Dr Suffia Hany Journal – Keyakinan, Kecantikan & Inspirasi Wanita

Journal
Dr. Suffia Hany

20+ Tahun Pengalaman dalam Perubatan & Pembangunan Wanita
Medical & Anti-Aging Doctor | Certified HRDC Trainer | Leadership & EQ Strategist
Membantu wanita membina keyakinan, kepimpinan, dan mencapai kejayaan.

Bangkit. Bijak. Berani!

Kosongkan Diri Sejenak

Kosongkan Diri Sejenak

“KOSONGKAN DIRI SEJENAK”… hah? – Bila mendengar perkataan “kosong”, apa yang mula muncul dalam fikiran anda? Kehilangan? Kesepian? Ketakutan?

Pernahkah anda melihat seseorang yang hidupnya sangat sibuk, tetapi hatinya kosong? Ada yang waktunya padat setiap hari, namun tetap merasa hampa. Ada yang memiliki kedudukan tinggi, tetapi hidup dalam kegelisahan.

Ramai manusia hari ini terlalu sibuk mengejar dunia. Sibuk mengejar masa, sibuk mahu dilihat hebat, sibuk mengejar darjat dan pengiktirafan. Seolah-olah jika berhenti seketika, diri akan dianggap kalah… dianggap lemah… dianggap ketinggalan.

Tanpa sedar, dalam kesibukan yang dikejar itu, kita sebenarnya telah kehilangan satu perkara yang paling penting… iaitu ketenangan.

Fikiran menjadi terlalu penat memikirkan pelbagai perkara. Hati pula sentiasa gelisah dan berkecamuk. Pada saat inilah, anda mula tidak mengenali diri sendiri… malah tidak lagi mendengar suara hati anda sendiri.

Kenapa saya katakan begitu?

Kerana setiap kali kita berfikir, fikiran itu tidak pernah benar-benar berhenti. Setiap kali hati bergolak, jiwa akan terus merasa tidak tenang. Tanpa sedar, kita sentiasa menambah pelbagai perkara ke dalam fikiran dan hati… tanpa penghujung.

Cuba lihat kehidupan kita hari ini. Bukankah hampir setiap masa kita tidak lekang dengan handphone?

Kita sibuk melihat pelbagai informasi. Sibuk mengikuti cerita-cerita yang kadangkala langsung tidak memberi manfaat kepada hidup kita. Sibuk melihat kehidupan orang lain, membaca gosip, mengikuti cerita negatif, malah membahaskan hal-hal yang langsung tiada kaitan dengan diri sendiri.

Tanpa sedar, semua itu sebenarnya sedang memenuhi fikiran dan hati kita dengan pelbagai perkara yang tidak perlu.

Cuba perhatikan rutin harian kita.

Saat bangun tidur, apakah perkara pertama yang dicapai? Handphone. Sebelum tidur pula, apakah benda terakhir yang berada di tangan kita? Masih handphone.

Hari demi hari, fikiran kita terlalu penuh… tetapi hati semakin kosong. Kerana terlalu sibuk mengejar arus dunia… kita berlari tanpa henti, entah ke mana arah yang ingin dituju.

Bukan anda sengaja memilih jalan yang salah, tetapi mungkin anda sendiri tidak sedar bahawa anda telah kehilangan arah. Tidak lagi tahu jalan mana yang benar-benar ingin dipilih dalam hidup ini. Semua itu berlaku kerana diri terlalu sibuk.

Kita sibuk mengisi kehidupan dengan pelbagai perkara, namun hati tetap merasa tidak pernah cukup.

Cuba kita lihat realiti manusia hari ini. Mengapa semakin ramai mudah merasa stres? Mengapa hati sentiasa gelisah dan merasa diri tertinggal ke belakang?

Bukan kerana kehidupan mereka tidak cukup… tetapi kerana terlalu sibuk membandingkan hidup sendiri dengan kehidupan orang lain. Inilah kehidupan yang penuh di luar… tetapi kosong di dalam.

Kosongkan Diri Sejenak

Saya beri satu contoh…

Bayangkan anda berada di dalam sebuah rumah yang terlalu penuh dengan barang. Untuk berjalan pun terasa susah. Untuk bernafas juga terasa sempit dan sesak.

Jadi apa yang perlu dilakukan?

Adakah dengan menambah lebih banyak barang, keadaan akan menjadi lebih baik? Sudah tentu tidak. Yang perlu dilakukan ialah membuang barang-barang yang tidak lagi diperlukan.

Begitulah juga kehidupan kita hari ini. Setiap hari kita terlalu sibuk memenuhi fikiran dan hati dengan pelbagai perkara tanpa henti. Sebab itu hari ini saya ingin mengajak anda untuk kosongkan diri sejenak…

Hanya seketika… bukan untuk lari daripada dunia, tetapi untuk membersihkan ruang dalam diri anda. Untuk kembali mendengar suara hati anda sendiri yang mungkin sudah lama tenggelam.

Kerana terlalu lama kita sibuk mendengar suara-suara luar… sehingga semuanya dibawa masuk ke dalam diri tanpa kita sedari.

Selagi hati anda terus bergolak, selagi anda terus menambah tanpa pernah berhenti, anda tidak akan benar-benar mengenali diri sendiri. Anda hanya hidup di permukaan kehidupan.

Berhentilah sejenak. Kosongkan diri seketika.

Biarkan fikiran menjadi tenang. Biarkan emosi perlahan-lahan reda. Biarkan hati kembali jernih. Dan pada titik inilah, sesuatu yang selama ini tertutup akan mula terlihat. Namun, ramai sebenarnya takut untuk sampai ke titik ini.

Kerana apabila semua kesibukan berhenti… apabila semua kebisingan hilang… yang tinggal hanyalah diri anda sendiri. Dan tidak semua orang bersedia untuk bertemu dengan dirinya sendiri.

Mengapa?

Kerana pada saat itulah akan muncul rasa sakit, luka lama, kekecewaan dan pelbagai perasaan yang selama ini disembunyikan jauh di dalam hati, Muncul… muncul dan muncul habis!

Tetapi percayalah… Di sebalik semua itu, ada sebuah kebenaran tentang diri anda yang selama ini tertutup. Dan pada saat itu… akan muncul diri sejati anda.

Mungkin pada permulaannya agak sukar untuk kita melakukan semua ini… tetapi cubalah perlahan-lahan. Tidak perlu terlalu memaksa diri. Mulakan hanya dengan 5 hingga 10 minit sehari.

Cuba letakkan handphone ke tepi seketika dan luangkan masa kosongkan ‘diri’ sejenak, sambil bersendirian dengan diri sendiri. Mungkin pada awalnya fikiran akan terus melayang, hati terasa tidak tenang dan jiwa masih berkecamuk. Tidak mengapa… itu normal. Yang penting, kita mula belajar memberi ruang kepada diri sendiri untuk berhenti sejenak daripada segala kesibukan dunia.

Mendengar Kembali Suara Hati Anda

Tarik nafas perlahan-lahan. Dengarkan denyutan jantung anda sendiri. Rasai turun naik pernafasan anda. Berikan ruang kepada fikiran untuk kembali tenang dan ruang kepada hati untuk kembali jernih. Untuk beberapa ketika, biarkan diri anda benar-benar hadir dalam momen tersebut… tanpa gangguan, tanpa kebisingan luar, tanpa tekanan daripada dunia sekeliling.

Dan pada saat ketenangan itu mula hadir, anda akan mula mendengar suara hati anda sendiri… bukan lagi suara daripada pengaruh luar, tetapi suara yang datang jauh dari dalam diri anda sendiri.

Pada titik inilah, satu ruang baru akan mula terbuka. Anda akan mula melihat kehebatan diri anda yang selama ini tersembunyi di sebalik kesibukan dan kekeliruan hidup. Diri sejati anda perlahan-lahan akan mula muncul. Dari sinilah lahirnya kesedaran, ketenangan dan kekuatan dalaman yang sebenar.

Anda akan mula melihat kehidupan dengan cara yang berbeza. Apabila hati berada dalam keadaan tenang, anda akan berfikir dengan lebih matang, membuat keputusan dengan lebih bijak dan mula memilih arah perjalanan hidup yang benar-benar anda inginkan.

Apa yang anda mahu corakkan dalam kehidupan ini… dengarlah kata suara hati anda sendiri. Jangan lagi terlalu dipengaruhi oleh suara-suara luar yang membentuk siapa diri anda. Jangan biarkan orang lain menentukan nilai hidup anda. Kerana kehidupan ini adalah milik anda sendiri. Dan apabila anda sudah menemukan diri sejati anda, pada saat itulah anda akan mula benar-benar mengenali arah hidup yang sebenar.

Setelah lahirnya diri sejati itu, buanglah segala beban yang selama ini memenuhi ruang fikiran anda. Lepaskan segala kegelisahan dan kekusutan yang terlalu lama bersarang di dalam hati. Bersihkan perlahan-lahan ruang hati anda satu demi satu. Fokuslah kepada kehidupan yang benar-benar ingin anda bina. Kerana kita bukan hidup di dalam kehidupan orang lain… tetapi kita sedang membina KEHIDUPAN KITA SENDIRI. Maka corakkanlah hidup anda dengan penuh warna-warni, ketenangan dan makna yang sebenar.

Saya ingin berpesan kepada anda beberapa perkara…

Mulakanlah dengan perkara-perkara kecil dalam kehidupan. Belajarlah membezakan antara keperluan dan kehendak. Apabila anda mula mendahulukan keperluan daripada kehendak, percayalah… anda akan mula melihat dunia ini dengan cara yang berbeza. Dan anda mungkin boleh mula perbaiki sedikit demi sedikit:

  • Belajarlah membezakan antara keperluan dan kehendak.
  • Berhenti membandingkan kehidupan anda dengan orang lain.
  • Jangan mengejar sesuatu hanya kerana mahu dilihat hebat.
  • Lakukan kebaikan dengan hati yang ikhlas tanpa mengharapkan balasan.
  • Belajar membantu orang lain mengikut kemampuan diri sendiri.
  • Jangan memaksa diri mengikuti jalan hidup orang lain.
  • Dengarkan kembali suara hati anda sendiri.
  • Fokus membina kehidupan yang benar-benar anda inginkan.
  • Kenali dan hargai kekuatan diri sejati anda sendiri.

 

Kadangkala perubahan besar dalam hidup tidak bermula dengan langkah yang besar… tetapi bermula dengan kesedaran kecil yang hadir dari hati yang tenang.

Yakinlah…

Jangan terlalu sibuk mengejar dunia. Kerana dunia akan datang kepada anda… setelah anda menemukan jati diri anda yang SEJATI.

 

Salam Ikhlas,

Dr Suffia Hany❤️
Women’s Leadership & Empowerment Strategist
Medical & Anti-Aging Doctor | Accredited HRDC Trainer

➡️Ketahui lebih lanjut tentang Dr. Suffia Hany di sini

Komen anda?...

Dr. Suffia Hany | Medical & Anti-Aging Doctor | Certified HRDC Trainer

Dr. Suffia Hany

Medical & Anti-Aging Doctor | Certified HRDC Trainer
Leadership | EQ Strategist | Speaker

Empowering Women through Leadership, Wisdom & Emotional Intelligence

Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam dunia kesihatan dan pembangunan insan, saya kini memberi fokus kepada pembangunan minda, emosi dan ekonomi wanita — khususnya membantu golongan B40 menjadi usahawan berjaya!

Melalui program, coaching dan sesi motivasi, kami menginspirasi wanita untuk kekal berdaya saing, mengurus emosi dengan bijak, dan mencapai potensi sebenar diri mereka bersama motto,

BANGKIT, BIJAK, BERANI
Motivasi
0 %
Training
0 %
Emotional Quotient
0 %
Leadership
0 %

Features

© 2026 All Rights Reserved – www.drsuffiahany.com