isteri.
- Sebagai ibu.
- Sebagai pekerja.
- Sebagai pemimpin.
- Sebagai anak.
- Sebagai wanita yang sentiasa cuba nampak kuat walaupun dalam hati sedang letih.
Bila terlalu ramai orang masuk ke ruang emosi kita dengan masalah, drama, tekanan dan kata-kata yang melemahkan — lama-kelamaan tenaga mental kita akan habis.
Inilah sebabnya wanita bijak tidak memberi akses emosi kepada semua orang.
Bukan kerana mereka ego.cTetapi kerana mereka tahu, tenaga emosi yang tidak dijaga akan membuatkan diri sendiri hilang fokus, hilang semangat dan hilang arah.
Kadang-kadang, menjaga jarak adalah satu bentuk kasih sayang terhadap diri sendiri.
3. Tidak semua hubungan perlu dipelihara jika ia hanya melukakan
Ada wanita yang terlalu setia pada hubungan yang sebenarnya sudah lama meletihkan jiwa.
- Masih cuba menjaga hati semua orang.
- Masih cuba memahami semua sikap.
- Masih cuba bertahan walaupun sudah berkali-kali terluka.
Tetapi wanita yang bijak sedar bahawa:
bukan semua hubungan perlu diselamatkan.
- Ada hubungan yang hanya wujud untuk mengajar kita sesuatu.
- Ada perkenalan yang hanya datang untuk menguji sempadan kita.
- Dan ada orang yang hadir bukan untuk membina kita, tetapi untuk mengganggu kestabilan emosi kita.
Kita tidak wajib terus kekal dalam hubungan yang membuatkan kita sentiasa rasa kecil, serba salah, penat atau tidak dihargai.
Kadang-kadang, melepaskan bukan tanda kalah.
Kadang-kadang, ia tanda kita akhirnya memilih diri sendiri.
4. Wanita yang menjaga batas emosi lebih mudah membuat keputusan dengan tenang
Apabila emosi terlalu terganggu, keputusan yang dibuat selalunya datang dari keletihan, ketakutan atau rasa bersalah.
Kita jadi mudah:
- terlalu cepat mengalah,
- terlalu banyak overthinking,
- terlalu takut mengecewakan orang lain,
- atau terlalu lama bertahan dalam situasi yang tidak sihat.
Wanita yang menjaga batas emosi akan lebih mudah melihat sesuatu dengan jelas.
Mereka tidak membiarkan semua suara luar menguasai fikiran mereka.
Mereka tahu bila perlu mendengar, dan bila perlu berhenti melayan perkara yang hanya mengganggu ketenangan.
Inilah kekuatan sebenar seorang wanita yang matang:
bukan sekadar pandai bercakap, tetapi pandai mengawal ruang emosinya agar fikirannya tetap waras dan hatinya tetap tenang.
5. Menjaga Batas emosi adalah tanda self-worth, bukan tanda kelemahan
Ramai wanita takut dilihat berubah.
- Takut orang kata sombong.
- Takut orang kata sudah lain.
- Takut orang kata terlalu sensitif.
- Takut orang kata “dulu okay je, kenapa sekarang tak boleh?”
Tetapi hakikatnya, wanita yang semakin mengenali nilai dirinya memang akan berubah.
- Dia tidak lagi mudah memberi ruang kepada orang yang hanya hadir ketika mahu sesuatu.
- Dia tidak lagi memaksa diri untuk sentiasa tersedia.
- Dia tidak lagi rasa wajib memberi sebarang penjelasan segalanya kepada semua orang.
Kerana dia tahu:
menjaga batas emosi bukan kelemahan. Ia adalah tanda bahawa dia sudah mula menghormati dirinya sendiri.
Dan apabila seorang wanita mula menghormati dirinya, hidupnya akan berubah.
- Cara dia bercakap berubah.
- Cara dia memilih orang di sekeliling berubah.
- Cara dia memberi respons terhadap tekanan juga berubah.
Itulah beza antara wanita yang hanya bertahan…
dan wanita yang benar-benar sedang berkembang luas!
Finale
Seorang wanita yang bijak bukanlah wanita yang membina tembok tinggi sehingga tiada siapa boleh mendekati dirinya.
Tetapi dia adalah wanita yang tahu siapa patut diberi ruang, siapa patut dijaga jaraknya, dan siapa yang hanya patut dilihat dari jauh.
Kerana ketenangan itu mahal. Tenaga emosi itu berharga.
Dan hati seorang wanita bukan tempat untuk semua orang keluar masuk sesuka hati.
Kadang-kadang, menjaga batas emosi bukan bermaksud kita berubah menjadi dingin.
Kadang-kadang, itulah tanda kita akhirnya belajar menyayangi diri sendiri dengan cara yang lebih matang.
Salam Ikhlas,
Dr Suffia Hany❤️
Women’s Leadership & Empowerment Strategist
Medical & Anti-Aging Doctor | Accredited HRDC Trainer
➡️Ketahui lebih lanjut tentang Dr. Suffia Hany di sini