
Sudah seketika, saya bergelar ibu tunggal. Ya, saya pernah merasakannya, 2011 adalah antara tahun yang saya tidak pernah rancang untuk melaluinya… namun, inilah antara tahun-tahun getir yang terpaksa diharungi dan terus dirasai. Pastinya bukan kerana ia terlalu indah — tetapi kerana terlalu perit untuk dikenang.
Erti sebuah perceraian dan menjadi Ibu Tunggal
Perceraian bukan sesuatu yang sesiapa pun impikan.
Ia bukan sebuah kemenangan.
Ia adalah sebuah kehilangan.
Apabila sebuah perkahwinan berakhir, yang runtuh bukan sekadar hubungan antara suami dan isteri. Yang turut hancur adalah rutin, impian, dan rasa selamat yang selama ini menjadi tempat berpaut. Usah cerita tentang kehilangan kasih sayang lagi, tempat menumpang kasih, kerana itu sudah pastinya TIADA LAGI untuk dirasai.
Kita cerita soal peritnya apabila RUTIN kebiasaan kita itu yang bertahun-tahun tiba-tiba berubah! Fuhhh… ramai yang cakap, sabar, sabar, sesungguhnya, memang mudah untuk sekadar bercakap, tetapi hakikatnya, amat sukar untuk benar-benar merasainya.
Saya masih ingat malam-malam panjang yang terasa sunyinya tidak bertepi. Tangisan yang jatuh tanpa suara. Soalan yang berlegar dalam fikiran — “Kenapa aku?”
Namun, takdir tidak pernah bertanya sama ada kita bersedia atau tidak. Bila sudah sampai waktunya, maka hadapilah ia walau dengan tabah atau pun tidak!
Pengalaman menjadi Ibu Tunggal

Saya melalui fasa menjadi ibu tunggal dalam keadaan yang sangat rapuh. Bukan kerana saya lemah, tetapi kerana saya manusia. Semenjak berpisah, kesugulan sering melanda lantas ada hari-hari yang terasa sangat berat untuk bangun dari katil. Ada pagi yang disambut dengan senyuman palsu, semata-mata agar anak-anak tidak melihat luka yang cuba saya sembunyikan.
Mereka berdua pula, oleh kerana keadaan, terpaksa berpisah, yang sulung tinggal bersama bekas suami. Manakala yang bongsu dengan saya. Hujung minggu atau setiap kali cuti sekolah, yang sulung pulang ke rumah. Perasaan sedih yang tidak biasa ini juga terpaksa saya simpan dalam hati kerana tidak mahu menunjukkan kepada anak bongsu yang ibunya lemah.
Saya belajar satu perkara penting pada waktu itu —
kesedihan tidak datang sekali lalu.
Ia datang berulang kali, dalam bentuk rindu, kecewa, dan penyesalan.
Sebagai seorang wanita, saya akur bahawa perceraian sering kali dipandang dengan pelbagai stigma. Ada yang bersimpati, ada yang menghakimi, dan ada juga yang diam tetapi memerhati. Namun, dalam semua itu, saya memilih satu jalan yang paling sukar — redha.
Redha bukan bermaksud pasrah tanpa usaha.
Redha adalah menerima takdir Allah dengan hati yang terluka, tetapi tidak memberontak.
Hari-hari selepas itu bukan mudah. Saya perlu kuat bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk anak-anak saya. Mereka adalah sebab saya bangkit setiap pagi walaupun hati terasa kosong. Setiap kali keletihan datang, wajah mereka menjadi penguat.
- Ada saatnya saya hampir berputus asa.
- Ada masa terasa seolah-olah dunia ini terlalu gelap untuk diteruskan.
- Malah ada ketikanya saya rasa mahu meraung dan menjerit sekuat hati!
Namun, saya sentiasa ingat satu perkara —
“Saya tidak mahu anak-anak membesar melihat ibunya menyerah kalah. Dan saya juga tidak mahu diri ini dilabel sebagai gagal.”
*Kisah saya tentang pengalaman menjadi ibu tunggal ini juga pernah keluar di Majalah Wanita.
PENGAJARAN
Perjuangan seorang ibu tunggal bukan tentang siapa paling kuat di mata manusia. Ia adalah tentang siapa yang terus berjalan walaupun air mata masih mengalir. Tentang siapa yang memilih untuk bangkit walaupun luka masih berdarah.
Seperti awan mendung yang berarak lama sebelum matahari memancar, begitulah perjalanan hidup saya. Ribut datang bertalu-talu, seolah-olah menguji sejauh mana iman dan kesabaran ini mampu bertahan. Ada waktu saya terasa sangat kecil di hadapan ujian-Nya.
Tetapi Allah tidak pernah zalim kepada hamba-Nya.
Saya terus bekerja, terus berusaha, dan terus memperbaiki diri. Sedikit demi sedikit, saya belajar berdamai dengan masa lalu. Saya belajar memaafkan — bukan untuk orang lain, tetapi untuk ketenangan hati sendiri.
Benarlah janji Allah SWT:
“Sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kemudahan.”
Hari ini, apabila saya menoleh ke belakang, saya tidak lagi melihat diri saya sebagai wanita yang gagal. Saya melihat seorang wanita yang pernah jatuh, tetapi memilih untuk bangkit. Seorang ibu yang pernah hampir rebah, tetapi tetap berdiri demi masa depan anak-anaknya.
Alhamdulillah, akhirnya, Allah menghadiahkan saya kebahagiaan sekali lagi. Saya kembali dimiliki dan bertahun-tahun hidup bahagia bersama suami baru yang tersayang. Namun, perjalanan hidup saya sebagai ibu tunggal dahulu akan sentiasa menjadi sebahagian daripada diri saya — sebagai peringatan bahawa kekuatan sebenar lahir daripada kesakitan.
Jika anda pernah berada di tempat saya suatu ketika dahulu, ketahuilah satu perkara:
- anda tidak lemah. Anda sedang melalui proses menjadi lebih kuat.
Kerana sebelum pelangi muncul, langit perlu menangis terlebih dahulu.
Salam ikhlas dari,
Dr Suffia Hany❤️
Leadership, EQ Strategist & Certified HRDC trainer
Empowering Women through Leadership, Wisdom & Emotional Intelligence.
- 👉 For more info : Lihat Profil Dr. Suffia lebih lanjut di sini