
Inilah coretan dari hati seorang mama buat anak-anak Mama Tersayang ❤️
Alhamdulillah…
16 Julai 1999 adalah tarikh keramat dalam hidup mama kerana pada hari itulah mama melahirkan anak sulung mama, Ahmad Aminullah. Dan siapa sangka, pada tarikh yang sama, 16 Julai 2026, Allah mengamanahkan pula kepada mama satu tanggungjawab yang besar apabila diberi kepercayaan memimpin Dewanita Malaysia di bawah naungan DPMM… bayangkanlah hati seorang mama, bagaimana terujanya.

Sesungguhnya hati seorang mama…
Apabila tiba masanya nanti, tiada apa yang mampu mama bawa pulang selain usaha mama membesarkan anak-anak menjadi insan yang berguna dan sentiasa membantu masyarakat yang memerlukan. Mama mungkin tidak mampu menaburkan harta dan wang ringgit, tetapi kudrat, tulang empat kerat serta ilmu yang Allah kurniakan inilah yang mama gunakan untuk membantu lebih ramai insan bangkit dan berjaya mengharungi liku-liku kehidupan yang penuh cabaran.
Amanah ini bukanlah satu tugas yang mudah. Namun mama yakin, selagi niat kita ikhlas untuk membantu seramai mungkin manusia, Allah pasti akan membuka jalan. Mama tidak pernah mengharapkan sebarang balasan. Cukuplah keberkatan dan kerahmatan daripada Allah SWT menjadi ganjaran yang paling bermakna.

Doakan mama ya, anak-anak mama… Ahmad Aminullah dan Muhammad Faris Farhan. Ketahuilah, mama sentiasa menyayangi kalian berdua dan kasih itu tidak akan pernah berkurang sehingga nafas mama yang terakhir.
Pesan mama, jadilah khalifah yang sentiasa memberi manfaat kepada setiap manusia di muka bumi ini. Bantulah selagi kita masih diberi kesempatan untuk bernyawa. Kerana sebaik-baik manusia ialah mereka yang memberi manfaat kepada manusia yang lain.
Kembali kepada Allah s.w.t
Dan jangan sesekali lupa, apatah lagi sengaja meninggalkan solat. Walau sesibuk mana sekalipun kehidupan, walau setinggi mana kejayaan yang kalian capai, jangan pernah biarkan hubungan dengan Allah terputus. Solat bukan sekadar kewajipan, tetapi tempat kita kembali mencari kekuatan, ketenangan dan petunjuk apabila hati mula lemah atau hidup terasa berat.
Mama tidak mengharapkan kalian menjadi manusia yang paling kaya atau paling terkenal. Cukuplah menjadi hamba Allah yang menjaga solat, berakhlak mulia dan sentiasa memberi manfaat kepada orang lain. Insya-Allah, apabila hubungan kita dengan Allah sentiasa terpelihara, Allah juga akan menjaga setiap langkah, mempermudahkan urusan dan memberkati seluruh kehidupan kita.
Diriwayatkan daripada Jabir bahawa beliau mendengar Rasulullah (s.a.w) bersabda:
“Sesungguhnya pemisah antara seseorang dengan syirik dan kekufuran ialah meninggalkan solat.”
— Riwayat Muslim (No. 82a)
Selamat hari lahir, sayang.
Akhir sekali mama ingin ucapkan Terima kasih kerana hadir dalam hidup mama. Kalian berdualah yang sentiasa menjadi sumber inspirasi, kekuatan dan semangat mama untuk terus melangkah serta berbakti kepada masyarakat.
Mama sayang Amin dan Faris. ❤️❤️
P/S: Mama terlalu sibuk sehingga tidak sedar Amin sudah berusia 27 tahun dan Faris pula 19 tahun. Masa benar-benar berlalu begitu pantas.
Mama sangat merindui momen-momen bersama kalian berdua. Maafkan mama kerana asyik berkerja… InsyaALLAH I will find time for us more. Assalamualaikum.
————————————————————————————
Dr Suffia Hany❤️
Women’s Leadership & Empowerment Strategist
Medical & Anti-Aging Doctor | Accredited HRDC Trainer
